بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Wednesday, November 16, 2011

Umat terbaik sentiasa seru kebaikan

CABARAN terhadap keruntuhan moral dan budaya di kalangan umat Islam terutama golongan remaja amat merunsingkan.
Foto
MAKSIAT...keruntuhan moral di kalangan remaja perlu diselamatkan supaya mereka tidak terus hanyut.

Hari ini, pelbagai kebejatan dilakukan seperti pembunuhan, zina, rogol, cabul, bunuh diri, penderaan, rompakan, buang bayi dan pelbagai lagi dilakukan tanpa henti.


Adakah generasi hari ini tiada langsung memiliki jiwa dan roh kehebatan umat Islam terdahulu? Jika dibandingkan, generasi Islam silam melakar sejarah cukup gemilang. 

Justeru, kita perlu berusaha menyelamatkan golongan berkenaan daripada terus melakukan kemungkaran. Peristiwa serta sejarah terdahulu perlu dijadikan iktibar bagi melalui kehidupan akan datang. 

Allah berfirman yang bermaksud: 

“Ketahuilah kehidupan keduniaan ini hanya permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat nanti ada azab yang keras dan keampunan dari Allah serta keredaan-Nya. Dan kehidupan keduniaan ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” (Surah al-Hadid ayat 20).

Cabaran yang dilalui menjadikan umat Islam mampu memenuhi kriteria menjadi ummah terbaik seperti dinyatakan dalam al-Quran. 

Sekiranya mahu tergolong dalam kategori ‘umat terbaik’ maka mereka perlu sentiasa menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran serta beriman kepada Allah.

Mereka perlu dididik supaya memiliki jiwa besar, bersemangat, ikhlas, jujur, amanah, bertanggungjawab dan berintegriti bagi melahirkan generasi berkualiti.

Allah berfirman yang bermaksud:

 “Adapun buih itu, maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah membuat pelbagai perumpamaan.” (Surah Ar-Ra’d ayat 17).

Memiliki roh dan jiwa merdeka menyebabkan mereka akan sentiasa mempertahankan maruah, martabat diri serta ummah. Kegagalan mempertahankan maruah diri menjadikan mereka insan berjiwa lemah dan tidak berpendirian. 

Saidina Umar Ibni Al-Khattab berpesan, “Didiklah anak-anak kamu, sesungguhnya mereka dilahirkan untuk zaman yang bukan zaman kamu.”

Tentu kecewa sekali apabila generasi pewaris gagal melaksanakan impian dan harapan orang terdahulu bagi mengekalkan kesinambungan kepemimpinan sedia ada.

Setiap tamadun dan bangsa mahu mencatatkan ‘rekod’ cemerlang membangunkan peradabannya bukan mencatat nama sebagai bangsa yang meruntuhkan serta merosakkan.

Masyarakat madani adalah masyarakat bertamadun, berilmu dan memiliki kehidupan bermasyarakat yang teratur. Sarjana Islam yang mengkaji mengaitkan permulaan perkembangan masyarakat madani dengan pembentukan masyarakat di Madinah. 

Sebelum kedatangan Nabi Muhammad ke kota itu yang sebelum itu terkenal dengan nama Yathrib, masyarakatnya hidup dalam keadaan bermusuhan dan saling tindas menindas. 

Kedatangan baginda berjaya menukar kehidupan masyarakat di kota Madinah kepada masyarakat berilmu, berakhlak dan bersatu padu yang menjadi permulaan kepada pembentukan masyarakat madani yang dinamakan sebagai Piagam Madinah. 

Di dalam perlembagaan terbabit setiap puak dan kaum di kota Madinah perlu memberi pengakuan, janji taat setia serta berjanji menghormati hak individu lain tanpa melihat kepada perbezaan agama.

Hasilnya, Islam membawa perubahan menyeluruh dalam kehidupan sosial di Madinah kerana keupayaannya mempengaruhi serta meningkatkan kualiti kehidupan. 

Didikan agama menjadi ‘penghalang’ yang berupaya menahan godaan maksiat. Kehendak nafsu sentiasa mencabar kehidupan sehingga mampu merendahkan kualiti akhlak manusia setaraf dengan binatang. 

Ibnu Abbas r.a meriwayatkan Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Rebutlah lima perkara sebelum kamu didatangi oleh lima perkara lain. Masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa kayamu sebelum miskin, masa lapangmu sebelum sempit, dan masa hidupmu sebelum mati” (Riwayat al-Hakim dan Ibnu Majah).

Pensyarah Kanan Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Madya Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, berkata generasi bertamadun ditegakkan dengan ilmu.

“Generasi madani cintakan ilmu dan sentiasa berusaha mendapatkannya. Jika berhibur sekalipun mereka meraikannya dalam keadaan yang dibenarkan.

“Ciri-ciri generasi madani juga dapat dilihat dari sudut jati diri mereka yang kuat dan bersikap berani. Mereka akan mempertahankan serta berbangga dengan identitinya yang mewakili sebuah bangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian di program Diskusi Addin sempena Karnival Gegaria Harian Metro di Ipoh, Perak, baru-baru ini.

Program keagamaan itu menerima sambutan baik daripada umat Islam terutama warga Ipoh.

