بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, November 7, 2011

Kembara ke Baitullah wajar dapat haji mabrur

Oleh Ashraf Muslim


Seseorang pulang dari Tanah Suci tanpa perubahan perlu muhasabah diri, cari kesilapan

"HAMBAMU datang menyahut panggilanMu, ya Allah HambaMu datang menyahut panggilanMu, ya Allah tiada sekutu bagiMu. HambaMu datang menyahut panggilanMu. Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaanMu. Tiada sekutu bagiMu..."


Menjadi harapan setiap kita yang dijemput menjadi tetamu Allah SWT untuk memenangi hati-Nya dengan berusaha bersungguh-sungguh menunaikan ibadah sebaiknya serta menghindarkan diri daripada perkara melukakan hati-Nya.

Kesan mabrur atau tidak ibadah itu paling mudah digambarkan apabila seseorang yang pulang dari Tanah Suci berubah menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya dan lebih utama, sentiasa istiqamah melakukan kebaikan.

Selain keredaan Allah, matlamat kita adalah jelas, supaya setiap amalan mendapat ganjaran terbaik dan bagi yang menunaikan umrah atau haji ialah ibadah itu diterima serta tergolong dalam kalangan dikurniakan haji dan umrah yang mabrur.

Kesan mabrur atau tidak ibadah itu paling mudah digambarkan apabila seseorang yang pulang dari Tanah Suci berubah menjadi insan yang lebih baik daripada sebelumnya dan lebih utama, sentiasa istiqamah melakukan kebaikan.

Justeru, jika selepas kembara suci di Baitullah tidak menampakkan perubahan baik diharapkan, mungkin kita perlu bermuhasabah diri di mana silapnya atau di mana kurangnya hingga keputusan tidak mencapai standard sepatutnya.

Mungkinkah ia berpunca daripada niat, sumber digunakan untuk ke Tanah Suci atau tingkah laku semasa di Tanah Haram. Semua itu boleh menjadi punca kegagalan kita berjaya dalam ujian untuk menjadi insan lebih baik. 

Sering kali kita diingatkan mengenai mereka yang berpeluang menjejakkan kaki ke rumah Allah tetapi gagal memanfaatkan anugerah berkenaan. Hakikatnya, bukan mudah untuk mendapatkan haji atau umrah mabrur tetapi ada cara untuk mencapainya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menunaikan haji kerana Allah dan tidak dicemari perkara dosa dan maksiat, dia akan kembali seperti hari pertama dia dilahirkan.” (Hadis riwayat Bukhari) 

Lagi satu, jangan sekali-kali meletak sasaran ke Makkah untuk menyucikan dosa dilakukan sebelum ini dengan harapan ia akan terhapus dan selepas kembali kita masih melakukan kesilapan sama. Ini pandangan yang salah sama sekali.

Semalam dan hari ini, ibadat korban ditunaikan di seluruh pelusok dunia. Mereka yang dimurahkan rezeki terbabit dalam ibadat korban untuk bersama menikmati pemberian Allah itu bersama saudara lain yang kurang berkemampuan.

Pengorbanan memberi makna tersendiri kepada setiap kita kerana berkorban bukan sekadar menyembelih haiwan setiap kali tibanya 10 Zulhijjah, tetapi boleh jadi kita berkorban masa, tenaga, harta dan rasa.

Oleh itu, bagi yang tidak berkemampuan untuk menyembelih lembu atau kambing pada Aidiladha ini jangan sekali-kali kecewa kerana kita masih ada cara mendapatkan pahala ibadah korban dengan menghadirkan diri di majlis dianjurkan surau atau masjid di kariah kita.

Khususnya kepada golongan muda yang ada antaranya masih belum memahami atau dapat menghayati hikmah di sebalik ibadah korban, kehadiran mereka untuk bersama bergotong-royong adalah permulaan baik melakukan pengorbanan.

Tenaga yang disumbang dan masa dikorbankan bersama melapah daging serta mengagihkannya kepada ahli kariah termasuk dalam pengorbanan besar mereka. Pengorbanan itu lebih bermakna apabila dilakukan dengan hati ikhlas kerana Allah SWT.

Justeru, kepada anak muda, jangan berat hati untuk menyertai aktiviti ibadah korban bersama golongan dewasa di masjid atau surau. Inilah masanya untuk berbakti kepada masyarakat setempat dan pada masa sama menjalinkan silaturahim yang sangat dituntut agama Islam.

Saya bersyukur kerana dapat bersama keluarga di Taman Seri Telok Mas, Melaka, untuk meraikan Aidiladha dan menyertai jemaah Surau Al-Firdaus Taman Seri Telok Mas. Hebat juga kerana ramai anak muda bersama bergotong royong menyembelih dan melapah daging korban.

Melihat kemeriahan serta suasana harmoni itu, terkenang pula saudara Islam di negara lain yang mungkin tidak berkesempatan melalui pengalaman ini. Namun, keprihatinan rakyat Malaysia kini turut meluas melalui program korban di luar negara seperti di Thailand dan Kemboja.

Semoga niat kita menunaikan ibadah korban dan bersama bergotong-royong memenuhi syariat agama dinilai sebagai amal kebaikan. Selamat meraikan Aidiladha dan pengorbanan kita tidak kira apa caranya diterima Allah.

(Ayat untuk penyakit kanser: surah al-Mukminun, ayat 91-100 dan surah al-Anbiya’, ayat 38-50. Amalkan setiap hari dan banyakkan berdoa kepada Allah) 


BH2011/11/07

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...