Oleh Ashraf Muslim
2011/11/21
Usah salahkan takdir kerana manusia sebaik-baik makhluk dikurniakan akal untuk berfikir
KERISAUAN ialah reaksi munasabah kepada perkara yang menentang arus terutama yang bertentangan dengan ajaran agama. Justeru, kegelisahan masyarakat apabila ada pihak cuba membesarkan isu membabitkan gay, lesbian, biseksual dan transeksual, adalah reaksi wajar.
Khususnya umat Islam yang setiap hari terpaksa berdepan pelbagai tekanan, dugaan, cabaran serta pujukan yang cuba mengelirukan mereka terhadap ajaran agama hingga ada terpengaruh, langsung mempertikaikan hukum Allah yang sudah jelas diterangkan dalam al-Quran.
Melihat kepada kerisauan pihak yang tidak bersetuju, banyak perlu dilakukan kerana menentang atau bertikam lidah tidak akan membawa kita ke mana-mana. Mungkin cara terbaik menangani kemelut ini ialah dengan mencari jalan bagaimana untuk membawa mereka yang terjerumus dalam perlakuan dilarang agama supaya dapat kembali ke pangkal jalan.
Saya pernah berdepan kes wanita mengakui nalurinya menyukai wanita. Beliau sudah bersuami serta mempunyai anak yang ramai. Tetapi apabila terpandang wanita yang disukai, hatinya terdetik alangkah indahnya kalau dapat mendekati serta menjalinkan hubungan mesra.
Pelikkan, tetapi itulah hakikatnya. Bagaimana dia boleh menempuh hidup berkeluarga dan kekal dalam hubungan suami isteri? Katanya, semua itu dilaksanakan atas dasar tanggungjawab dan memenuhi amanah diberikan.
Apa yang membuatkan beliau berjaya menahan gelodak rasa atau lebih tepat lagi keinginan terhadap kaum sejenis itu, ialah keimanan kepada Allah serta kesedaran bahawa apa yang dirasainya tidak disukai Allah seterusnya mengambil ini sebagai ujian didatangkan kepadanya.
Mengakui bukan mudah untuk menghalang perasaan, semua itu diatasi dengan banyak mengingati Allah dan melakukan ibadat diwajibkan seperti solat.
Alhamdulillah, berkat kesungguhan serta tekad yang tinggi, beliau berjaya mengharungi dugaan walaupun hingga kini perasaan itu sekali sekala datang juga menyapa jiwa dalamannya.
Melihat ketabahan wanita ini, saya percaya golongan yang terjerumus dalam kegiatan menyalahi hukum syarak masih boleh mengubah kehidupan mereka dengan syarat bersedia mengorbankan naluri yang sudah menguasai pemikiran, hati serta hidup mereka.
Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Namun, terpaksa diakui, perkara ini bukan mudah tetapi perlu dilakukan kerana pastinya sebagai umat Islam yang percaya kepada Allah, kita tidak mahu berdepan dengan kemurkaan dan hukuman berat pada akhirat nanti.
Ia tidak mustahil jika kita mahu melakukannya serta mendapatkan pertolongan untuk melakukannya.
Mungkin kesilapan golongan ini ialah dilahirkan dengan naluri tidak normal, kemudian dipupuk pula oleh faktor persekitaran serta pembabitan secara langsung dengan kumpulan sudah jauh terbabas.
Akibatnya, mereka menganggap perkara itu tidak salah. Sebenarnya yang salah tetap salah biar apa pun alasannya.
Satu lagi ingin saya kongsikan ialah kisah rakan yang dilahirkan sebagai lelaki berjiwa lembut. Ini disedari ibunya sendiri yang sentiasa memberi perangsang supaya anak lelakinya menerima dugaan Allah dengan tabah dan menanamkan sifat mukmin dalam dirinya.
Kawan ini juga sudah berkeluarga, mempunyai cahaya mata tetapi penampilannya masih dilihat sebagai lelaki lembut. Apabila saya tanya bagaimana berdepan dugaan ini, katanya, kembali kepada Allah. Laksanakan tanggungjawab sebagai umat Islam dan jauhi perkara boleh mendedahkan kita kepada pengaruh tidak baik.
Menyedari kelemahan diri, beliau mengelak daripada bergaul dengan lelaki lembut yang sudah terbabas sebaliknya memilih kawan yang dapat membantu. Beliau juga menyibukkan diri dengan melakukan aktiviti dilakukan lelaki biasa seperti bermain bola sepak, walaupun perwatakannya memang nampak lembut. Katanya, jangan diikutkan hati dan jangan mudah mengalah.
Oleh itu, bagi yang terjebak dalam hubungan dilarang agama Islam, masih belum terlambat untuk kembali ke pangkal jalan asalkan kita sanggup berkorban dan berusaha lebih sedikit membetulkan keadaan yang tidak betul ini.
Jangan sekali-kali menyalahkan takdir kerana kita adalah sebaik-baik makhluk dijadikan Allah dan dikurniakan akal untuk berfikir. Sentiasa berdoa kepada Allah semoga diberikan kekuatan dan pada masa sama, berusaha untuk mengubah diri.
Cabarannya memang hebat tetapi dengan izin Allah serta niat ikhlas, usaha itu akan berjaya. Mulakan dengan niat untuk berubah dan berusaha meninggalkan perkara yang menjerumuskan kita kepada aktiviti tidak elok itu.
Mulanya akan susah terutama apabila ada pihak yang tidak mahu kita berubah. Inilah cabaran paling besar yang ada kala akan menentukan apakah kita mampu meneruskannya atau sebaliknya.
Doa saya semoga mereka yang ingin berubah dipermudahkan jalannya. Surah at-Taubah banyak membicarakan mengenai dosa dan apabila membacanya, kita akan menjadi gerun. Cuba fahami apa yang disampaikan dalam surah ini daripada terjemahan ayatnya. Moga kita mendapat pengajaran.
INFO
Ayat untuk penyakit kencing manis, surah al-Anbiya’ (ayat 62-73) dan darah tinggi, surah an-Nahl (ayat 51-64). Amalkan membacanya dan banyakkan berdoa kepada Allah.
No comments:
Post a Comment