Oleh Ustaz Zaman
2011/12/24
URUSAN keimanan ialah perkara terpenting dalam kehidupan yang tidak boleh dialpakan setiap Muslim. Malah ia adalah noktah penentuan sama ada seseorang ke neraka atau ke syurga. Mereka yang bijak akan terus berfikir dan melihat soal keimanan ini dalam beberapa sudut.
Mereka yang bersandarkan fitrah kejadian manusia itu sendiri dengan suara hati naluri menerima keesaan Allah SWT tanpa ragu-ragu.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Apakah ada keraguan terhadap Allah selaku pencipta langit dan bumi?” (Surah Ibrahim 10). Firman-Nya lagi: “Itulah fitrah yang dicetuskan Allah SWT” (Surah Ar-rum 30)
Ada yang bersandarkan kepada prinsip utama iaitu “setiap sesuatu adalah bersebab” yang mana setiap sesuatu yang wujud mestilah mempunyai pencipta. Begitu juga setiap yang bergerak mestilah ada yang menggerakkannya.
Ada yang menjadikan perbahasan dan kajian sebagai asas penerimaan di mana mereka memikirkan mengenai kehidupan selepas mati, jaminan ketika ketika berada di alam akhirat serta kebangkitan semula dan balasan yang akan diterima.
Semua menjuruskan kepada satu natijah bahawa Allah adalah pencipta dan berkuasa mutlak terhadap alam ini. Basyskal (seorang ahli falsafah) menyebut: “Kamu percaya atau tidak mengenai kewujudan Allah SWT, namun akalmu tetap tidak mampu menafikannya (kewujudan Allah) kerana ini adalah permainan antara akalmu dan fitrah kejadian. Jika dua panahan dilontarkan dari satu busur, pastinya salah satunya akan menuju ke sasarannya. Ketepatan itu akan membahagiakanmu untuk selama-lamanya” (Muzakkirat).
Mereka yang beriman tidak akan terjerumus dalam kancah permainan dunia yang sementara bahkan ia akan dipastikan bahawa ia akan mendapat keuntungan untuk keduanya-duanya.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesiapa yang mengharapkan pahala di dunia, maka di sisi Allah ada pahala dunia dan akhirat.”(Al-Imran 134).
Firman lain:
“Mereka yang melakukan kebaikan di dunia, akan mendapat balasan baik dan sesungguhnya di akhirat pastinya lebih baik”. (An-Nahl 30)
Kewajipan yang ditaklifkan kepada hamba ialah loncatan kepada kebahagiaan di akhirat. Kekuatan rohani akan terbina dengan ketaatan yang dilakukan. Segala tegahan dan pengharaman sesuatu perkara adalah kerana ia akan mengancam terhadap keimanan seseorang di samping menyelamatkan akal, jiwa, akhlak dan keturunan mereka.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Allah memerintahkan mereka melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran, menghalalkan segala yang baik buat mereka dan mengharamkan sesuatu yang buruk untuk mereka” (Al-A’raf 157)
Mereka tidak akan mengalami kerugian dengan ketaatan yang dilakukan serta meninggalkan segala yang ditegah. Bahkan jiwa akan menjadi tenteram serta mendapat kehidupan yang terbaik. Segala kebaikan ini akan menjadikan mereka seorang mukmin yang sejati.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Orang yang beriman akan gerun apabila nama Allah disebut dan keimanan mereka meningkat apabila mendengar ayat Allah SWT dan banyak berserah padanya. Mereka juga melakukan solat dan membelanjakan hartanya. Merekalah mukmin yang sejati”. (Al-Anfal 2,3 dan 4)
Di sini kita akan dapat melihat cetusan dari mengingati Allah atau zikrullah akan melahirkan amalan kebajikan. Zikrullah terbahagi kepasa dua pengertian mengikut pandangan Syekh Ahmad Syakir.
Zikir secara lisan dengan membasahi lidah dengan lafaz jalalah seperti tasbih, tahmid, tahlil, selawat dan doa.
Zikir tanpa suara yang membabitkan pemikiran dan tafakur dan ini adalah tingkatan yang tertinggi dalam zikrullah. Ia akan terhasil selepas keserasian zikrullah secara lisan dan kekusyukan hati dalam mengingati Allah SWT.
Kesimpulannya, keimanan akan menyelamatkan seseorang daripada api neraka. Hadis dari Abu Said Al-Khudri dari Anas dan dari Abu Hurairah bahawa Baginda SAW bersabda: “Akan terselamat daripada api neraka mereka yang ada iman di dalam hatinya walaupun sedikit”. (Lafaz yang sama terdapat di dalam kitab Bahril Kalam).
Kita hendaklah meyakini bahawa segala kebaikan yang dilakukan akan menambah keimanan kepada Allah SWT kerana iman juga akan bertambah dan berkurang mengikut kadar amalan kebajikan yang dilakukan. (Jumhur Ulama’)
Sufyan Aththauri berkata: “Sesiapa yang tidak yakin dengan keimanannya, maka dia telah kufur dengan sebahagian ayat Allah SWT”. (zabdatul Waizin)
Penulis ialah Eksekutif Agama di NSTP
No comments:
Post a Comment