FITRAH manusia tetap percaya bahawa tidak ada gunanya sesuatu pekerjaan yang tidak mendatangkan faedah bagi dirinya. Oleh itu, apabila diminta mengerjakan kebaikan, maka pertanyaan muncul dalam pemikiran, apa untungnya dan apa rugi jika tidak dilaksanakan.
Dalam hal ini, al-Quran menjelaskan dua perkara menjadi tuntutan utama bagi sahabat Rasulullah SAW dalam mengerjakan amal soleh iaitu kurniaan Allah Taala dan juga keredaan-Nya.
Firman-Nya yang bermaksud:
“Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari kurnia Allah dan keredaan-Nya.” (Surah Al-Fath, ayat 29)
Al-Quran turut merakamkan peristiwa Saidina Abu Bakar al-Siddiq yang menyalurkan sebahagian harta beliau hanya kerana Allah Taala. Harta itu digunakan untuk membebaskan beberapa orang sahabat yang masih lagi tertindas di Kota Makkah seperti Bilal dan ‘Aamir bin Fuhairah.
Selain itu, dalam surah Al-Baqarah, ayat 218, dikisahkan mengenai sahabat yang mengerjakan amal soleh dengan harapan rahmat daripada Allah Taala sebagai ganjaran amalan soleh mereka itu.
Dalam ibadat haji pula, Allah Taala mengizinkan jemaahnya menuntut kurniaan-Nya melalui sistem keuntungan perniagaan. Hal ini dapat dibuktikan dengan firman Allah Taala yang bermaksud:
“Tidak ada dosa bagimu untuk mencari kurnia (rezeki hasil perniagaan) dari Tuhanmu. Maka apabila kamu telah bertolak dari ‘Arafat, berzikirlah kepada Allah di Masy’arilharam.” (Surah Al-Baqarah, ayat 198)
Jadi, apa yang boleh disimpulkan ialah sahabat mengerjakan amal soleh bermatlamat menuntut kurniaan Allah Taala dan keredaan-Nya, ada juga mengerjakannya hanya semata-semata kerana Allah Taala dan ada juga mengharapkan rahmat daripada-Nya.
Di samping itu, Allah Taala juga mengizinkan mencari keuntungan keduniaan sebagai sampingan seperti berniaga sewaktu menunaikan ibadah haji di Kota Suci.
Walau bagaimanapun, diingatkan kepada setiap orang yang beriman kepada-Nya bahawa keredaan Allah Taala adalah lebih besar daripada segala-galanya. Reda Allah Taala adalah satu anugerah amat tinggi dan afdal nilainya.
Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Allah menjanjikan kepada orang mukmin, lelaki dan perempuan, (akan mendapat) syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, kekal mereka di dalamnya, dan (mendapat) tempat yang bagus di syurga ‘Adn. Dan keredaan Allah adalah lebih besar; itu adalah keberuntungan yang besar.” (Surah Al-Taubah, ayat 72)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Allah Taala bertanya ahli syurga: Adakah kamu sekalian sudah reda dengan pemberian ini? Mereka menjawab: Kenapa kami tidak reda sedangkan Engkau telah memberi kepada kami suatu yang tidak pernah diberikan kepada makhluk lain. Allah Taala berfirman: “Aku memberi kepada kamu suatu yang lebih unggul daripada itu. Mereka menjawab: Hai Tuhan! Apakah suatu yang lebih unggul itu? Maka Allah menjawab: Aku halalkan ke atas kamu keredaan-Ku maka selepas itu Aku tidak murka lagi ke atas kamu.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Oleh Dr Nik Muhammad Syukri Nik Wan
2011/11/03
No comments:
Post a Comment