بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Wednesday, November 23, 2011

Membina rasa cinta kepada organisasi

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

Antara ciri-ciri organisasi yang berjaya ialah apabila mempunyai warga kerja yang cinta kepada organisasi. Rasa cinta itu sebenarnya sangat penting untuk melahirkan kesetiaan, ketaatan dan disiplin yang cemerlang.

Pendek kata, rasa cinta dapat menjadi pencetus semangat dan motivasi kepada pekerja untuk berdepan dengan susah atau senang bagi menjayakan segala matlamat, visi dan misi yang disasarkan oleh organisasinya.
Sekadar memetik sepotong dialog drama Melayu "Demi cinta, lautan api pun aku sanggup renangi". Demikianlah, betapa besarnya kesan dan implikasi cinta.

Cinta kepada organisasi bermaksud seseorang itu mempunyai rasa kasih dan sayang kepada organisasi yang menaunginya dengan menunjukkan kesetiaan, ketaatan dan ketekunan untuk membina kejayaan organisasinya.

Cinta adalah perasaan yang tidak dapat dilihat dan dijelaskan, tetapi ia dapat dirasai kerana akan terkesan melalui perbuatannya. Kemuncaknya, seseorang itu apabila telah sampai kepada cinta yang sejati, dia akan sanggup berkorban demi mempertahankan cintanya itu.

Sebagaimana sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang sanggup mengorbankan harta, masa, tenaga bahkan diri mereka demi mempertahankan cinta kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Banyak organisasi pada hari ini menghadapi masalah kekurangan pekerja yang mahir dan berpengalaman. Ini disebabkan ia gagal mengekang budaya cabut lari di kalangan tenaga kerja.

Akhirnya, pihak syarikat terpaksa mencari pengganti yang kurang berpengalaman atau sudah berpengalaman tetapi dengan bayaran gaji yang lebih tinggi. Walaupun telah dinaikkan gaji dan pangkat, namun tetap gagal membendung sikap cabut lari di kalangan pekerja.

Bahkan, ada segelintir pekerja yang lantang memburukkan organisasinya secara terbuka di facebook, twitter, blog dan medium-medium yang lain.

Malahan, ada juga yang sanggup mendedahkan rahsia organisasi kepada pesaing-pesaing dengan tujuan menjatuhkan organisasinya. Semua itu berlaku sebenarnya bertitik-tolak daripada tandusnya rasa cinta kepada organisasi.

Hakikatnya, menjaga sekumpulan pekerja supaya cinta, setia dan taat kepada organisasi bukanlah mudah sebagaimana yang disangka.

Ia memerlukan penerapan yang mengambil masa yang agak lama. Tidak cukup dan tidak memadai dengan cogan kata yang indah namun gersang dari sebarang erti.

Cara semai cinta

Justeru, beberapa langkah positif perlu diambil oleh majikan bagi membina dan menyemai perasaan cinta dalam diri warga kerjanya kepada organisasi.

Pertama, cinta kepada organisasi mestilah dibina di atas asas cinta yang betul iaitu cinta kepada Allah SWT dan cinta kepada Rasul SAW. Ini kerana cinta kepada kedua-duanya adalah paksi kepada cinta kepada selainnya.

Diriwayatkan daripada Anas r.a, katanya: Nabi SAW bersabda: Tiga perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara itulah dia akan memperoleh kemanisan iman: Seseorang yang mencintai Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain kedua-duanya, mencintai seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah Allah menyelamatkannya daripada kekafiran itu, sebagaimana dia juga tidak suka dicampakkan ke dalam neraka. (riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Nasaie)

Sekiranya cinta kepada Allah dan Rasul diletakkan pada tempat yang paling tinggi, maka pekerja tidak akan melakukan penyelewengan, pecah amanah dan khianat kepada organisasinya.

Sebab itu, orang yang meletakkan cinta kepada dunia melebihi cinta kepada Allah dan Rasul akan menerima kehancuran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: 
Katakanlah: "Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluarga dan harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq". (at-Taubah: 24).

Seterusnya, bagi menyemai rasa cinta kepada organisasi, perlu diwujudkan suasana ukhuwah dan persaudaraan di kalangan warga kerja. Ia boleh bermula di peringkat majikan atau pengurusan tertinggi terlebih dahulu.

Sikap lemah-lembut, bertolak-ansur dan sayang-menyayangi adalah elemen paling penting agar hubungan kekeluargaan serta adik-beradik dapat diwujudkan.

Justeru, Allah SWT berfirman yang bermaksud: 
... Nabi Muhammad (SAW) adalah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam)... (al-Fath: 29)

Bagi menjayakan agenda pemurnian kasih sayang ini, strategi yang berkesan perlu dilaksanakan.

Antaranya, dengan mencipta cogan kata atau slogan yang boleh melahirkan sense of belonging atau rasa kepunyaan dalam diri setiap warga kerja sekali gus dapat mewujudkan budaya kerja yang amanah dan berdedikasi.

Majikan dan pekerja juga perlu menjaga tutur kata dan mengawal kemarahan. Gunakanlah perkataan yang sesuai pada tempatnya.

Maaf juga adalah budaya yang patut disemai dalam organisasi khususnya apabila melakukan kesalahan dengan sengaja atau tidak sengaja.

Ia mungkin kesalahan kecil, namun dapat memberikan impak terutamanya kepada perasaan orang lain. Justeru, lazimilah meminta maaf kerana ia tidak akan sekali-kali merendahkan martabat kita. Hanya orang yang ego sahaja yang tidak tahu meminta maaf.

Akhirnya, elemen yang juga penting untuk mewujudkan kesetiaan adalah ganjaran yang setimpal terhadap tanggungjawab yang diamanahkan. Ia juga menjadi faktor kesetiaan seseorang kepada organisasinya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...