بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Friday, November 25, 2011

Cermin dalam kesenian Islam

Bilik Uthmaniyah, abad ke-19 Masihi, Kerajaan Uthmmaniyah, Syria.


CERMIN adalah alat yang tidak asing lagi dalam kehidupan manusia terutamanya dalam kehidupan dunia yang serba moden kini. Cermin seringkali dikaitkan dengan wanita dan penampilan.

Cermin juga merupakan satu bahan yang seringkali digunakan dalam penghasilan barangan seni, seni bina dan alat untuk kajian sains seperti teleskop.

Di dalam sejarah, cermin yang terawal berasal daripada lava gunung berapi yang telah keras dan licin. Batu lava ini kemudiannya dipotong dan dalam saiz yang kecil dan dikilatkan lagi untuk digunakan sebagai cermin.

Sebelum daripada itu, manusia menggunakan air untuk melihat penampilan mereka. Selain batu lava gunung berapi, cermin juga dihasilkan daripada logam.

Di China, logam yang dikenali sebagai speculum dihasilkan untuk dijadikan cermin. Logamspeculum adalah campuran logam tembaga dan timah yang menghasilkan permukaan yang licin dan berkilat sehingga boleh dijadikan cermin.

Cermin logam ini dihasilkan di China kira-kira pada tahun 2000 sebelum Masihi dan ia turut ditemui di India.

Cermin logam speculum adalah amat berharga dan mahal harga. Ia hanya mampu dimiliki oleh golongan kaya.

Dalam tamadun Islam, beberapa orang ilmuwan Islam yang mengkaji tentang kegunaan cermin ialah seperti Ibn Sahl dan Ibn al-Haytham pada abad ke-10 Masihi. Mereka mengkaji kegunaan cermin sebagai alat ciptaan teknologi seperti kamera.

Daripada segi penghasilan kaca atau cermin, Kerajaan Islam di Sepanyol telah menghasilkan cermin atau kaca pada abad ke-11 Masihi. Kemudian pada abad ke-16 Masihi, pusat perdagangan dunia pada waktu itu iaitu Venice telah menjadi pusat pengeluaran cermin yang terkenal.

Venice mengeluarkan cermin kaca yang menjadi asas kepada cermin yang digunakan pada hari ini.

Kebanyakan cermin yang digunakan dalam kesenian Islam merupakan cermin kaca. Ini kerana ia mempunyai kesan biasan yang tinggi berbanding cermin batu dan cermin logam.

Cermin kaca digunakan dengan meluas dalam seni bina seperti di Syria. Ia tidak digunakan sebagai panel tingkap atau dinding seperti yang kita sering lihat pada hari ini.

Sebaliknya, cermin digunakan sebagai hiasan dalaman yang membantu dari segi pencahayaan apabila permukaannya membiaskan cahaya lilin atau lampu chandelier yang digunakan di dalam sesebuah ruang kediaman.

Di Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) terdapat sebuah artifak yang merupakan bilik kediaman zaman Uthmaniyah yang dihias dengan cermin bagi tujuan pencahayaan dan hiasan.

Untuk tujuan ini, cermin biasanya akan dipotong dalam saiz yang kecil dan di susun dengan teliti di bahagian dinding dan syiling bagi menghasilkan kesan cahaya yang dikehendaki.

Susunan yang betul bukan sahaja membantu pencahayaan malah ia turut mencantikkan lagi hiasan sesebuah ruang kediaman tersebut.

Di India, cermin atau kaca dipotong dalam saiz yang lebih kecil dan digunakan sebagai hiasan tatahan barangan seni yang lain seperti kotak barangan kemas, kasut dan juga pakaian.

Antara potongan cermin yang sering digunakan adalah potongan berbentuk bulat dan bentuk berlian.

Bagi cermin yang digunakan untuk melihat penampilan, ia tidak dihasilkan begitu sahaja. Ia turut mendapat perhatian dan sentuhan seniman terutamanya untuk barangan yang digunakan bagi golongan bangsawan dan golongan kaya.

Di MKIM, terdapat satu keping cermin yang diletakkan di atas batu jed dan ditatah dengan batu berharga yang dipamerkan di Galeri India. Cermin ini dipotong dalam bentuk oval dan bahagian belakangnya dihias teliti dengan susunan batu berharga seperti delima dan zamrud serta air emas.

Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA 
Kurator, Muzium Kesenian Islam Malaysia.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...