INSAFI DIRI...seorang Muslim yang menyedari kesilapan diri perlu segera memohon keampunan daripada Allah s.w.t dan tidak menangguh taubat mereka. |
Oleh Mohd Fadly Samsudin
KEHIDUPAN di dunia ini hanya menawarkan kenikmatan kepada manusia yang menyebab�kan mereka sentiasa tidak puas dengannya.
Bisikan syaitan pula sedaya upaya menggoyahkan iman manusia sehingga berlaku ‘peperangan’ sama ada untuk melakukan kebaikan atau kemungkaran.
Sebagai manusia, kita diberi peluang seluas-luasnya untuk memilih antara satunya. Jika nafsu syaitan berjaya menundukkan manusia bermakna mereka akan hilanglah sifat kemanusiaan.
HADIRI MAJLIS ILMU...orang yang bertaubat sentiasa memperbaiki diri dengan berdamping dengan orang soleh dan sentiasa mempertingkatkan ilmu di dada. - Gambar hiasan |
Setiap kejahatan dan kemaksiatan yang dilakukan seseorang ibarat titik hitam yang akan mengotori seterusnya mengeraskan hati mereka.
Maka bersegeralah memohon taubat daripada Allah dengan harapan Allah menerimanya serta mengampunkan dosa-dosa kita yang terdahulu.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Dia yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya dan memaafkan kejahatan mereka...” (Surah Asy-Syura ayat 25).
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Orang yang bertaubat dari dosa, bagaikan orang yang tidak berdosa. Diceritakan bahawa Umar Al-Khattab berjalan-jalan di pinggir kota , beliau kemudian melihat seorang pemuda membawa botol yang disorok di balik bajunya lalu Umar berkata, “Wahai pemuda, apa yang engkau sorokkan di balik bajumu itu?”
Sebenarnya dia membawa arak tetapi takut untuk mengatakannya. Maka dalam hatinya berdoa, “Ya Tuhanku, jangan engkau beri aku malu di hadapan Umar, jangan engkau bukakan rahsiaku kepadanya. Aku berjanji tidak akan minum arak selamanya.”
Kemudian pemuda itu berkata, “Wahai Amirul Mukminin, yang aku bawa ini ialah cuka.” Lalu Umar berkata, “Cuba bawa ke sini aku lihat.” Kemudian pemuda itu mengeluarkannya dan diperiksa Umar dan ternyata memang benar arak itu bertukar menjadi cuka.
Maka lihatlah makhluk yang bertaubat kerana takut kepada makhluk saja lantas Allah meng�gantikan arak itu dengan cuka kerana mengetahui keikhlasannya mahu bertaubat.
Seandainya orang yang melakukan kejahatan lalu mereka bertaubat nasuha dan menyesali perbuatan dosanya itu pasti Allah s.w.t menerima taubatnya.
Begitu juga dengan sebuah lagi kisah Abu Hurairah, beliau berkata, “Pada satu malam selepas solat Isyak, aku keluar bersama Rasulullah.
Ketika berjalan aku berjumpa dengan seorang wanita dia berkata, “Wahai Abu Hurairah, sesungguhnya aku sedang melakukan dosa. Apakah aku masih boleh bertaubat?”
Kemudian aku tanya dia, “Apakah dosamu itu?” Dia berkata, “Aku berzina dan membunuh anakku hasil perbuatan zina itu.” Lalu aku bertanya kepadanya, “Terlaknatlah engkau. Terlaknatlah engkau. Demi Allah, taubatmu tidak akan diterima.”
Lalu wanita itu keluar dengan hati sedih. Maka aku terfikir dalam hatiku, mengapakah aku berfatwa? Sedangkan Rasulullah berada di samping kami. Maka aku segera menemui baginda.
Lalu baginda berkata, “Engkau sudah salah. Apakah engkau tidak mendengar ayat ini:
“Dan orang-orang yang tidak menyembah Tuhan yang lain bersama Allah, dan tidak pula membunuh manusia yang diharamkan Allah, kecuali dengan kebenaran dan tidak pula mereka berzina. Barang siapa yang membuat demikian, nescaya akan menemui dosa (seksa). Dilipat gandakan seksa untuknya pada hari kiamat dan kekal di dalamnya serta terhina. Kecuali orang yang bertaubat dan beriman lagi beramal soleh. Maka Allah akan mengganti kejahatan mereka dengan kebaikan. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Furqan ayat 68 hingga 70).
Kemudian aku keluar dan berkata, “Siapa boleh menunjukkan kepadaku wanita yang bertanya masalah kepadaku?” Lalu anak-anak berkata, “Dia sudah gila wahai Abu Hurairah!”
Namun, aku cari dia sampai jumpa dan akan khabarkan kepadanya bahawa taubatnya masih diterima. Lalu dia menjerit kegirangan sambil berkata, “Aku ada kebun.
Maka aku akan sedekahkan ia kerana Allah dan Rasul-Nya.”
Antara syarat taubat ialah bersegera meninggalkan dosa, menyesal dengan apa yang berlaku dan bertekad tidak akan mengulangi kembali perbuatan itu lagi.
Kita hendaklah meninggal�kan dosa kerana Allah dan bukannya kerana ada sebab lain. Sesungguhnya penerimaan taubat di sisi Allah hanyalah bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan kejahilan kemudian mereka segera bertaubat.
