Di sungai Nil inilah Nabi Musa dihanyutkan oleh ibunya selepas dilahirkan bagi mengelak daripada dibunuh oleh Firaun. - Gambar hiasan |
Disediakan oleh BAHAGIAN ANALISA dan PENYELIDIKAN, YAYASAN DAKWAH ISLAM MALAYSIA
Ketika Bani Israel di Mesir ditindas oleh Firaun, Allah SWT mengutus Nabi Musa a.s untuk membebaskan mereka. Nabi Musa a.s adalah adik kandung Nabi Harun.
Di Mesir, keturunan Nabi Yaakub beranak-pinak selama lebih 400 tahun. Jumlah mereka mencapai ratusan ribu orang. Pada awalnya, mereka diterima oleh raja daripada Kerajaan Hykos.
Namun setelah kerajaan itu berakhir, pemerintahan dikuasai oleh Firaun. Bani Israel diperlakukan sewenang-wenangnya oleh Firaun.
Menurut sejarah, ketika Nabi Musa dilahirkan, Firaun yang memerintah Mesir ialah Ramses II yang menganggap dirinya Tuhan. Nabi Musa diutus oleh Allah bagi mengingatkan Firaun dan membebaskan Bani Israel.
Bersama-sama Nabi Harun, Musa berdakwah kepada Firaun. Namun dakwah mereka ditolak. Nabi Musa dikejar untuk dibunuh tetapi Allah SWT menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya serta membinasakan Firaun.
Berabad-abad lamanya Mesir diperintah oleh raja Firaun. Pemerintahan mereka dijalankan secara turun-temurun. Setiap raja yang memerintah kejam dan menindas rakyatnya, termasuk Bani Israel.
Pada suatu hari, seorang ahli nujum istana menghadap Firaun. Dia meramalkan mimpi Firaun iaitu seorang bayi lelaki daripada Bani Israel akan lahir dan apabila dewasa akan membinasakan kekuasaan Firaun.
Mendengarkan hal itu, Firaun memerintahkan semua bayi lelaki Bani Israel di Mesir dibunuh.
Anak angkat Firaun
Selepas Firaun mengeluarkan perintah itu, seorang wanita bernama Yukabad melahirkan bayi lelaki.
Kerana tidak mahu dibunuh, bayi tersebut dihanyutkan di Sungai Nil. Bayi itu lalu ditemui oleh isteri Firaun. Semasa diberitahu tentang bayi tersebut, Firaun segera memerintahkan supaya dia dibunuh.
Namun, permaisurinya melarang kerana sayang akan bayi itu dan belum dikurniai anak. Akhirnya bayi itu dijadikan anak angkat. Firaun menamakannya Musa.
Bayi Musa sering menangis kerana memerlukan susu. Maka, Firaun mencari wanita yang bersedia mengasuh dan menyusui anak angkatnya itu. Namun, Musa menolak semua wanita yang mencuba menyusuinya, kecuali ibu kandungnya sendiri. (al-Qasas: 7-13).
Membela Bani Israel
Nabi Musa dibesarkan dalam lingkungan kerajaan Firaun. Apabila dewasa, baginda sering berjalan-jalan mengelilingi kota. Pada suatu hari, Nabi Musa berjumpa dua lelaki yang sedang berkelahi.
Salah seorang daripadanya Bani Israel dan seorang lagi berdarah Mesir, keturunan Firaun. Orang Israel itu meminta pertolongan Nabi Musa.
Nabi Musa yang berniat membela kaumnya menumbuk orang berketurunan Firaun tersebut hingga mati.Setelah itu Nabi Musa menyesal dan memohon keampunan Allah atas kesalahannya (al-Qasas: 14-19).
Pelarian ke Madyan
Berita pembunuhan oleh Nabi Musa ke atas rakyat Mesir sampai ke telinga Firaun. Firaun segera menyiapkan bala tenteranya untuk menangkap dan membunuh Nabi Musa.
Oleh sebab berasa terancam, Musa segera meninggalkan negeri itu (rujuk al-Qasas: 20-22). Selama lapan hari lapan malam, Musa berjalan hingga tiba di Madyan iaitu selatan Palestin.
Nabi Syuaib a.s
Nabi Musa selamat tiba di Madyan. Di sana, baginda membantu dua wanita memberi minum ternakan mereka. Kedua-dua wanita itu adalah puteri Nabi Syuaib.
Mereka menceritakan kepada Nabi Syuaib bahawa Musa telah membantu mereka. Mendengar cerita itu, Syuaib ingin membalas budi Musa.
Salah seorang puterinya diutus menjemput Nabi Musa. Nabi Syuaib menyambut Musa dengan gembira dan berterima kasih atas kebaikan serta pertolongan Musa (al-qasas: 23-26).
