بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, November 24, 2011

Margarid temui Islam di Mesir




Susunan SITI AINIZA KAMSARI

JANUARI 2004, bulan yang menyaksikan wanita ini begitu sibuk yang di luar kebiasaan berbanding dengan hari-hari sebelumnya.

Selain sibuk dengan tugas sebagai pelajar terutama hendak menyiapkan disertasi untuk bergelar sarjana, Margarid juga sibuk membuat persiapan untuk ke Nepal.

Mengapa Nepal? Negara itu terpilih untuk memuaskan keinginannya bagi merasai sendiri bagaimana rasanya merantau di bumi orang.

"Sudah dua tahun saya tidak bercuti ke mana-mana. Sudah tidak sabar-sabar lagi rasanya untuk ke Nepal. Saya mahu mendengar sendiri dialek loghat dan bahasa tradisional yang ditutur oleh penduduk Nepal, mengamati segala budaya dan cara hidup mereka, memahami agama mereka, apa yang mereka makan, gaya hias rumah dan segala adat-adat istiadat mereka," katanya.

Namun apabila menyebut soal agama, itu lebih menarik Margarid untuk ke Nepal. Matlamatnya untuk mengenali lebih dekat ajaran Buddha yang penghayatan dan amalan agama itu dikatakan cukup kuat di Nepal.

"Ini menjadikan Nepal destinasi paling sesuai untuk saya mengenali agama Buddha. Untuk itu sebagai persiapan, sebulan sebelum saya ke sana, setiap hari saya menghadiri upacara keagamaan itu di sebuah kuil di Lisbon, Portugal.

"Saya ingin melihat sendiri bagaimana penganut Buddha di Nepal menunaikan upacara keagamaan mereka terutama apabila upacara yang dipimpin oleh tokoh spiritual mereka, Dalai Lama," katanya.

Apabila tiba masanya, Margarid menetapkan tarikh dengan merancang menaiki pesawat ke Delhi, India. Dari Delhi beliau merancang menaiki bas ke Kathmandu, Nepal.

"Dengan cara ini bukan sahaja ia menjimatkan kos tetapi sepanjang perjalanan ke Kathmandu saya akan menyaksikan lebih banyak warna-warna kehidupan, bertemu dan berinteraksi dengan penduduk tempatan dan semua ini akan menjadikan percutian saya kali ini adalah paling menarik yang pernah saya rasai," katanya.
Malangnya semua tiket penerbangan ke Delhi habis ditempah menyebabkan Margarid terpaksa menunggu agak lama sehinggalah ada kekosongan tiket untuk ke sana.

Terasa agak pelik apabila Margarid merasakan niatnya hendak ke Nepal seperti ada yang menghalang. Walaupun telah dirancang dengan baik tetapi Margarid tidak mengerti apa yang bakal terjadi.
Semua yang dia rancang tidak menjadi. Sebaliknya, dia terpaksa menerima tawaran ibunya untuk bercuti di Mesir.

"Saya tidak rasa Mesir itu menarik kerana hati saya benar-benar sudah tertaut untuk ke Nepal," katanya.
Bagaimanapun, suatu hari beliau berjaya 'melupakan' Nepal dan tidak sabar pula hendak ke Mesir.

"Kini bukan Nepal merupakan 'perjalanan' hidup saya tetapi Mesir. Saya akan mengembara sehingga ke gurun padang pasir Sinai, menyeberangi Semenanjung Sinai untuk Jerusalem (Baitul Maqdis).

"Saya akan ke Mesir," tekad Margarid.

Untuk ke Mesir, Margarid melakukan persediaan dengan bertemu penganut agama Kristian Katholik dan mempelajari agama tersebut.

Namun kali ini, beliau juga mendapatkan senaskhah al-Quran terjemahan kerana beliau tahu Mesir adalah sebahagian daripada bumi Anbia. Dia juga ingin mempelajari agama Islam sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran.

Semua itu berlaku kerana hidup Margarid jauh daripada sebarang agama dan tuhan yang wajib dipercayai dan disembah. Dia tidak mempunyai sebarang agama. Kehidupannya banyak dihabiskan dengan berfoya-foya bersama-sama teman sebaya termasuk minum minuman keras.

