Masjid Nabawi kini dikelilingi pembangunan yang pesat di Madinah. |
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
APABILA diberitahu akan kemaraan seramai 10,000 hingga 11,000 anggota tentera musuh untuk menyerang Kota Madinah dan seterusnya menghancurkan umat Islam Rasulullah sangat terkejut.
Sudahlah jumlah anggota tentera musuh itu sangat besar dan masa pula sangat suntuk untuk baginda membuat persediaan dan menyusun kekuatan ketenteraan Islam.
Namun yang lebih penting sekarang, baginda perlu segera mengadakan satu perbincangan dengan para sahabat bagi mengatur strategi menghadapi kemaraan tentera musuh itu.
Mungkin lebih mudah jika baginda menyerah diri atau menawarkan perdamaian kerana mustahil menentang musuh yang sebegitu ramai.
Ditambah pula dengan khabar angin bahawa tentera musuh bukan sahaja didalangi oleh puak-puak Yahudi yang turut disertai kafir Quraisy di Mekah dan lain-lain puak Arab yang memusuhi Islam tetapi disertai tentera dari dua kuasa besar, iaitu Rom dan Parsi.
Namun, tentulah menyerah diri itu tidak pernah ada dalam kamus perjuangan Rasulullah dan para pengikut baginda.
Mengembara
Lalu mereka berbincang dari segala aspek bagi mencari jalan yang terbaik untuk mematahkan serangan musuh itu.
Ini terutamanya sama ada hendak bertahan di luar atau di dalam kota Madinah. Akhirnya mereka mencapai persetujuan untuk bertahan di dalam kota Madinah.
Mereka bersetuju untuk bertahan di dalam kota sahaja kerana terdapat satu strategi yang sangat baik bagi membolehkan kota Madinah tidak dapat dicerobohi musuh-musuh yang semakin mara itu.
Ini apabila secara tiba-tiba seorang sahabat yang diketahui umum, Salman Al Farisi, bangun dalam perbincangan itu mengemukakan cadangan bagaimana segenap penjuru kota Madinah dapat dipertahankan daripada diceroboh oleh pihak musuh.
Namun sebelum itu marilah kita mengenali serba sedikit mengenai sahabat Rasulullah ini yang pernah mendapat pujian baginda: "Apabila iman itu tergantung di bintang Suraya, nescaya ia akan dicapai oleh lelaki berbangsa Parsi".
Lelaki berbangsa Parsi yang dimaksudkan itu tentulah Salman Al Farisi yang berasal dari Parsi.
Beliau merupakan salah seorang sahabat besar yang tentulah juga sangat disayangi oleh Rasulullah.
Ini disebabkan sifat keberanian, keikhlasan serta sifat zuhud Salman yang bersesuaian dengan dirinya yang merupakan seorang mukmin yang kuat beribadat.
Salman Al-Farisi dilahirkan dengan nama Parsi, iaitu Rouzbeh di Bandar Kazerun di Wilayah Fars atau Isfahan, Iran. Asalnya adalah seorang yang beragama penyembah api atau Majusi yang kemudian memeluk agama Nasrani.
Beliau kemudiannya mengembara seorang diri ke negeri Syam dan kemudiannya ke Yathrib atau Madinah untuk mencari kebenaran.
Ketika mula-mula memeluk Islam, Salman menjadi seorang hamba. Kemudian Rasulullah telah menganjurkan kepada para sahabat agar membebaskan atau memerdekakan Salman.
Beliau terkenal kerana sifat takwa dan zuhudnya yang dikatakan kesan tinggal serumah dengan Abu Darda' yang terkenal sebagai seorang ahli sufi.
Salman Al-Farisi juga terkenal sebagai sahabat yang banyak meriwayatkan hadis-hadis dari Rasulullah kerana beliau adalah seorang sahabat yang banyak bergaul dan berjumpa dengan baginda.
Beliau telah hidup di zaman Rasulullah sehinggalah sampai ke zaman pemerintahan khalifah Islam yang ketiga iaitu Saidina Uthman bin Affan apabila beliau meninggal dunia dalam usia 78 tahun.
Beliau terkenal dengan kata-kata yang sering diungkapkan iaitu: "Saya Salman, anak lelaki kepada Islam dari keturunan anak-anak Adam."
Salman juga harus dikenang dalam sejarah sebagai orang pertama yang menterjemahkan al-Quran ke bahasa asing, iaitu bahasa Parsi.