Beliau berkata tamadun sebuah bangsa itu ditegakkan di sebuah tempat yang berasaskan nama bangsa mereka.

“Di dunia ini ada pelbagai bangsa dan tamadun. Setiap bangsa yang dijadikan itu bertujuan untuk berkenal-kenalan antara satu sama lain.

Setiap bangsa mempunyai identitinya tersendiri. 

“Siapa lagi yang boleh diharapkan untuk mengangkat bangsa dan budayanya sendiri melainkan mereka sendiri. Itulah amat penting sekali setiap individu menjaga identiti dan akhlak mereka,” katanya.

Mohd Ridhuan berkata Allah memberi peringatan kepada umat melalui peristiwa manusia terdahulu supaya mereka berfikir dan mengambil iktibar daripadanya.

“Jika akhlak sebuah generasi itu hancur maka akan lenyaplah bangsa mereka di dunia ini. Individu hebat perlu memastikan mereka melaksanakan beberapa tuntutan utama terlebih dahulu iaitu memastikan keluarga mereka dijaga dengan baik, berakhlak serta berhati bersih.

“Semua itu dapat dicapai hasil daripada sifat ikhlas mereka menjadi umat Islam. Apabila lahirnya masyarakat madani, maka mereka mengetahui yang mana satu tuntutan fardu dan sunat dan menjauhi perkara yang merosakkan,” katanya.

Beliau berkata bagi melahirkan masyarakat madani umat Islam perlu memahami agama lebih daripada budayanya selain mempertingkatkan kemahiran dan persaingan.

“Mereka perlu berusaha meningkatkan kemahiran diri dan sanggup melakukan apa saja pekerjaan. Walaupun nampak lekeh tetapi yang penting ia adalah hasil sumber halal.

“Begitu juga dengan persaingan yang kita semakin jauh terkebelakang. Umat Islam perlu bersemangat dan berani mencetuskan perubahan untuk memberikan persaingan dengan orang lain.

“Masalah umat Islam hari ini perpecahan yang semakin meruncing. Bagaimana kita boleh membantu saudara yang lain jika kita masih bertelagah antara satu dan lain. Kita perlu ingat bahawa jika keadaan itu terus kekal maka ia akan meruntuhkan bangsa,” katanya.

Mohd Ridhuan berkata kemiskinan juga menjadi masalah kepada sesebuah bangsa dan negara kerana ia akan mencetuskan pelbagai masalah sosial.

“Apabila ramai yang miskin sehingga tidak dapat makan mereka sanggup melakukan apa saja termasuk menjual akidah, maruah, sanggup membunuh atau merompak,” katanya.

Imam Masjid Negara, Ustaz Azhar Tuarno, berkata masyarakat madani adalah generasi yang tinggal di kota atau yang tinggal di luar bandar namun memiliki kemudahan sama dengan kehidupan di bandar.

“Dalam melahirkan masyarakat madani perkara yang menjadi fokus utama adalah mereka perlu mempamerkan mutu kerja mantap. Generasi madani perlu sentiasa memilih jalan yang betul. Mereka diberi pilihan sama ada untuk melakukan dosa atau pahala.

“Terdapat perbezaan nyata antara manusia dengan makhluk lain ciptaan Allah Malaikat tiada pilihan selain tugasnya hanya melakukan beribadah kepada Allah,” katanya.

Beliau berkata umat Islam sudah diberi asas dan panduan iaitu al-Quran dan Sunnah sebagai pedoman bagi melayari kehidupan di dunia ini. 

“Seorang penyair Arab zaman moden masyhur, Ahmad Shauqi mengingatkan umat Islam dalam rangkap syairnya, sesungguhnya bangsa-bangsa akan kekal utuh selagi akhlaknya masih utuh, jika akhlak mereka sudah lumpuh mereka pun akan lenyap.

“Sistem kekeluargaan juga begitu penting dalam melahirkan generasi madani di mana ibu bapa perlu bertindak sebagai teladan kepada anak-anak” katanya. 

Azhar berkata, bagi melahirkan generasi madani umat Islam perlu bekerja keras selain menghindarkan diri daripada sifat malas yang akhirnya memberi kesan buruk kepada kehidupan mereka.

“Jangan sampai kita menjadi golongan yang merempat di bumi sendiri dan tidak berusaha mengeluarkan diri dari bebanan kemiskinan. 

“Sebolehnya kita menjadi golongan yang memberi sehingga mampu mengeluarkan umat Islam daripada kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata umat Islam tidak boleh putus hubungannya dengan Allah dan jika mereka ingkar sudah banyak sekali peringatan yang ditunjukkan kepada hamba-Nya di dunia lagi.

“Kita perlu sentiasa sedar Allah Maha Berkuasa ke atas segala-galanya. Sebagai ingatan, Allah sudah menunjukkan kekuasaan-Nya yang tidak mampu kita hadapi seperti kejadian bencana alam seperti tsunami.

“Oleh itu, kita perlu sentiasa mengawal nafsu syahwat yang pasti mengundang bahana jika tidak diurus dengan baik. Jika kemungkaran terus juga berlaku Allah pasti akan menurunkan bala sebagai balasan ketika di dunia lagi,” katanya. 

Oleh Mohd Fadly Samsudin
myMetro

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...