ALLAH SWT menebarkan rahmat ke atas umatnya dengan menggalakkan mereka melakukan banyak amal ibadat untuk mendekatkan diri dengan-Nya. Di samping itu, disediakan kelebihan tersendiri pada semua ibadat.
Ibadat haji adalah ibadat jasmani dalam jangka panjang bagi menzahirkan keesaan Allah SWT. Ini dapat dilihat melalui lafaz talbiah yang diucapkan jemaah haji yang memfokuskan kepada tauhid ubudiyyah kepada Allah SWT.
Bagi mereka yang melakukan haji penuh keikhlasan dan dapat mendisiplinkan diri dengan tuntutan serta larangan akan dikurniakan ganjaran besar di sisi Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang menunaikan haji serta mematuhi larangannya iaitu tidak melakukan perkara keji, tidak bercakap kotor serta tidak melakukan penyelewengan, maka dia akan kembali ke tanah air dengan bersih dan suci umpama kanak-kanak yang baru dilahirkan.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain)
Jemaah haji berkumpul di tempat mulia di sisi Allah SWT pada hari Arafah, hari paling banyak dibebaskan ahli neraka seperti sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Tiada hari yang paling banyak dibebaskan umat daripada api neraka melainkan pada hari Arafah. Mereka akan mendapat penghormatan daripada sekalian malaikat.” (Hadis riwayat Muslim)
Di tempat yang paling suci inilah jemaah haji bermunajat kepada Allah SWT. Tempat suci inilah yang menjadi asas dibina oleh Nabi Ibrahim AS dengan binaan spiritual yang kukuh berteraskan keikhlasan dan ketakwaan.
Oleh itu, Allah SWT abadikan kenangan itu hingga hari kiamat bagi menunjukkan bahawa amalan yang berkualiti di sisi Allah SWT adalah amalan yang hanya dilakukan semata-mata kerana menuntut keredaan Allah SWT.
Dengan mengenakan pakaian ihram yang sederhana, tiada sebarang wangian, maka jelaslah nafsu manusia yang menginginkan kemewahan dan kenikmatan tidak mendapat tempat di sisi Allah SWT khususnya dalam melakukan ibadat kepada-Nya.
Hajarul Aswad yang dikucup sudah pasti menggugurkan banyak noda dan dosa sehingga menjadi hitam pekat kerana menanggung dosa. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Hajarul Aswad diturunkan dari syurga dalam keadaan putih bersih dan akhirnya menjadi hitam dengan dosa anak Adam.” (Hadis riwayat Tirmizi)
Seterusnya jemaah melontar tiga Jamrah bagi menzahirkan perseteruan kuat antara iblis dan umat manusia. Iblis tidak pernah berputus asa melakukan penyesatan terhadap mereka sehingga Nabi Ibrahim terpaksa menghadapi tiga gangguan dalam usaha Baginda melakukan ibadat kepada Allah.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu. Maka jadikanlah ia sebagai musuh kerana ia mengajak manusia menjadi penghuni neraka.” (Surah Fatir, ayat 6)
Jemaah tidak pernah dilupakan sehingga dijadikan malam mereka sebagai ibadat, ketika mabit di Muzdalifah sebahagian daripada malam serta ditambah dengan mengorbankan kekuatan anggota badan pada tawaf dan sai’. Lidah mereka basah dengan talbiah mengesakan Allah SWT.
Kehadiran 10 Zulhijjah pada setiap tahun juga akan digandakan pahala ganjaran kerana ia satu hari besar di sisi Allah SWT.
Daripada Ibnu Abbas RA, Baginda Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada hari yang lebih baik di sisi Allah SWT daripada 10 Zulhijjah.”
Antara kelebihan 10 Zulhijjah yang disebut Imam Ghazali dalam Mukasyafatul Qulub ialah firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami berikan masa kepada Nabi Musa selama 30 malam untuk bermunajat dan ditambahkan lagi 10 menjadi 40 malam.” (Surah Al-A’raf, ayat 142). Itulah hari-hari awal bulan Zulhijjah.
Pada 10 Zulhijjah, Allah SWT menyeru: “Wahai Malaikat, lihatlah kepada hambaku yang datang ke sini dalam keadaan kusut dan tidak terurus, mereka membelanjakan harta dan mengerah keringat yang banyak. Oleh itu saksikanlah bahawa Aku telah mengampunkan mereka.”
Doa mereka dimakbulkan oleh Allah SWT seperti sabda Baginda yang bermaksud: “Sesiapa yang berdoa pada 10 Zulhijjah sama ada duniawi atau ukhrawi akan dimakbulkan Allah SWT. (Mukasyafatul Qulub).
Oleh Ustaz Zamanuddin Jusoh
Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (M) Bhd
No comments:
Post a Comment