Soalan:
SAYA mengenali seorang individu. Dia dalam kategori orang senang dan hampir saban tahun ke Mekah untuk tunai umrah atau haji. Masalahnya, dia ada berhutang dengan seseorang sejak beberapa tahun lalu tetapi sampai sekarang masih belum dijelaskan.
Apakah hukumnya perbuatan orang begini yang selalu ke Mekah saban tahun tetapi masih tidak mahu menjelaskan hutangnya?
JAWAPAN:
Membayar hutang adalah lebih utama (awla) daripada melakukan ibadat haji atau umrah berulangkali.
Haji buat kali yang pertama adalah wajib, manakala kali berikutnya adalah sunat, manakala umrah adalah sunat. Sedangkan membayar hutang adalah wajib.
Tidak diterima Allah SWT apabila kita berulang alik ke Mekah sedangkan hutang kita sesama manusia tidak dilangsaikan. Kalau tidak mampu mungkin boleh mohon tangguh. Tetapi kalau tiap-tiap tahun pergi haji dan umrah tidak timbul persoalan tidak mampu.
Membayar hutang adalah satu kewajipan yang tidak boleh ditangguhkan apabila si pemiutang berkemampuan membayarnya. Bagi mereka yang mampu membayar hutang tetapi menangguhkan pembayaran tersebut dikira berdosa dan perbuatannya haram di sisi syarak. Ini kerana Islam sangat menitikberatkan soal pembayaran hutang.
Di antara sebabnya, bagi menjaga keharmonian hidup. Apabila si peminjam berdiam diri, atau tidak mengendahkan hutang yang sepatutnya dibayar maka sikap yang demikian akan menyebabkan orang yang memberi pinjam tidak berpuas hati, mungkin juga boleh mengundang kepada pergaduhan.
Yang keduanya, tidak menjaga janji. Kebiasaannya bila seseorang itu berhutang pasti akan menjanjikan satu tarikh, bulan atau tahun bagi melangsaikan hutang tersebut.
Malangnya apabila tiba tempoh atau ketika yang dijanjikan orang yang berhutang tidak melangsaikannya sedang dia mampu membayarnya.
Jika masih tidak mampu membayarnya sepatutnya meminta tangguh untuk satu tarikh yang akan datang. Ini di antara akhlak yang sepatutnya ada pada orang yang berhutang.
Malangnya ada segelintir ahli masyarakat kita yang sudah hilang rasa malu, hilang rasa tanggungjawab, hilang rasa persaudaraan. Hutang tetap dikira hutang, ini ikut perjanjian awal, melainkan orang yang memberi hutang menghalalkan pinjamannya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermuamalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya. (al-Baqarah: 282).
Dalam ayat sama Allah melanjutkan Firman-Nya bermaksud: Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan benar, dan janganlah penulis enggan menulisnya sebagaimana yang telah diajarkan oleh Allah, maka hendaklah ia menulis dan orang yang berhutang itu mengimlakkan (menyebutkan) mengenai apa yang ditulis itu dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah dan jangan ia mengurangi sedikitpun daripada hutangnya.
Baginda Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Penundaan hutang bagi mereka yang mampu adalah satu kezaliman. (riwayat al-Bukhari; no: 585)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Penangguhan hutang oleh orang yang berkuasa membayarnya, adalah satu kezaliman, halal maruah dan hukuman ke atasnya (iaitu pemberi hutang boleh mengambil tindakan ke atas diri dan maruahnya". (riwayat Ibnu Majah)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Kurangkan dirimu daripada melakukan dosa, maka akan mudahlah bagimu ketika hendak mati. Kurangkan daripada berhutang nescaya kamu akan hidup bebas". (riwayat al-Baihaqi ).
Beberapa kali Rasulullah SAW enggan menyembahyangkan jenazah orang yang berhutang sehingga ada di antara sahabat yang sanggup bertanggungjawab atas hutang si mati itu.
Ini kerana baginda SAW pernah memberitahu bahawa orang yang mati sedang dia berhutang maka amalannya tergantung sehingga dilangsaikan oleh ahli keluarganya atau sesiapa yang bersifat ihsan kepadanya.
Sebab itulah, ketika keranda diusung setelah selesai solat ahli keluarga akan meminta agar hutang si mati dituntut kepada ahli keluarga, supaya biarlah rohnya aman. Kalau hutangnya sedikit bolehlah ahli keluarga tanggung tapi kalau hutangnya banyak bagaimana?
Sebab itulah ingat sebelum terlambat. Bagi mereka yang berhutang secara individu, peribadi segeralah membayar hutang, usahalah untuk membayar hutang. Biar kawal sikit perbelanjaan asal dapat menebus hutang.
Dengan demikian yang memberi hutang dapat pahala dan yang membayar hutang juga dapat keberkatan.
Apa yang menghairankan kita, semasa nak pinjam bukan main manis lagi janji-janji yang ditaburkan, tapi bila dah bagi pinjam batang hidung pun tak Nampak. Masa nak pinjam macam-macam alasan yang diberi, ada alasan yang betul ada alasan yang tipu.
Namun, apabila tiba masa untuk memulangkan duit dia rasa akan papa dengan membayar balik hutang yang tertanggung atasnya.
No comments:
Post a Comment