Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. (Al-Hajj 22:36)
******************************
AYAT di atas jelas menunjukkan bahawa unta adalah antara haiwan yang disebut dalam al-Quran.
Malah dituntut untuk menyembelih unta bagi memenuhi ibadat korban pada hari raya Aidiladha.
"Daging unta pula merupakan sunnah Rasulullah, baginda sangat suka makan daging unta," kata Md. Daud.
Namun disebabkan haiwan itu hanya sesuai hidup di gurun padang pasir, maka ia bukan haiwan pilihan dalam melaksanakan ibadat korban oleh umat Islam di negara ini.
Di Malaysia kerbau, lembu dan kambing merupakan antara haiwan yang sering disembelih untuk tujuan korban.
Apa pun, unta sebagaimana mengorbankan lembu atau kerbau boleh dikongsi tujuh orang atau tujuh bahagian.
Malah ia antara haiwan yang sangat digalakkan untuk tujuan korban.
Berkenaan dengan soal pembahagian dan sedekah daging unta kepada golongan fakir dan miskin juga sama sama sebagaimana kita menyembelih lembu atau kerbau.
Kecuali syarat utama untuk sembelih unta bagi tujuan korban hendaklah pilih unta yang gugur gigi hadapannya.
Ia menandakan haiwan itu telah cukup umur iaitu lima tahun atau masuk tahun keenam.
Selain itu disebabkan leher yang agak panjang, unta disembelih di pangkal leher berhampiran dada dengan memotong halkum dan urat marih.
Walaupun terdapat usaha Barat yang menentang ibadat korban dalam Islam atas pelbagai tuduhan termasuk menyeksa haiwan dan sebagainya, tetapi Md. Daud berharap di saat jemaah di Mekah mengerjakan haji, umat Islam yang lain di seluruh dunia pula mengerjakan ibadat korban.
"Sebabnya, pahala dan ganjaran melakukan korban ini sebagaimana mengalirnya darah dari haiwan yang dikorbankan itu, mengalir tanpa henti untuk kembali ganjaran itu kepada mereka yang melakukan korban itu," jelasnya.
Ia dijelaskan sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya adalah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya. (al-Hajj: 37)
Walaupun di Malaysia unta bukannya haiwan ternakan tetapi kebelakangan ini, ia turut menjadi pilihan kepada umat Islam di negara ini menjadikannya sebagai haiwan korban.
Ini menjadikan satu pemandangan yang cukup unik kerana unta bukanlah haiwan yang dipelihara atau dibela di negara ini.
Malah sebelum ini pun tidak ada mana-mana pihak yang melakukan promosi daging unta.
Tidak ada siapa tahu mengenai khasiat dan keenakan dagingnya. Jadi memakan daging unta agak asing kepada masyarakat negara ini.
Namun, apabila ia mula diperkenalkan untuk tujuan korban, masyarakat Islam mula tertarik dan berlumba-lumba membeli dan mengorbankan unta. Pastinya, yang mendapat manfaat daripadanya adalah golongan fakir miskin.
Sebabnya, mereka dapat menikmati daging unta yang merupakan daging yang paling mahal berbanding kambing, lembu dan kerbau.
Di negara ini, Masjid Al Azhariah di Seksyen 18, Shah Alam, Selangor merupakan masjid yang mula-mula membawa masuk unta untuk tujuan ibadat korban pada tahun 2006.
Ia kemudiannya dicontohi oleh masjid dan surau di seluruh negara apabila majlis penyembelihan korban semakin meriah dengan unta-unta untuk dikorbankan.
Di samping itu, wujud banyak syarikat bumiputera lain untuk membawa masuk unta dari Australia apabila permintaan terhadap unta semakin meningkat.
No comments:
Post a Comment