Oleh RAMLI ABDUL HALIM
AL-QURAN diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui wahyu dalam bentuk hafalan. Rasulullah tidak tahu membaca dan menulis untuk membuat catatan bagi setiap wahyu yang diterima.
Ada hikmahnya kenapa baginda dizahirkan ke dunia oleh Allah sebagai seorang yang tidak tahu membaca dan menulis. Antaranya tentulah supaya umat yang diseru kepada Islam dan agar beriman kepada kalamullah tidak akan menganggap al-Quran hasil karangan baginda.
Ayat-ayat al-Quran itu sendiri terlalu indah dan tidak mampu diatasi oleh susunan bahasa hasil karya para sasterawan sejak dulu hingga kiamat.
Bukan sahaja setiap ayat tetapi juga setiap huruf ada kekuatan dan manfaatnya kepada manusia yang beriman dan bertakwa.
Sebenarnya, bukan tidak ada catatan ayat-ayat al-Quran dibuat tetapi ia sangat terhad dan catatannya pula dibuat pada belulang, kayu, batu, pelepah tamar dan sebagainya oleh para penulis wahyu, pada umumnya untuk simpanan peribadi.
Rata-rata pemilikan ayat-ayat al-Quran pada waktu itu adalah dalam bentuk hafalan. Kebetulan ayat-ayat al-Quran pula diwahyukan kepada baginda secara berperingkat-peringkat dan pendek. Secara tidak langsung ia mudah diingat.
Cara yang betul dan tepat bacaan al-Quran pula dirujuk kepada baginda oleh para penulis wahyu serta para sahabat ketika baginda belum wafat manakala baginda pula bertadarus dengan Jibril bagi membetulkan bacaan.
Semasa hayat baginda, soal ketepatan bacaan al-Quran tidak menjadi masalah. Tetapi bila baginda wafat, diikuti pula dengan kematian sahabat-sahabat besar dan penulis wahyu, mahu tidak mahu akan timbul masalah kerana bahasa Arab sendiri ada pelbagai loghatnya.
Disebabkan bimbang generasi di luar era hayat para sahabat akan terpisah daripada al-Quran, maka para sahabat telah mencadangkan supaya ayat-ayat al-Quran dibukukan. Ia dilaksanakan pada era Uthman Affan sebagai khalifah. Uthman adalah antara penulis wahyu.
Bagaimanapun ayat-ayat al-Quran yang ditulis oleh para penulis wahyu tanpa titik dan tanpa baris. Kepada bangsa Arab tentulah ia tidak menjadi masalah kerana al-Quran ditulis dalam bahasa mereka walaupun loghatnya berbeza.
Namun, ia mendatangkan masalah kepada umat Islam yang bukan berbangsa Arab. Islam diturunkan kepada semua manusia, tidak hanya terhad kepada bangsa Arab sahaja.
Dalam pada itu, timbul perbezaan lahjah dan menimbulkan pelbagai qiraat di kalangan bangsa Arab sendiri berdasarkan loghat masing-masing. Pada tahun 200 Hijrah muncul ahli qiraat yang tidak terhingga banyaknya. Antaranya qiraat Ibnu Mas'ud.
Sebagaimana yang telah dicatatkan di atas, al-Quran pada mulanya ditulis tanpa titik dan baris. Pun begitu ia tidak mempengaruhi bacaan kerana para sahabat dan tabi'en adalah orang yang fasih dalam bahasa Arab.
Sebab itu mereka dapat membaca dengan baik dan tepat. Tetapi setelah agama Islam tersebar luas dan dianuti oleh kalangan yang bukan berbangsa Arab, sulit bagi mereka yang bukan berbangsa dan berbahasa Arab untuk membaca dengan baik dan tepat.
Jika keadaan itu kekal, tentu ia menimbulkan kesalahan bacaan 'ain di kalangan mereka yang bukan berbangsa dan berbahasa Arab. Justeru Abul Aswad mengambil inisiatif memberi tanda-tanda dalam al-Quran dengan tinta yang berlainan warnanya dengan tulisan al-Quran.
Tanda-tanda itu adalah titik di atas bagi fathah, titik di bawah untuk kasrah, titik di sebelah kiri untuk dhammah dan dua titik untuk tanwin. Usaha murni itu dilakukan pada era kekhalifahan Muawiyah.
Pada era khalifah Abdul Malik bin Marwan (685-705 Masehi), Nasyir bin Asyim dan Yahya bin Ya'mar menambahkan lagi tanda-tanda untuk huruf-huruf yang bertitik dengan tinta yang sama dengan tulisan al-Quran.
Ia untuk membezakan antara maksud dari titik Abul Aswad Ad-Duali dengan titik yang baru. Titik Abul Aswad adalah untuk tanda baca dan titik Nasyir bin Asyim adalah titik huruf.
Cara penulisan jenis ini tetap berlaku pada era pemerintahan Bani Umaiyyah dan pada permulaan era pemerintahan Bani Abbasiyah. Malah telah dipakai pula di Sepanyol sampai pertengahan abad ke-4 Hijrah.
Kemudian ternyata bahawa cara pemberian tanda seperti itu menimbulkan kesulitan kepada para pembaca al-Quran kerana terlalu banyak titik yang mana titik-titik itu lama kelamaan hampir menjadi serupa warnanya.
Maka Al-Khalil mengambil inisiatif membuat tanda-tanda yang baru iaitu huruf wau kecil dibuat untuk tanda dhammah, huruf alif kecil untuk tanda fathah, huruf ya kecil untuk tanda kasrah, kepala huruf sin untuk tanda syaddah, kepala huruf ho untuk sukun dan kepala huruf 'ain untukhamzah.
Berteraskan itulah maka tanda-tanda bacaan al-Quran dipermudah, dipotong dan ditambah sehingga menjadi bentuk seperti sekarang dan dapat dibaca dengan baik dan tepat oleh setiap umat Islam yang bukan berbangsa dan berbahasa Arab.
Justeru amat patut jika setiap kali membaca al-Quran, kita sedekahkan al-Fatihah dan Qul-Huallah kepada Abul Aswad, Nasyir, Yahya dan Al-Khalil kerana inisiatif mereka mencipta tanda bacaan al-Quran, maka umat Islam sehingga kiamat dapat membaca al-Quran dengan baik dan tepat.
Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan mereka mendapat kemuliaan di alam barzakh dan di akhirat.
No comments:
Post a Comment