بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, November 25, 2011

Nilai semula amalan di ambang tahun baru Hijrah

Oleh Hasliza Hassan

2011/11/25

Tekad perubahan mesti diiringi niat, sasaran untuk mencapai sesuatu matlamat


KISAH peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah masih tetap relevan kepada umat Islam hari ini, bukan saja dari sudut perpindahan secara fizikal, tetapi juga penghijrahan yang meliputi semua aspek kehidupan. 

Pensyarah Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abd Razak Wan Ahmad, berkata perkataan hijrah sudah sinonim dengan bangsa Melayu yang turut dikenali sebagai bangsa yang berhijrah.

Katanya, sejarah menunjukkan bangsa Melayu (bukan di Malaysia saja) melalui fasa penghijrahan kerana mereka pernah menganut agama Hindu sebelum berhijrah kepada agama Buddha, kemudian memeluk agama Islam dan berkembang hingga kini.
Sekarang katanya, sudah mula pula titik ‘penghijrahan’ daripada agama Islam kepada Hindu dan Kristian menjadikan hijrah tajuk yang terus relevan kepada bangsa Melayu serta umat Islam untuk bersama difikirkan. 

“Sebagai bangsa hijrah sudah tentu penghijrahan relevan dengan umat Islam terutama dalam merencana kehidupan mereka kerana tuntutan serta cabaran hari ini menjadikan usaha hijrah itu wajar diberi tumpuan. 

“Khususnya untuk mempertahankan akidah umat Islam yang semakin terancam sekarang ini oleh pelbagai unsur memerlukan kita membina benteng yang kukuh. Oleh itu penghijrahan kepada keadaan lebih baik perlu diutamakan,” katanya. 

Beliau yang menyampaikan ceramah sempena Maal Hijrah kepada jemaah Surau The New Straits Times Press (NSTP), menggariskan lima perkara iaitu amalan, nama, pakaian, budaya dan etika kerja sebagai permulaan ke arah hijrah yang lebih besar. 
Dari aspek amalan, ia membabitkan gaya hidup masyarakat Islam yang dipengaruhi amalan bangsa lain seperti berinai dan bersanding yang bukan nilai Islam. Walaupun sudah diterima, perlu ditinggalkan demi mempertahankan akidah umat Islam. 

Abdul Razak berkata, mahu tidak mahu, perubahan atau penghijrahan daripada amalan yang sudah sebati dengan gaya hidup umat Islam itu perlu dilakukan dan usaha berkenaan mampu dilaksanakan secara perlahan-lahan. 

Begitu juga dengan pemilihan nama, hendaklah yang mempunyai makna baik kerana kecenderungan umat Islam hari ini memberi nama menyerupai bukan Islam atau nama ala-ala ‘moden’ hingga ada membawa maksud tidak baik. 

“Jika nyata nama itu membawa maksud tidak baik, eloklah ditukar dan bagi ibu bapa yang ingin mencari nama untuk anak, pastikan nama itu membawa maksud yang baik. Jangan kerana ghairah nak nama moden, tetapi diberi nama berbaur syirik.

“Pakaian umat Islam hari ini juga tidak melambangkan ciri-ciri Islam. Ada wanita Islam keluar bersarapan memakai baju bertali halus dan berseluar pendek. Ini menimbulkan persepsi negatif terhadap agama Islam. 

“Semua ini mungkin nampak remeh bagi sesetengah pihak, tetapi inilah hijrah yang perlu dilakukan masyarakat untuk mempertahankan akidah dan membuat perubahan kepada hidup berpandukan ajaran Islam,” katanya. 

Beliau turut menegaskan peranan ibu bapa supaya mengamalkan budaya hidup berlandaskan agama supaya anak dapat melihat contoh yang baik dan kemudian diterapkan dalam kehidupan harian mereka. 

Katanya, sikap anak tidak menghormati ibu bapa atau menjalani kehidupan mengikut acuan budaya serta jati diri Islam disebabkan kelemahan ibu bapa sendiri memenuhi tanggungjawab mendidik dan membimbing anak mereka. 

Siapa yang perlu dipertanggungjawabkan jika ada anak remaja yang tidak kenal serai, anak perempuan tidak tahu menggoreng telur, tidak solat atau menutup aurat. Malah, siapa perlu dipersalahkan jika ada lelaki dalam bilik anak perempuan mereka? 

Menyentuh aspek etika kerja pula, Abdul Razak membangkitkan sikap golongan pelajar yang lebih cenderung bersuka ria berbanding memberi tumpuan kepada pelajaran menyebabkan lahirnya siswazah tidak berkualiti yang gagal bersaing di pasaran kerja. 

Justeru, katanya, tahun baru dalam kalendar hijrah sepatutnya membawa maksud pembaharuan dari segi tekad mencapai kehidupan lebih baik melalui niat serta keazaman kerana tidak dinafikan niat penentu kejayaan kepada perubahan ingin dilaksanakan. 

“Jika tahun baru dikaitkan dengan azam, hijrah pula sering dikaitkan dengan amalan muhasabah. Menilai semula apa yang kita lakukan memang dituntut syarak supaya kesilapan tidak berulang dan perbuatan baik terus dipertingkatkan. 

“Tetapi muhasabah bukan setakat amalan kerohanian saja, termasuk keperluan dari segi ekonomi keluarga serta pendidikan anak. Maksudnya, dengan kos sara diri semakin tinggi, bagaimana ibu bapa hendak menyara keluarga serta memastikan anak mendapat pendidikan sempurna. 

“Ini semua sepatutnya termasuk dalam perkara yang hendak diberi penilaian. Sebab itu maksud hijrah luas dan bagi setiap kita hijrahnya mungkin berbeza, tetapi matlamat adalah sama, mencari kebaikan di dunia dan akhirat,” katanya. 

Memetik sabda Rasulullah SAW sebagai renungan yang bermaksud: “Sesungguhnya sah atau tidak sesuatu amalan itu, bergantung pada niat. Dan setiap sesuatu pekerjaan itu apa yang diniatkan. Maka sesiapa yang berhijrah semata-mata taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu diterima oleh Allah dan Rasul-Nya. Dan sesiapa yang berhijrah kerana keuntungan dunia yang dikejarnya, atau kerana perempuan yang akan dikahwini, maka hijrahnya itu terhenti pada apa yang ia niat hijrah kepadanya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...