Sebahagian ulama menyatakan tiada kepastian sama ada taubat seseorang itu diterima atau tidak tetapi ia tanda-tandanya boleh dikesan. Bagi mereka yang diterima taubatnya sentiasa menjaga dirinya daripada melakukan maksiat seolah-olah dalam hati mereka tiada kegembiraan selain mengingati Allah selain sering bergaul dengan orang-orang soleh serta menjauhi golongan fasik.
Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata, taubat itu satu kewajipan kerana manusia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesalahan.
“Kesalahan itu berlaku sama ada antara manusia dengan manusia atau kesalahan antara manusia dengan Penciptanya.
“Apa yang pasti, apa saja kesalahan yang dilakukan manusia, selain daripada menyekutukan Allah maka pintu keampunan amat luas. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-Ku yang melampau batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Dia juga yang mengampunkan segala dosa. Sesungguhnya Dia juga yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Zumar, ayat 53).
“Semua perkara bergantung sepenuhnya atas restu dan rahmat Allah s.w.t namun, peluang terbentang luas ini ada pengakhirannya. Di dalam al-Quran dan hadis Rasulullah secara jelas menunjukkan pintu taubat Allah tertutup sekiranya seseorang hamba hampir menemui ajalnya.
“Firman Allah yang bermaksud:
“Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang yang selalu melakukan kejahatan hingga apabila salah seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah ia: Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini, sedang taubatnya itu sudah terlambat. Dan demikian juga halnya orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang yang demikian Kami sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah al-Nisa’ ayat 18).
“Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat hamba-Nya, selagi roh belum sampai di kerongkong (hampir dengan ajal).” (Hadis riwayat al-Tirmidzi).
“Meskipun pengampunan Allah itu amat luas namun, Islam menggalakkan hambanya bersegera menginsafi kesalahan yang dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, taubat tidak boleh dilengah-lengahkan kerana manusia tidak diberi pengetahuan mengenai tarikh kematian dan tarikh sebenar berlakunya Kiamat.
“Sekiranya seseorang Muslim menyedari kesilapan yang dilakukan, janganlah ditangguh urusan memohon keampunan daripada Allah.
“Sebahagian ulama menyatakan, untuk mendidik diri sentiasa berwaspada dalam setiap perbuatan supaya tidak melakukan kemungkaran mesti sentiasa ingat mati,” katanya.
Menurutnya Imam al-Nawawi dalam kitabnya Riyad al-Salihin menyatakan ulama berpendapat amalan bertaubat daripada setiap dosa yang dilakukan hukumnya wajib.
“Namun, taubat yang sebenar-benarnya bukanlah sekadar berdoa kepada Allah s.w.t supaya kesalahan yang dilakukan diampuni tetapi taubat perlu dilakukan bersungguh-sungguh semata-mata mahu mencapai keredaan Allah.
“Ia datang dari hati tanpa sebarang paksaan dan dibuat-buat. Inilah yang disebut sebagai “Taubat Nasuha”. Ibnu Kathir menyebut bahawa taubat nasuha sebagai taubat yang benar-benar ikhlas dan kebanyakan ulama menyebut ia taubat daripada dosa dan tidak lagi mengulangi perbuatan itu.
“Al-Kalabi menyatakan bahawa maksud taubat nasuha ialah beristighfar dengan lidah, insaf dengan hati dan mencegah dengan anggota badan,” katanya.
Mohd Shahrizal berkata sebahagian ulama menggariskan beberapa syarat taubat untuk mencapai taubat nasuha antaranya berhenti melakukan maksiat kepada Allah, menyesali perbuatan dosa yang dilakukan, berazam tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu selama-lamanya.
“Jika dosa itu berkaitan dengan manusia, maka ia perlu diselesaikan. Contohnya, seorang mencuri harta seseorang yang lain, maka harta yang dicuri itu wajib dikembalikan kepada tuannya.
“Begitu juga apabila seseorang menuduh atau memfitnah seseorang yang lain, maka dia wajib memohon maaf atas segala perbuatan jahatnya itu,” katanya.
Beliau berkata amalan berzikir atau beristighfar adalah antara cara yang boleh dilakukan bagi memohon keampunan daripada Allah.
“Beristighfar wajar dijadikan amalan harian seperti mana yang dilakukan Rasulullah. Zikir “Sayyid al-Istighfar” (Penghulu istighfar) sewajarnya dijadikan amalan harian, pada setiap masa.
“Setiap kesalahan dan dosa yang pernah kita lakukan seharusnya menjadi rahsia dalam diri kita sahaja. Tidak perlu dihebahkan atau diceritakan segala dosa silam yang pernah kita lakukan kepada orang lain.
“Hal ini penting, demi menjaga maruah dan aib diri sendiri pada masa akan datang. Tidak mustahil, pada masa akan datang ketika kita sudah insaf dan bertaubat ia diungkit kembali oleh orang yang pernah mendengar kisah silam kita.
“Justeru, maruah diri mestilah dijaga dan tidak perlu dihebahkan dosa dan kesalahan yang lalu. Apa yang sepatutnya kita lakukan ialah mengadu dan ceritakanlah salah silap kita di hadapan Allah dengan rasa penuh insaf dan mengharapkan keampunan-Nya.
“Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Barang siapa yang bertaubat sesudah melakukan kejahatan, lalu memilih jalan lurus. Maka sesungguhnya Allah s.w.t menerima taubatnya dan Tuhan itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Maidah, ayat 39).
No comments:
Post a Comment