Oleh Mohd. Radzi Mohd. Zin
Kewujudan alam semesta yang indah dan bergerak secara tertib serta harmoni sudah tentu ada Penciptanya. Malah, seluruh jirim langit berjalan mengikut ketentuan Ilahi. Mereka melakukan peredaran penuh ketaatan tanpa bantahan.
Keharmonian hukum alam pada hakikatnya adalah manifestasi kepatuhan alam terhadap takdir ilahi. Pendek kata, seluruh jisim langit dan bumi, seluruh jisim yang seni seperti elektron yang mengelilingi nukleus sehingga cakerawala yang mega mengelilingi pusat cakerawalanya.
"Semua ini adalah simbol kepatuhan dan ketundukan kepada Pencipta. Ia selari dengan maksud Islam iaitu tunduk dan patuh kepada ketentuan ilahi," kata pensyarah Matematik di Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Mat Rofa Ismail.
Beliau berkata demikian dalam kertas kerjanya bertajuk Falak dan Kosmologi Menerusi Sudut Pandangan Saintis Islam.
Kertas kerja itu dibentangkan pada Kursus Sijil Tinggi Falak peringkat Serantau di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor, baru-baru ini.
Kursus selama tiga minggu bermula 10 Oktober itu adalah anjuran anjuran Pusat al-Quran dan Ilmu Teras ILIM.
Ia disertai 37 peserta negara anggota Mabims iaitu 31 peserta Malaysia, tiga (Indonesia), dua (Singapura) dan seorang (Brunei).
Mat Rofa berkata, alam kosmos dan yang berkaitan dengannya lebih dekat kepada umat Islam berbanding umat lain.
Malangnya, kata beliau, peneroka alam kosmos moden diterajui oleh saintis Barat yang bukan Muslim.
"Antaranya, Albert Einstein, Tolman, Kozai, Holye, Hawkings dan Fitch," kata beliau.
Menurut Mat Rofa, kajian kosmos dalam teknologi moden membuka ruang lebih luas bagi ahli ulil-albab untuk mengambil iktibar tentang alam semesta keseluruhannya termasuk aspek arkeologi dan sejarah umat yang terdahulu.
Katanya, teknologi satelit membuka ruang kajian baru terhadap kajian arkeologi yang melibatkan umat terdahulu yang menentang kebenaran.
Beliau berkata, saintis barat moden kini hanya mampu menerokai sebahagian langit dunia yang mempunyai segala jirim langit serta kesatuan galaksi meganya sedangkan langit yang tujuh menjadi misteri yang belum pernah terungkai dalam pengetahuan mereka.
"Langit dunia yang dipenuhi bintang dan galaksi ini pun baru mula diterokai menjelang kurun ke-20 apabila teleskop dan satelit moden dicipta," jelasnya.
Mat Rofa berkata, ilmu sains tabie dikaji dalam satu paradigma kesepaduan ilmu yang berfungsi melihat alam sebagai satu manifestasi keagungan ilahi.
Justeru, katanya, alam semesta yang menjadi objek kajian sains hakikatnya dianggap sebagai kitab terbuka yang harus dikaji secara selari dengan kitab al-Quran.
Menurut beliau, hasil akhir kegiatan saintifik seseorang Muslim adalah sifat bertakwa yang menjadikan diri pengkajinya tunduk dan patuh kepada kehendak ilahi.
"Ini apabila melihat bahawa semua objek kajian sains di langit dan bumi tunduk patuh kepada Pencipta-Nya. Di atas paksi inilah seharusnya kajian saintifik moden umat Islam dilakukan.
"Sains dan wahyu di sisi saintis Islam dilihat sebagai gabungan yang harmoni, tidak berkonflik seperti anggapan sains Barat," tegas beliau.
Sehubungan itu, Mat Rofa mencadangkan agar sains diberi takrifan baru sesuai dengan paradigma tauhid kerana ia berbeza dengan sains positifis.
Katanya, sains positifis hanya berminat menjawab persoalan yang bermula dengan 'bagaimana' tetapi mengelak persoalan 'kenapa'.
"Sedangkan sains acuan tauhid seharusnya melihat secara kesepaduan di antara kedua-dua persoalan tersebut," jelasnya.
Sementara itu, pada 24 Oktober lalu diadakan makan malam sempena Majlis Ramah Mesra peserta kursus bersama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha.
Othman dalam ucapannya berkata, Jakim mengambil berat tentang keperluan bidang ilmu falak terutama kepada para pegawai agama di Malaysia dan rantau Asia.
Katanya, ia juga bersesuaian dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Rukyah dan Takwim Islam Mabims kali ke-14 di Brunei pada Januari 2010 untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat penyelidikan falak negara Mabims.
"Sebelum ini ILIM berpengalaman mengendalikan kursus falak jangka pendek antaranya Modul Asas Falak, Modul Falak Kiblat, Modul Falak waktu Solat dan Modul Falak Rubu' Mujayyab," katanya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Mohamad Nordin Ibrahim dan Pengarah ILIM, Che Ibrahim Che Man.
No comments:
Post a Comment