Oleh NAJAHUDIN LATEH
TERMINOLOGI jihad biasanya dikaitkan dengan perang. Hakikatnya, ia bukan begitu. Ia lebih luas meliputi jihad dalam dakwah, pendidikan, politik, medan perang dan antara yang agak penting adalah jihad dalam harta, perniagaan atau pembangunan ekonomi ummah.
Malah, intelektual Islam Dr. Said Hawwa meletakkan jihad bil mal (jihad dengan harta) sebagai tunjang kepada pembahagian jihad lain dan yang terpenting untuk menjana serta sebagai bantuan logistik dalam gerakan dakwah, mendirikan pusat pengajian dan membeli alatan persenjataan.
Kepentingan memperkasa perniagaan dan ekonomi ummah juga terbukti melalui penglibatan batang tubuh Baginda SAW sendiri dalam bidang ini.
Sejarah Islam menyaksikan aktiviti perniagaan bukan sesuatu yang janggal dalam Islam. Selain Rasulullah SAW, isteri Baginda Siti Khadijah dan para sahabat seperti Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf dan lain-lain juga peniaga unggul pada zaman mereka.
Rasulullah SAW sendiri turut bergantung kepada harta mereka pada awal penyebaran Islam. Malah, baginda SAW dan para sahabat adalah golongan peniaga yang aktif walaupun sibuk dengan urusan dakwah, pemerintahan negara dan sebagainya.
Oleh kerana usaha ini suatu jihad, sudah tentu prosesnya mestilah menepati tuntutan Islam supaya harta yang diperolehi berkat dan mendapat ganjaran Allah SWT.
Dr. Wahbah al-Zuhayli menyebutkan majoriti ulamak menetapkan semua perkara yang diperlukan dalam urusan kehidupan oleh umat Islam yang tidak menyalahi syarak adalah fardu kifayah walaupun tiada nas khusus tentang demikian.
Justeru, mesti ada di kalangan umat Islam yang terlibat dengan perniagaan bagi mengelakkan bidang yang menguntungkan ini dimonopoli oleh orang lain. Penglibatan dalam perniagaan dengan ikhlas juga suatu ibadah.
Justeru, perniagaan yang memenuhi piawai syariah adalah suatu kegiatan yang dianjurkan dalam Islam dan mendapat limpah kurnia-Nya.
Firman Allah SWT:
Sesungguhnya orang yang selalu membaca kitab Allah dan tetap mendirikan solat serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau secara terang-terangan, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian; supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahkan mereka dari limpah kurnia-Nya. (al-Faathir: 29-30)
Penilaian sahnya sesuatu perniagaan menurut Islam adalah berpandukan persoalan sama ada ia memenuhi piawai syarak atau tidak. Jika terdapat elemen yang terbukti ketidakakuran terhadap hukum syarak dan muamalat, perniagaan itu adalah dianggap haram.
Oleh itu, sebarang transaksi hendaklah menggunakan kontrak yang betul dan hendaklah bebas daripada sebarang unsur yang diharamkan dalam syarak.
Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi menyenaraikan unsur-unsur larangan dalam urusniaga seperti berikut:
Membantu kepada perbuatan maksiat;
- Terdapat unsur-unsur gharar atau penipuan;
- Terdapat unsur-unsur eksploitasi atau pemerasan; dan
- Terdapat penganiayaan terhadap salah satu pihak yang berkontrak.
Selain keuntungan kepada peniagaan yang berusaha bersungguh-sungguh, mereka yang terlibat juga akan dijanjikan rahmat jika perniagaan dilakukan dengan kebajikan dan kebaikan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Allah memberikan rahmat-Nya pada setiap orang yang bersikap baik ketika menjual, membeli dan membuat suatu kenyataan. (riwayat al-Bukhari).
Ini kerana perniagaan itu sendiri adalah bagi memenuhi fitrah manusia yang mencari harta serta inginkan keuntungan dan kekayaan.
Walaupun ia adalah satu bidang yang sarat dengan risiko dan cabaran kemungkinan untung dan rugi, namun naluri manusia masih cenderung kepada keuntungan daripada perniagaan itu. Malah, kalau boleh, jiwa manusia mengidamkan keuntungan yang berlipat ganda.
Keadaan ini menyebabkan terdapat sebahagian manusia yang sanggup meraih keuntungan berlipat ganda dengan menghalalkan segala macam demi mencapai matlamat tersebut.
Inilah perniagaan secara batil yang dilarang dalam Islam dalam firman-Nya:
Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu (rasuah) kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui. (al-Baqarah: 188)
Elak perniagaan batil
Perniagaan secara batil yang diharamkan ini termasuklah melalui rompakan, kecurian, makan riba, rasuah, perjudian, makan harta anak yatim dan sebagainya.
Dalam soal lain, perniagaan secara batil juga boleh merangkumi paksaan, penipuan dalam timbangan, monopoli dalam perniagaan, menyorok barang dengan tujuan menunggu harga tinggi, memanipulasi pasaran dengan menaikkan harga barang keperluan hinggalah menerima dan memberi rasuah.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan saling meredai di antara kamu. (al-Nisa': 29).
Ayat ini menjelaskan prinsip asas yang menjadikan sesuatu kontrak itu mengikut syariah adalah saling reda-meredai antara dua pihak yang berakad. Saling reda-meredai ini bermaksud satu pihak berpuas hati dengan satu pihak lagi.
Sebagai contoh, seorang pembeli berpuas hati barang atau produk yang diterimanya dan rasa tidak tertipu sementara penjual pula menjualnya secara bebas, tiada riba, tidak dipaksa dan reda dengan harga jualannya.
Perniagaan sebenarnya bukan diperlukan oleh individu semata-mata, malah oleh masyarakat, negara dan umat.
Ini kerana kemampuan dan tenaga manusia adalah terhad sedangkan keperluan mereka dalam kehidupan adalah pelbagai. Melalui perniagaan, keperluan mereka ini dapat dilunaskan.
Ringkasnya, perniagaan adalah penting dalam Islam dan mesti diceburi dan diperkasakan.
Namun, perlulah diinsafi bahawa keuntungannya menurut perspektif al-Quran dan hadis bukan terbatas dalam perkara yang bersifat material dan duniawi saja, malah ia turut merentasi urusan rohaniah dan ukhrawi yang akan disoal semula akhirat kelak.
Justeru, pemahaman tentang jihad memperkasakan ekonomi ummah yang selari dengan kehendak syariah hendaklah difahami sebaik-baiknya.
Sebagai perkongsian maklumat, Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor menjalin kerjasama dengan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. untuk merealisasikan hasrat ini dengan menganjurkan Seminar Jihad Bisnes pada 13 dan 14 Disember ini.
Program yang akan diadakan di UiTM Shah Alam itu menampilkan tokoh-tokoh ekonomi ummah seperti Tan Sri Muhammad Ali Hashim, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman dan Rohani Mohd. Shahir.
Pembaca yang ingin menyertai seminar tersebut bolehlah menghubungi talian 03-92856577 atau 03-55442664.
No comments:
Post a Comment