Mohd.Zawawi Yusoh
KITA mungkin ada kisah cinta apa lagi kepada remaja yang sedang asyik bercinta hingga hilang rasa segan dan malu. Melihat kepada gelagat mereka rasa mual dan malu dibuatnya.
Ketika masih dalam suasana Aidiladha dan jemaah haji mula pulang ke tanah air elok rasanya kita menyingkap cinta sekeluarga Nabi Ibrahim supaya jadi perbandingan dan teladan.
Ia kisah cinta yang perlu dijadikan kisah cinta paling sejati sepanjang masa mengalahkan kisah cintanya Romeo kepada Juliet yang rela mati ketika melihat Juliet diam tidak bergerak atau mengalahkan cinta Shah Jahan terhadap isterinya, kemudian ketika isterinya mati dan membina Taj Mahal bagi mengenangkannya.
Ini adalah sebuah kisah yang lebih indah dari semua pengorbanan atas nama cinta yang pernah ada di atas muka bumi ini. Kisah cinta Nabi Ibrahim pada Pencipta-Nya.
Kisah cinta yang penuh dengan ujian, pengorbanan dan cubaan. Kisah cinta yang mungkin menjadi cubaan terberat yang pernah terjadi sepanjang zaman.
Pengorbanan demi pengorbanan yang dilalui Nabi Ibrahim as. adalah bagi membuktikan cintanya kepada Allah s.w.t. Pengorbanan pertama adalah ketika Nabi Ibrahim diharuskan Allah s.w.t untuk berhadapan dengan ayahnya serta menyampaikan kebenaran keesaan Allah.
Tentu sekali ayahnya yang ketika itu menjadi pembuat patung berhala akan berasa amat marah apabila mengetahui anaknya tidak menyembah berhala.
Ia jelas bertentangan dengan keyakinan dan mata pencarian ayah yang dicintainya. Memang amat berat dugaan yang ditanggungnya, akhirnya bukan saja ayahnya tetapi baginda juga perlu berhadapan dengan kekuasaan Raja Namrud serta perlu berhadapan dengan jilatan api yang panas.
Namun, Nabi Ibrahim berjaya melakukan semua itu kerana cintanya kepada Allah begitu besar. Dan setelah Nabi Ibrahim membuktikan cintanya, api pun menjadi dingin atas perintah-Nya.
Sekarang, kita lihat yang lain lagi di mana selepas bertahun-tahun tidak mempunyai anak akhirnya Nabi Ibrahim mendapatkan seorang anak melalui perkahwinannya dengan Siti Hajar.
Setelah kelahiran anaknya itu, Allah kembali mengujinya dengan memerintahkan supaya baginda meninggalkan Siti Hajar dan anaknya, Nabi Ismail di gurun pasir yang tandus.
Ia ujian yang sangat berat bukan? Isteri dan satu-satunya anaknya perlu tinggalkan di tengah-tengah padang tandus. Mampukah kita melakukan hal sedemikian?
Begitu juga bagaimana baginda perlu meninggalkan anak yang amat baginda inginkan di tengah terik matahari dan dinginnya angin malam?
Atas nama cinta yang dimiliki Nabi Ibrahim pada Allah baginda melakukan semua hal itu kerana ia adalah wahyu daripada Allah.
(Dan setelah Nabi Ibrahim membuktikan cintanya, atas perintahNya, air zam-zam pun keluar untuk menghidupi kedua orang itu, disusuli kemudian dengan kedatangan orang-orang untuk bermukim di sekitar mata air zam-zam).
Apa lagi yang lebih hebat? akhirnya ketika Nabi Ibrahim bertemu dengan anaknya selepas bertahun lamanya berpisah, turun lagi wahyu yang meminta Nabi Ibrahim mengorbankan anaknya.
Cinta nabi Ibrahim diuji lagi. Dengan linangan air mata Nabi Ibrahim meletakkan pisau tajam ke leher anaknya dan bersiap sedia melakukan segalanya demi pembuktian cintanya kepada Yang Maha Kuasa.
Baginda tetap melaksanakan perintah untuk menyembelih leher puteranya yang begitu dicintainya demi cinta sejatinya. Dan saat itulah, Nabi Ibrahim berjaya membuktikan keinginan Allah adalah segala-galanya.
Sesungguhnya bukan darah Nabi Ismail yang dikehendaki Allah, bukan juga ketakutan Siti Hajar yang dikehendaki-Nya, bukan pula tubuh Nabi Ibrahim yang dikehendaki-Nya, tetapi yang diuji adalah cinta Nabi Ibrahim.
Yang dilihat adalah bagaimana Nabi Ibrahim boleh ‘menyembelih’ cinta-cinta lain yang ada di hatinya. Menyembelih cintanya pada harta, cintanya pada orang lain termasuk kepada isteri dan anaknya.
Baginda berjaya ‘menyembelih’ cintanya pada diri sendiri, pada dunia dan nafsu sehingga yang ada hanya cintanya pada Allah. Justeru, mari sama-sama kita buktikan cinta kita pada yang Maha Kuasa.
No comments:
Post a Comment