Akhirnya pada Mei 2004, Margarid selamat menjejakkan kaki buat pertama kalinya di bumi Mesir.
Suatu tarikh pada bulan tersebut dikatakan adalah tarikh yang bersamaan dengan hari Nabi Isa a.s diangkat ke langit. Margarid sempat berada di puncak pergunungan Sinai (Bukit Tursina) untuk menghabiskan masa berdoa kepada tuhan di situ.

Bahagia di Bukit Tursina

Sambil membaca kitab Injil dan tanpa henti dia berdoa kepada tuhan. Margarid berasa sangat bahagia dan tenang di puncak bukit yang mengikut ajaran Islam merupakan lokasi di mana Nabi Musa a.s menerima wahyu dan bertemu dengan Allah.

Namun yang difahami oleh Margarid ketika itu sebagai Moses The Ten Commandmentsmengikut Kitab Taurat.

Tiba-tiba pada saat matahari mula terbenam di ufuk Barat yang menjanjikan keindahan pemandangan alam yang sukar diungkapkan Margarid menjadi leka menikmati suasana itu.

Dalam kelekaan itu tiba-tiba Margarid terdengar melodi lagu yang sangat indah dan dialun dengan begitu tertib dan sayu. Namun beliau tidak tahu dari arah mana datangnya.

Margarid cuba memfokuskan pendengarannya terhadap 'melodi' yang sebenarnya adalah azan sebagai tanda masuknya waktu solat maghrib.

"Ya Tuhan, aku belum pernah melihat atau mendengar suara malaikat? Adakah itu suara malaikat memanggilku," kata Margarid sendirian.

Alangkah terkejutnya Margarid apabila mendapati 'melodi' indah yang beliau dengar sayup-sayup di puncak Bukit Tursina itu adalah melodi yang sama beliau dengar ketika pulang semula ke Kaherah, ibu kota Mesir.
Beliau benar-benar tergamam, malah melodi itu bersahut-sahutan daripada segenap masjid yang ada di bumi Kaherah yang terkenal dengan gelaran Kota Seribu Menara itu.

"Saat itu juga seluruh penghuninya segera mendirikan solat sekalipun di tepi-tepi jalan. Saya terus tertanya-tanya kenapa mereka begitu bersifat rendah hati tunduk dan sujud ke bumi ke arah yang sama dan saya benar-benar ingin tahu agama apakah yang begitu membuatkan hamba-hambanya menjadi begitu sekali.
"Seumur hidup, saya tidak berlutut di hadapan orang atau bersujud untuk mengungkapkan rasa berterima kasih pada seseorang atau meminta sesuatu pada seseorang.

"Tetapi ada umat yang sanggup berlutut dan sujud kepada suatu kuasa yang Maha Besar kerana dengan kuasa-Nya itu manusia menikmati pelbagai kemanisan dalam hidup ini," kata Margarid.

Margarid terus teringat akan pengalamannya yang dia sifatkan sebagai meditasi di puncak gunung Sinai itu kerana ia bagaikan tuhan telah memberikannya satu petunjuk dan keberkatan.

"Tuhan telah memberitahu dan memberi saya ilham suci bahawa Dialah satu-satunya yang berhak jika saya harus berlutut dan menyembah," katanya.

Apa yang dialaminya di Gunung Sinai dan apa yang dilihat dan dipelajari daripada kaum Muslimin Mesir yang sanggup solat tanpa mengira tempat hatta di atas jalan saat waktu solat tiba mendorong wanita kelahiran Portugal itu terus mengenali Islam.

Tiada agama lain yang menarik perhatiannya kini kecuali Islam. Malah dengan membaca isi kandungan al-Quran sahaja telah membuatkan beliau menemui dengan pasti apa yang dicari selama ini.

Setahun selepas itu, iaitu pada Januari 2005, Margarid kembali mengunjungi Mesir. Kali ini beliau datang dengan perasaan yang cukup berbeza.

Pada suatu malam, daripada lubuk hatinya yang paling dalam dengan suara yang bergetar, Margarid memohon ampun dan meminta Allah menerima dirinya.

Itulah saatnya Margarid berikrar dengan melafazkan kalimah syahadah. Ketika mendaftar dirinya sebagai saudara baru Islam, Margarid menambahkan nama Khadija di hadapan namanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...