بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Wednesday, November 16, 2011

Kalam Imam Muda : Catat seribu pengalaman

ALHAMDULILLAH. Selesai sudah pelaksanaan ibadat haji bagi tahun ini dan sebagaimana manusia lain, perjalanan sepanjang mengerjakan ibadat ini memberi seribu satu macam pengalaman yang menginsafkan diri saya.

Bersama himpunan jutaan umat Islam yang datang daripada seluruh pelosok dunia, saya dapat juga menyempurnakan semua rukun wajib haji hinggalah menyelesaikan wukuf di Arafah.

Sepanjang tempoh ini membuatkan saya berfikir betapa besarnya kurniaan nikmat diberi Allah SWT berbanding ujian kesusahan yang kita terima.


Wukuf di Arafah antara ibadat haji yang perlu dilaksanakan setiap jemaah haji. Amalan wukuf adalah perhimpunan besar manusia di padang dengan bahang terik mentari, tiada daya dan upaya melainkan semuanya mengharapkan keredaan Ilahi.

Perhimpunan jutaan manusia di Arafah juga diibaratkan sebagai simbolik kepada perhimpunan besar yang bakal dilalui semua umat manusia di Mahsyar kelak.


Jika dilihat perjalanan yang perlu dilalui setiap jemaah iaitu dari kota Makkah ke Arafah, ia dirasakan sangat menguji kesabaran dengan lautan manusia berasak-asak dalam usaha untuk sampai ke destinasi.


Kesabaran setiap jemaah lebih teruji apabila terpaksa bersesak, berhimpit, ditolak dan dirempuh oleh segelintir jemaah yang mementingkan diri.

Namun, apalah sangat jika dibandingkan dengan kesusahan dilalui Rasulullah SAW serta sahabat pada zaman dulu untuk menunaikan ibadah haji jika dibandingkan zaman serba moden ini.


Dalam tempoh melaksanakan ibadah haji, saya juga cuba merasai pengalaman segelintir jemaah yang kurang bernasib baik dengan mencuba tidur di luar khemah sewaktu ‘ber‘mabit’ (bermalam) di Mina.

Dengan hanya beratapkan langit dan bulan, baru saya sedar betapa besarnya nikmat diberikan Allah SWT kepada kebanyakan daripada kita berbanding kumpulan jemaah ini.


Benarlah kata-kata yang biasa kita dengar bahawa manusia hanya akan menghargai sesuatu nikmat selepas kehilangannya.


Begitu juga ketika ber‘mabit’ di Muzdalifah. Dengan hanya berlantaikan tikar tanpa atap, diselubungi kesejukan malam dan debu, saya terasa betapa kerdilnya diri ini di sisi Allah SWT.


Malah, sewaktu mengerjakan wukuf di Arafah, terasa diri diselubungi rasa syahdu. Hati terasa sangat dekat dengan Allah apabila melihat jemaah mengalirkan air mata sambil tidak putus-putus berzikir memuji Allah dan berdoa memohon pengampunan serta rahmat daripada-Nya.


Lebih menyentuh hati dan perasaan lagi apabila diperdengarkan isi kandungan khutbah wida’, iaitu khutbah terakhir Rasulullah SAW sebelum wafat.


Khutbah terakhir ini disampaikan baginda pada 9 Zulhijjah, tahun ke-10 Hijrah.


Antara petikan isi kandungan itu sememangnya sangat menyentuh perasaan, terutama sewaktu baginda berpesan kepada umat Islam yang bermaksud: “Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah pada bulan Ramadan, tunaikanlah zakat daripada harta kekayaan kamu dan kerjakanlah ibadat haji jika kamu mampu.


“Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah bersaudara kepada Muslim yang lain dan tidak seorang pun antara kamu lebih mulia daripada yang lain kecuali di dalam soal takwa dan amal soleh.


“Ingatlah bahawa kamu akan menghadap dan menemui Allah SWT pada satu hari kelak untuk dipertanggungjawabkan di atas segala apa yang kamu kerjakan.


“Oleh itu, awasilah supaya jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaan ku.” Namun begitu, jika Rasulullah SAW mampu melihat keadaan pada masa kini, pasti baginda terasa sebak dan hiba berikutan kebanyakan umat Islam pada masa kini sudah jauh menyimpang daripada apa disyariatkan Allah SWT.


Jika kita teliti, bermula daripada proses menyambut kelahiran hinggalah tiba ke saat menguruskan kematian, akhlak dan cara hidup Rasulullah SAW banyak dilupakan akibat ditenggelami arus keduniaan.


Perkara haram serta jelik dilakukan secara terang-terangan dan bertukar menjadi kebiasaan sebagai trend masa kini.


Individu yang cuba menyusuri syariat Allah pula dipandang jelik dan kolot, dan ada pula sebahagian daripada kita dalam keadaan kurang kesedaran iman, memperkecil serta mempermainkan agama sendiri.


Kerana itu, memperjuangkan Islam pada akhir zaman ini digambarkan seolah-olah menggenggam bara api kerana ajaran Islam dilihat terlalu asing untuk dipraktikkan.


Hadis Riwayat Muslim menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud: “Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing.” Tidak hairan mengapa hati manusia menjadi mati dan lebih keras daripada batu akibat kegagalan mematuhi apa yang diwahyukan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Kemudian sesudah itu, hati kamu juga menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir air sungai daripadanya; dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya; dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah; sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.” (Al-Baqarah, 74) Ini adalah kenyataan hidup manusia pada masa kini. Sekeras-keras batu itu, ia tetap memberi manfaat kepada manusia. Sekeras-keras hati manusia, hanya mengundang kepada kebinasaan dan kemurkaan Allah.


Jadi, sepanjang mengerjakan haji ini, terpalit juga rasa kekesalan yang menebal di dalam hati saya, terutama apabila melihat ramai jemaah mengabaikan aspek kebersihan.


Ramai jemaah lupa betapa pentingnya kebersihan di dalam Islam, sedangkan ia sebahagian daripada kesempurnaan iman.


Namun begitu, apa yang saya amati ketika di tanah suci, kebanyakan umat Islam masih tertinggal jauh dalam penjagaan kebersihan jika dibandingkan dengan masyarakat bukan Islam, terutama di negara Eropah yang jauh lebih berdisiplin.


Secara nyata, aspek kebersihan sudah sampai ke tahap sangat serius dan perlukan perhatian khusus. Masakan tidak serius, jika sampah-sarap boleh dilihat bertaburan di merata-rata tempat. Ini bukan budaya kita sebagai Muslim kerana Rasulullah SAW sangat menitikberatkan soal kebersihan.


Bermula dengan perkara yang kita anggap kecil dan sering diabaikan, lama-kelamaan menjadi penyakit yang bersarang dalam hati, seterusnya menjadikan hati lebih keras daripada batu.


Maka, sebagai manusia yang dilahirkan dalam Islam, hargailah ia kerana bukan semua manusia dilahirkan Islam. Jadilah Muslim yang memelihara agamanya, bukan yang menjatuhkan martabat agamanya.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...