Wabak dan malapetaka sebagai amaran umat abai kebersihan, jalani hidup melewati batas
APABILA ditimpa bencana penyakit dan wabak yang menguji manusia, ia bukan bertujuan menghukum atau mendera atas kesalahan yang dilakukan tetapi sebagai amaran bahawa kita sudah melewati batas serta harus sentiasa beringat ujian adalah untuk menguji keimanan.
Namun, kesombongan juga adalah sebab membuatkan manusia menghadapi bencana di dunia sebagai tanda bahawa kita harus akur dan mematuhi perintah-Nya serta insaf terhadap perilaku yang mencabar kekuasaan-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia: Timbulnya demikian kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali insaf dan bertaubat.” – (Surah Ar-Ruum, ayat 41)
Kerosakan dan bala bencana di muka bumi yang berpunca daripada kelalaian manusia menjaga aturan dan fitrah alam boleh dilihat di mana-mana saja. Sumber air tercemar, daratan kontang serta penempatan dan bangunan dipenuhi sampah-sarap boleh dilihat di depan mata.
Ada kala, ia bagai menjadi sajian istimewa kerana ‘keseronokan’ mata yang melihat. Ini adalah kerana tiada usaha yang dilakukan untuk menjadikan alam ini dan isinya bersih seperti kejadiannya yang asal.
Yang paling menyedihkan apabila rumah ibadat turut menjadi tempat pembuangan sampah. Tandas di masjid digunakan orang awam yang ‘singgah’ contohnya, menjadi tempat paling jijik dan kotor berbanding tandas awam di tempat lain.
Ini mungkin kerana pengguna boleh memanfaatkan kemudahan itu tanpa bayaran, maka mereka tidak menghargai kebajikan tersedia, manakala pihak pengurusan pula tidak menjadikan pembersihan sebagai rutin harian kerana tiada siapa yang diupah untuk melakukan tugas berkenaan.
Apa pun alasan, ia sangat mengaibkan apatah lagi tandas di rumah ibadat selalunya digunakan mereka ingin menunaikan solat, yang sepatutnya berwaspada dengan najis dan kotoran yang mungkin mudah terkena pada pakaian.
Begitu juga tandas awam di negara ini, walaupun pelbagai langkah diambil bagi meningkatkan kebersihan tandas awam, audit menunjukkan 3,000 daripada 5,764 tandas di seluruh negara adalah kotor.
Mutakhir ini, pelbagai wabak merbahaya seperti kencing tikus dan denggi begitu rakus menyerang dan ia adalah penyakit yang boleh menyebabkan kematian serta tidak mengenal usia. Sesiapa saja boleh terdedah kepada virus penyakit itu walaupun pelbagai cara dilakukan untuk mengelak ia berlarutan.
Itulah akibat tidak menjaga kebersihan dan tidak adil terhadap imbangan alam, sedangkan ia boleh dielakkan dengan langkah pencegahan seperti mengelakkan kekotoran, tidak memakan makanan memudaratkan kesihatan serta mengamalkan tabiat hidup berhemah.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan Allah mengasihi orang yang membersihkan diri mereka zahir dan batin.” (Surah At Taubah, ayat 108)
Selain kebersihan fizikal, kita juga harus membersihkan diri daripada dikotori nafsu yang bersifat zalim kepada diri sendiri dan orang lain. Nafsu yang jahat sering kali memusnahkan hidup manusia dan membuatkan mereka ketagih kehidupan yang sia-sia.
Wabak dan bencana yang menghancurkan umat Islam pula boleh dielak dengan menjaga kebersihan akal daripada pemikiran terlalu bebas hingga mengentepikan wahyu dan sunnah yang diutus sebagai panduan cara hidup di dunia.
Ada penyakit yang menimpa jasad manusia akibat mengamalkan cara hidup seiring perintah agama, tetapi amalan hidup yang tidak sensitif kepada kebersihan adalah salah satu kecenderungan yang akan membinasakan alam dan isinya termasuk manusia.
Kemusnahan ke atas manusia dan alam bukanlah berlaku tanpa sebab, tetapi sebagai hamba, tiadalah upaya kita melainkan memohon pertolongan Allah supaya segala-galanya berakhir segera.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Mereka telah ditimpa kepapaan, kemusnahan harta benda dan serangan penyakit serta digoncangkan oleh ancaman bahaya musuh, sehingga berkatalah Rasul dan orang beriman yang ada bersertanya. Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah.” (Surah Al-Baqarah, ayat 214)
Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom
Berita Harian2010/11/25
No comments:
Post a Comment