WUQUF di Arafah adalah antara simbol menunjukkan perpaduan dan kesatuan umat Islam walaupun berlainan warna kulit dan bangsa. |
Oleh SYED NAZMI TAUFEK
PARA fuqaha bersepakat ibadah wukuf di Padang Arafah telah ditentukan dengan masa dan waktu yang jelas iaitu pada hari kesembilan Zulhijjah setiap tahun. Ia bermula daripada waktu gelincir matahari (zuhur) sehingga sebelum waktu fajar (subuh) pada hari kesepuluhnya.
Ia tidak sah jika diganti oleh orang lain. Sesiapa yang sempat berwuquf pada waktu tersebut, dia memperolehi ibadat haji, manakala yang tidak sempat berwuquf dia pasti tidak akan mendapat haji tersebut.
Justeru, ibadat wuquf merupakan tiang asas kepada haji dan nadinya.
Para jemaah haji akan bertemu sesama mereka di Padang Arafah untuk menunaikan ketaatan kepada Allah. Pada masa yang sama, perhimpunan itu juga mengingatkan umat Islam bahawa mereka adalah umat yang satu.
Taraf mereka adalah sama sahaja di sisi Allah SWT melainkan bagi orang yang meningkatkan amalan ketaqwaan dan ketaatan yang banyak kepada Allah SWT.
Mereka sewajarnya bekerjasama di dalam mempertingkatkan kesedaran diri di dalam menegakkan suara kebenaran, bertolong-tolongan melakukan kebaikan dan berusaha kuat di dalam mempertahankan keimanan dan keyakinan terhadap agama dan nilai kemanusiaan.
Setiap tahun umat Islam yang menghadiri perhimpunan ini akan mengingati dan merenungi pertemuan seumpamanya yang telah dihadiri sendiri oleh Rasulullah SAW di samping mengetuai dan memimpinnya.
Mereka seolah-olah berada di dalam kelompok ratusan ribu para sahabat yang membanjiri Padang Arafah untuk sama-sama menjejaki cara ibadat haji yang dikerjakan oleh nabi SAW yang dikenali sebagai Hajjatul Wada'.
Di sanalah Allah SWT menurunkan ayat tentang ketuanan agama Islam dan penerimaan-Nya terhadap wadah yang dibawanya (rujuk al-Maidah: 3)
Di situlah juga nabi SAW yang sedang menaiki unta, berdiri di antara bongkah batu-batu besar di kaki Jabal Arrahmah memberi peringatan, nasihat dan amanat kepada para jemaah haji ketika itu.
Baginda SAW mengajak mereka berpegang kepada tali agama Allah dan menyatakan kerugian akibat perpecahan sesama sendiri, menerangkan tentang dasar-dasar keunggulan agama dan peranan umat yang bakal bertanggungjawab terhadap penyebaran risalah keamanan kepada sekelian manusia.
Baginda SAW di dalam khutbahnya (pada 9 Zulhijjah tahun ke-10 Hijrah) turut menjelaskan dasar-dasar agama Islam, menghapuskan ciri-ciri kesyirikan dan jahiliah, menyatakan tentang kehormatan darah manusia, harta dan maruah mereka di samping pengharaman menumpahkan darah, merampas harta dan menjatuhkan maruah sebagaimana yang disepakati oleh kesemua ajaran agama langit.
Turut dijelaskan di dalam khutbahnya tentang amalan berhubung dengan perkara jahiliah yang telah dihapuskan. Baginda SAW juga mengharam dan membatalkan perbuatan riba, selain memberi amanat dan wasiat kepada kaum lelaki (suami) supaya memelihara wanita (isteri), di samping menyatakan tanggungjawab dan hak-hak yang perlu dilaksanakan untuk kebaikan mereka seperti pemberian makanan dan pakaian dan menjelaskan tanggungjawab para isteri untuk ditunaikan terhadap para suami mereka.
Khutbah haji wada'
Antara sabda Baginda SAW : "Sesungguhnya darah dan harta sesama kamu adalah mulia dan haram (dicerobohi) seperti mulianya hari ini (Arafah), bulan ini (Zulhijjah) dan negeri ini (Mekah). Ketahuilah bahawa setiap perkara jahiliah diletakkan di bawah kakiku ini (dibatalkan). Segala tuntutan (bayaran) darah di zaman jahiliah dahulu juga dibatalkan.
"Tuntutan darah pertama yang dibatalkan adalah tuntutan darah anak kepada Rabi'ah bin Al-Harith yang telah menyusu di kampung Bani Saad yang kemudianya dibunuh oleh Huzail.
"Tuntutan terhadap harta riba di zaman jahiliah juga dibatalkan, tuntutan pertama yang dibatalkan adalah harta riba yang menjadi hak kepada Al-Abbas bin Abdul Muttalib, kesemuanya telah dibatalkan.
"Takutilah kamu kepada Allah dalam (menguruskan) para wanita (isteri), kerana kamu mengambil mereka (sebagai isteri) dengan amanah (yang diwajibkan oleh) Allah serta kamu dihalalkan untuk mereka dengan kalimah Allah (akad nikah).
"Adalah menjadi kewajipan mereka (wanita) tidak membenarkan sesiapa pun yang kamu tidak gemari duduk di hamparan (masuk ke rumah) kamu. Jika mereka melakukan demikian (memberi keizinan untuk orang lain) maka kamu pukulilah mereka dengan pukulan yang tidak mencederakan.