Makamnya dikatakan terletak di Kota Madain (Iraq) dengan namanya diabadikan sebagai nama sebuah bandar yang berdekatan dengan makamnya itu, iaitu Salman Pak.
Dikatakan juga Salman sebenarnya dikebumikan di Lod atau Lydda yang terletak di Palestin yang kini merupakan sebuah penempatan haram Yahudi yang dikenali sebagai Ramat Eshkol.
Salman berkata: "Wahai Rasulullah, kami orang Parsi pernah diserang angkatan perang musuh yang besar dan ramai jumlahnya.
"Lalu kami membina atau menggali parit yang besar lagi dalam bagi menghalang serangan dari musuh itu. Hasilnya, kami beroleh kemenangan".
Menurut Salman lagi, dengan adanya parit itu tentera musuh terutamanya pasukan berkuda tidak akan dapat menyeberang walaupun kuda-kuda tersebut cuba untuk melompat tinggi melepasi parit tersebut.
"Bagi tentera berjalan kaki yang cuba juga untuk menyeberang parit tersebut, akan kita serang mereka dengan panah dan dilontar lembing dan tombak," kata Salman.
Sebenarnya strategi menggali parit besar itu tidak bermaksud seluruh keliling Kota Madinah akan digali.
Kawasan yang hendak digali hanya meliputi dari sebelah barat, utara dan timur Kota Madinah sahaja.
Ini kerana kawasan-kawasan tersebut begitu terbuka dan mudah untuk diserang musuh.
Sementara di bahagian selatan dikira masih selamat kerana dikatakan terdapat rumah-rumah kediaman penduduk yang padat tetapi dalam kawasan ladang-ladang kurma yang menyukarkan pihak musuh untuk menyerang.
Namun kerja-kerja menggali parit juga akan melibatkan tanah-tanah dan rumah-rumah milik penduduk Madinah.
Lalu Rasulullah meminta mereka agar segera berpindah ke tempat yang lebih selamat di dalam kota tersebut.
Bagi kalangan umat Islam mereka segera mematuhi saranan baginda itu tetapi tidak bagi sesetengah golongan yang munafik dan musuh dalam selimut.
Mereka membantah dan enggan berpindah.
"Rumah dan tanah ini adalah kepunyaan dan hak milik kami, bukannya Muhammad.
"Muhammad tidak berhak dan tidak boleh memaksa kami untuk berpindah. Kami juga tidak benarkan parit digali melalui tanah kami," kata Jarir, sahabat baik 'bapa munafik', Abdullah bin Ubai.
Malah mereka juga mengugut agar baginda membayar ganti rugi jika tanah mereka digali.
Tetapi apabila sudah diberi amaran keras oleh Umar Al Khattab dengan mengingatkan akan Perjanjian Madinah akhirnya golongan ini terpaksa akur.
Muslihat Abdullah Ubai
Namun dalam diam-diam Abdullah bin Ubai tetap dengan peranannya sebagai penentang dan cuba mempengaruhi yang buruk-buruk mengenai Islam kepada orang lain.
Dia mendakwa bahawa struktur bumi atau tanah Madinah keras dan berbatu-batu dan tidak mungkin parit dengan ukuran sembilan hasta lebar dan 10 hasta dalam yang bermula dari Harrah Waqim hingga ke Harrah Al Wabarah itu dapat digali.
"Kita memerlukan masa berbulan-bulan lamanya bagi menggali parit itu. Sedangkan tentera musuh akan sampai bila-bila masa sahaja lagi mulai dari sekarang.
"Maka sekalipun cadangan dan strategi menggali parit ini adalah bagus tetapi semua ini bakal sia-sia sahaja, kita pasti akan kalah dan hancur juga nanti," kata Abdullah bin Ubai.
Walaupun kata-kata Abdullah itu ada kebenarannya ditambah lagi peralatan untuk menggali adalah tidak mencukupi, namun Rasulullah dan para sahabat tetap meneruskan usaha menggali parit sebagaimana yang disarankan oleh Salman Al Farisi.
Salman sendiri bagaikan sudah tidak sabar lagi untuk menggali.
Malah tahukah anda, pemuda ini akhirnya dikatakan jatuh pengsan akibat terlalu penat menggali parit tidak berhenti-henti!
Namun selepas disiramkan dengan setimba air dan berkat doa dari Rasulullah, Salman bingkas bangun dari pengsannya itu dan terus menyambung menggali parit tersebut.
Kali ini beliau seorang diri sahaja dapat menggali parit sepanjang 40 hasta panjang berbanding empat hasta sahaja oleh orang lain!
No comments:
Post a Comment