Nabi Musa gembira tinggal di rumah Nabi Syuaib. Pada suatu hari, Nabi Syuaib menyampaikan hasrat menikahkan Musa dengan puterinya, Safura. Musa terkejut dan gembira mendengar permintaan Nabi Syuaib.
Musa memenuhi permintaan itu dan mematuhi syarat mertuanya. Dalam al-Quran, syarat itu menghendaki Musa bekerja membantu Nabi Syuaib selama 8-10 tahun. (al-Qasas: 27-28).
Dakwah kepada Firaun
Setelah menerima wahyu Allah SWT, Nabi Musa dan Harun menemui Firaun. Firaun terkejut melihat kedatangan mereka. Nabi Musa mula mengingatkan bahawa Firaun bukan Tuhan dan memintanya membebaskan Bani Israel.
Mendengar ucapan itu, Firaun murka dan mahu memenjarakannya. Kemudian, Nabi Musa menunjukkan kebenaran dakwahnya dengan memperlihatkan mukjizat yang diberi oleh Allah agar Firaun mempercayai kenabiannya.
Untuk menyangkal mukjizat Nabi Musa, Firaun mengundang ahli sihir kerajaan. Namun, mereka gagal mengalahkan Musa bahkan sebahagian mereka mengikuti Nabi Musa.
Dakwah Nabi Musa tidak menyedarkan Firaun. Disebabkan hinaan dan ejekan Firaun semakin menjadi-jadi, Nabi Musa berdoa agar Allah menurunkan bencana di Mesir.
Kemarau melanda Sungai Nil dan hasil pertanian tidak dapat dipungut. Allah juga menurunkan rebut taufan dan hujan lebat. Setelah banjir, pelbagai penyakit menyerang. Binatang ternakan binasa.
Semasa ditimpa azab, orang Mesir berjanji akan beriman jika bebas daripada bencana. Firaun sendiri tidak dapat berbuat apa-apa.
Namun, setelah bencana itu berakhir, Firaun kembali menunjukkan keangkuhannya (al-A'raaf: 130-135). Bahkan, Firaun ingin membunuh Nabi Musa dan Bani Israel.
Api daripada Allah SWT
Nabi Musa bekerja untuk Nabi Syuaib selama 10 tahun. Setelah genap tempoh tersebut, Nabi Musa ingin bertemu keluarganya di Mesir. Nabi Musa dan isterinya berjalan merentasi padang pasir. Akhirnya, mereka tiba di Gunung Tursina.
Apabila malam, mereka bimbang untuk meneruskan perjalanan kerana gelap. Tiba-tiba, Nabi Musa terlihat api di suatu tempat yang jauh.
Baginda meminta isterinya tinggal sebentar sementara baginda pergi mengambil api itu. Nabi Musa berjalan ke tempat api dan sampai dekat sebatang pokok. Ternyata api tersebut berasal daripada Allah.
Taurat
Setelah Firaun dan tenteranya tenggelam, Nabi Musa pergi ke Gunung Tursina. Baginda meninggalkan kaumnya dan urusan memimpin mereka diserahkan kepada Harun.
Di sana, Nabi Musa berpuasa selama 30 hari. Puasanya kemudian disempurnakan menjadi 40 hari. Dalam keadaan suci itu, Nabi Musa mendengar firman Allah SWT secara langsung.
Baginda kemudian dikurnia kitab Taurat, yang mengandungi pelbagai nasihat dan penjelasan hukum sebagai pedoman hidup bagi umatnya (al-A'raaf: 142-145).
Nabi Khidir a.s
Nabi Musa diperintahkan Allah mencari orang yang lebih pintar daripadanya. Bersama-sama muridnya, Yusya bin Nun, Nabi Musa pergi dan bertemu Nabi Khidir.
Nabi Musa meminta untuk belajar daripadanya dan mengembara bersama-samanya. Namun, sebelum memulakan perjalanan, Nabi Khidir melarang Nabi Musa bertanya tentang setiap perbuatannya. Syarat itu dipersetujui oleh Nabi Musa.
Di tengah-tengah perjalanan, Nabi Khidir membocorkan perahu, membunuh seorang pemuda dan membaiki rumah yang hampir roboh.
Setiap perbuatan Nabi Khidir memancing rasa ingin tahu Nabi Musa, lalu baginda pun melanggar janjinya.
Di akhir perjalanan mereka, barulah Nabi Khidir menjelaskan tujuan setiap perbuatannya (al-Kahfi: 60-82).
UTUSAN ARKIB : 29/11/2011
No comments:
Post a Comment