بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Thursday, November 24, 2011

Perbezaan pendapat boleh diatasi jika berdebat secara baik



2011/11/24

CARA mengendalikan perbezaan pendapat dalam kalangan umat Islam membabitkan isu semasa Islam dan umat Islam hendaklah dilakukan dengan cara yang terbaik. Jika masing-masing menjaga adab perbezaan pendapat dan menggunakan bahasa berdialog nescaya perkara tidak diingini dapat dielakkan. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dialah juga yang lebih mengetahui orang yang mendapat hidayah petunjuk.” (Surah an-Nahl, ayat 125)

Oleh itu, tidak dianggap hikmah jika digunakan perkataan yang keji dan ungkapan menyakiti orang lain kerana dakwah dijalankan dengan nasihat yang baik dan jika memerlukan perdebatan maka hendaklah dilakukan secara lebih baik.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku tidak diutuskan sebagai pelaknat tetapi hanya diutuskan sebagai pembawa rahmat.” (Hadis riwayat Muslim)

Al-Quran mengajar kita cara berdebat dengan orang Musyrikin seperti firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) kamu tidak akan bertanggungjawab tentang kesalahan yang kami lakukan dan kami pula, tidak akan bertanggungjawab tentang apa yang kamu kerjakan.” (Surah Saba’, ayat 25)

Jika dengan orang musyrikin kita digesa supaya beradab ketika berbeza pendapat, maka sudah tentu kita dikehendaki lebih beradab lagi apabila berbeza pendapat sesama Islam.

Perbezaan pendapat dalam perkara ijtihad adalah biasa dalam Islam tetapi jangan sampai merosakkan kasih sayang dan perpaduan umat. Perbezaan pendapat akan wujud dan berterusan. Jika tidak ada perbezaan pendapat maka ia bererti pintu ijtihad dan berfikir telah tertutup. 
Ini bercanggah dengan nas al-Quran yang mengajak umat Islam supaya berfikir, menyelidik, mengambil pengajaran dan melakukan ijtihad. Generasi sahabat menjadi ikutan kepada kita bagaimana mereka berbeza pendapat, berdebat tetapi semuanya tidak lebih daripada perdebatan lisan semata-mata, yang mana ia tidak membawa kepada perpecahan dan permusuhan.

Islam sangat menekankan kepentingan hak persaudaraan sesama Islam. Begitu juga Islam menekankan perpaduan dalam kalangan umat Islam. Perbezaan pendapat tidak sepatutnya membawa kepada permusuhan, tuduh menuduh dan fitnah memfitnah yang akan menyebabkan kemusnahan serta kehancuran.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu semua kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu berpecah belah.” (Surah Ali-Imran, ayat 103)

Antara kesalahan tersebar luas dalam kalangan umat Islam ialah terlalu menghendaki orang lain menerima pendapatnya kerana percaya pendapat mereka saja yang betul, manakala pendapat orang lain semuanya tidak menepati kebenaran (batil).

Golongan ini lupa, pendapat mereka hanya suatu ijtihad saja iaitu pandangan yang boleh jadi salah dan boleh jadi betul. Oleh itu, kenapa mereka fanatik dan memperbodohkan pendapat orang lain.

Seorang Islam hendaklah beradab dengan adab-adab Islam dan berakhlak dengan akhlak al-Quran iaitu mengelakkan ucapan serta tulisannya menggunakan ungkapan keras dan kasar seperti maki hamun atau tuduhan liar.

Ibn al-Qayyim dalam kitabnya Madarij al-Salikin mengulas terhadap Shatahat al-Harawi tetapi beliau tidak menggunakan perkataan keras dan kasar, sebaliknya menggunakan perkataan lembut serta membuat takwilan yang wajar.

Sesetengah umat Islam lebih cenderung dan berminat kepada aliran ‘pengetat’ tanpa meraikan keadaan umum majoriti umat Islam seperti kemampuan penghayatan Islam, baru mula berjinak dengan ajaran Islam dan baru memeluk agama Islam. 

Golongan ‘pengetat’ ini lebih berminat menghukum sesuatu perkara itu sama ada haram atau halal saja. Adapun ‘zon kelonggaran’ yang sangat luas dalam Islam ditutup rapat ataupun dibuka sempit kerana mereka berminat dengan pendapat `pengetat’ agama.

Buku Adab Mengendalikan Perbezaan Pendapat Menurut Islam oleh Datuk Seri  Dr Abdullah Md Zin 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...