بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, November 10, 2011

Berdikari dengan refleksologi

Oleh HAMIZUL ABDUL HAMID

PANCURAN air di pekarangan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri), Shah Alam, Selangor bercucuran indah. Bumi basah kerana hujan baharu sahaja surai. Dedaun pohon-pohon palma melambai-lambai dipuput semilir petang.

Di balkoni masjid yang nyaman dan bersih itu, dua orang lelaki setia menanti kedatangan pelanggan. Mereka ialah Muhammad Ibrahim Abdullah, 29, dan Hafiz Abdullah, 27.

Berbekalkan kudrat dan kemahiran, urutan refleksologi dijalankan. Penulis tertarik mendekati mereka, lalu mencuba urutan yang tersedia.

"Sila duduk encik. Urutan kami murah sahaja. Jika di luar, sekali urutan refleksologi ini biasanya RM25 hingga RM30 bagi 30 minit. Tetapi di sini, kami ambil RM15 sahaja. Jauh lebih murah tetapi kualitinya terjamin," pelawa Ibrahim.

Ramah tamahnya membuka keceriaan. Penulis melabuhkan punggung di kerusi malas yang tersedia dan menjulurkan kaki untuk diurut.

Lelaki berkulit putih dan jernih wajahnya, dengan cekatan mengambil tempat duduk. Dia mulai melumur losen ke kaki. Sambil diurut, penulis mula mengambil kesempatan untuk berkenalan.

Maka tahulah penulis, Ibrahim asalnya orang Johor. Manakala temannya Hafiz orang Selangor. Ibrahim kini menetap di Subang dan mencari rezeki mengurut kaki di Shah Alam.

Dia masih bujang dan bekas atlet paralimpik yang bukanlah calang-calang orang.

"Alhamdulillah, dahulu saya mendapat pendidikan di Sekolah Majlis Sukan Negara (MSN). Di situlah saya mendapat kemahiran melakukan urutan refleksologi dengan tunjuk ajar jurulatih bertauliah fisioterapi MSN.

"Dalam bidang sukan pula, saya adalah atlet paralimpik dalam bidang olahraga, iaitu lari 100 meter dan 200 meter. Serata dunia saya pergi mewakili negara, misalnya ke Hong Kong, Vietnam, Filipina, Singapura dan Korea Selatan.

"Saya pernah mengharumkan nama Malaysia apabila berjaya membawa pulang pingat emas buat negara. Sebagai tanda penghargaan, saya telah menerima pelbagai anugerah, misalnya daripada Kementerian Belia dan Sukan, MSN Johor, Majlis Sukan Paralimpik Malaysia, Kementerian Pendidikan (Khas) dan Kementerian Pembangunan Keluarga dan Masyarakat," jelas Ibrahim.

Beliau bangga menceritakan siri kejayaannya sebelum ini. Ternyata, manusia yang tergolong Orang Kelainan Upaya (OKU) Penglihatan (beliau masih mampu melihat dalam peratusan tertentu) yang petah dan laju berbicara ini adalah orang luar biasa. Pencapaiannya amat mengujakan.

Menurut Ibrahim, hasrat murninya mahu memeluk Islam telah berputik sejak beliau masih di bangku sekolah. Selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau mahu mendaftarkan keislamannya. Namun, beliau dinasihati berbuat demikian selepas usianya 21 tahun.

"Pada tahun 2008 saya berhijrah ke Selangor. Pada mulanya saya bekerja dengan orang. Kemudian saya mengambil keputusan untuk cuba berdikari dan menjalankan perniagaan mengurut kaki sendiri.

"Alhamdulillah, Allah SWT memudahkan usaha saya apabila dipertemukan dengan Imam Besar di Masjid Negeri ini. Beliau banyak membantu sehingga saya dan kawan-kawan OKU Penglihatan dapat bertapak di sini. Mulai 1 Mei 2011, perniagaan ini rasminya beroperasi," katanya.

Ibrahim juga bersyukur kerana selepas bermastautin di Selangor, beliau mendapat pembelaan yang sewajarnya daripada pihak berwajib agama.

"Saya mendapat bantuan zakat bagi mualaf sehinggalah ke awal tahun 2011, iaitu bantuan sewa rumah dan kewangan bulanan.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat juga turut memberikan bantuan bulanan. Ditambah dengan pendapatan mengurut ini, dapatlah saya mengatur kehidupan dengan lebih baik," jelasnya.

Ditanya apakah bentuk bantuan lain yang beliau dambakan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS), Ibrahim memberitahu, cita-citanya adalah mewujudkan pusat mengurut OKU penglihatan di masjid negeri.

"Jika idea ini berjaya dilaksanakan, ia mampu menjadi contoh kepada masjid-masjid lain di Malaysia dalam menangani keperluan pekerjaan OKU seperti kami.

"Untuk itu, saya memerlukan dana yang agak besar. Saya perlu menyediakan tempat yang lebih selesa, membeli katil yang sesuai, tuala dan pelbagai peralatan lain.

"Saya menganggarkan kos keseluruhan ini di antara RM5,000 hingga RM10,000 dan jika LZS dapat membantu, ia amat bermakna buat saya dan kawan-kawan," katanya.

Melihatkan kepada kesungguhan beliau, penulis yakin Allah SWT pasti akan memberikan jalan kepada beliau mencapai apa yang dicita-citakannya.

Lalu minda teringat Rasulullah SAW pernah bersabda: "Sesungguhnya, jika seseorang di antara kamu membawa tali temalinya ke bukit untuk mencari kayu api yang dipikul di belakangnya untuk dijual, sehingga dia mampu memenuhi keperluannya, (maka itu) adalah lebih baik (baginya) daripada meminta-minta kepada orang lain, baik mereka memberi ataupun menolaknya." (Riwayat Bukhari).

Nota: Perkhidmatan mengurut kaki refleksologi Ibrahim dibuka setiap hari, bermula pukul 12 tengah hari sehingga 5 petang, termasuklah Sabtu dan Ahad di Masjid Negeri Shah Alam, Selangor (berdekatan Kaunter LZS). Beliau boleh dihubungi di talian 013-7705519.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...