"Kamu hendaklah memberikan perbelanjaan rezeki dan pakaian untuk mereka dengan cara yang baik. Daku tinggalkan untuk kamu suatu perkara yang kamu tidak akan sesat sekiranya kamu berpegang dengannya iaitu Kitab Allah (al-Quran)".
Dengan khutbah yang amat padat itu, nabi SAW menggariskan umat Islam dasar perjalanan yang berketerampilan dan membawa kepada ketamadunan manusia yang sewajibnya diikuti dan dituruti sepenuhnya dengan rasa kemulian dan penuh bangga.
Kesemua itu demi menjaga segala peraturan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan untuk dipikul di atas bahu mereka. Pelaksanaan terhadapnya pasti menjadi umat berdaya saing untuk terus maju sejajar dengan dasar kemanusiaan dan kemaslahatan sejagat yang berpaksikan kebenaran, kesaksamaan dan keadilan.
Isi khutbah di atas menjelaskan bagaimana ketamadunan palsu umat terdahulu yang menyimpang jauh daripada tuntutan nilai kemanusiaan yang telah dihidupi oleh generasi awal, yang menjauhi petunjuk ilahi, dan akhirnya membawa kepada kecelakaan dan malapetaka yang amat dahsyat kepada mereka yang meruntuninya.
Ketamadunan terdahulu yang tersasar daripada prinsip agama dan akhlak, menjual segala asas budi pekerti untuk dilelong di pasar-pasar perdagangan dan kilang-kilang pengeluaran bahan.
Insan telah dimanipulasi untuk menjadi ganas dan gasar, membentuk jiwa yang sentiasa menginginkan penumpahan darah dan merampas harta orang lain.
Oleh sebab itu, kemajuan setempat walaupun amat menarik dan mengagumkan pada pandangan mata, ia pasti tidak dapat dinikmati dalam keadaan jiwa yang tenang dan hati yang tenteram bahkan segala kegusaran dan penderitaan terus menerus menghantui minda dan jiwa raga manusia setempat.
Rasulullah SAW 'seolah-olah' pada hari Arafah tersebut ditunjukkan keadaan umat mendatang setelah zaman baginda yang berada dalam keadaan perpecahan dan perseteruan yang amat berkecamuk.
Tiada penyatuan di kalangan mereka, silih berganti generasi yang datang dan pergi tetapi ia sama tanpa penambahbaikan, permasalahan masih tidak dapat diselesaikan, kesulitan dan kecelaruan yang menimpa tiada tindakan dan kajian terperinci yang boleh mengatasinya.
Justeru, sampailah ketika dan saatnya di mana umat Islam sewajibnya menyedari dan memahami makna kefarduan haji ini.
Ibadat haji bukan sahaja dilaksanakan penunaiannya terhadap beberapa perkara ibadah secara praktikalnya malahan mereka sewajarnya dapat menyelami segala kemanfaatan yang dipaparkan oleh Allah SWT menerusi rukun Islam yang kelima ini.
Kekuatan umat dapat dipaparkan:
- Dalam kesepaduan dan kesekataan apabila ia dijaga dan dipelihara dengan sebaiknya;
- Keteguhan prinsip dan ketenteraman perasaan apabila Al-Quran dipegang dan dihayati sewajarnya;
- Saling berkongsi harapan dan bekerjasama dalam meleraikan permasaalahan sesama ummat;
- Bersepakat di dalam mempertahankan diri daripada ancaman dan tipu daya musuh Islam ;
- Juga mengawal diri umat daripada dicela, dipijak dan ditertawakan oleh sebarang musuh yang sentiasa mencari jalan bagi melemahkan kekuatan dan keteguhan perpaduannya.
Sejarah umat Islam terdahulu yang amat panjang tidak pernah menyaksikan sebarang serangan musuh di dalam pelbagai situasi seperti yang dihadapi oleh mereka ketika ini.
Seluruh kekuatan musuh dan taktik peperangan saraf dilancarkan oleh musuh Islam demi membantutkan keserlahan umat yang telah mengungguli dunia kemanusiaan.
Justeru, bagi menghadapi ancaman musuh dan mempertahankan diri serta prinsip yang teguh, umat Islam perlu kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, membuang segala kekalutan minda dan menjernihkan kembali perseteruan dan perbalahan sesama sendiri.
Kerana itu, peristiwa wuquf di Arafah setidak-tidaknya dapat mengembalikan nostalgia lalu, memaparkan bagaimana kesemua diri umat menuju kepada ajaran Allah SWT, patuh dan tunduk kepada-Nya dan arahan-Nya.
Di sanalah Baginda SAW memperingatkan umat supaya menjaga amanah yang amat besar lagi kudus ; amanah persaudaraan, amanah menegakkan hukum hakam agama Allah, mempraktikkan amalan bantu membantu, membuang segala perasaan keakuan dan negatif sesama sendiri.
Umat yang disifatkan sebagai "bangsa yang beriman kepada Allah, dilahirkan untuk kebaikan manusia sejagat, bersama menyuruh berbuat baik, bersama mencegah perbuatan kemungkaran". (ali-'Imran: 110) sepatutnyalah bertindak menyelami maksud hari Arafah dengan membentuk jiwa yang mantap, kesepaduan yang teguh, berpegang kepada al-Quran, melaksanakan suruhan dan menjauhi larangan berlandaskan syariat Ilahi, menegakkan hukum Allah di atas muka bumi.
No comments:
Post a Comment