disebabkan tidak yakin untuk bertindak sendirian, kaum kafir Quraisy Mekah menggembleng tenaga tentera kuffar bagi menyerang Madinah. - Gambar hiasan |
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
SELEPAS setahun berakhirnya peperangan besar iaitu Perang Uhud dan Perang Badar II serta beberapa siri serangan kecil, umat Islam di Madinah sekali lagi diuji dengan satu lagi perang.
Ia berlaku menjelang bulan Syawal tahun 5 Hijrah, iaitu Perang Khandaq (parit) atau dikenali juga sebagai Perang Ahzab yang membabitkan gabungan pelbagai puak tentera kafir yang menyerang Madinah.
Perang Khandaq sememangnya antara kisah yang tersemat kemas dalam ingatan umat Islam sehingga hari ini. Ia diingati bukan sahaja kerana penggunaan taktik menggali parit atau satu lagi perang yang mencatatkan kemenangan di pihak Islam tetapi sejarah perang ini perlu dilihat dalam perspektif yang lebih luas.
Terutamanya bagaimana tindak tanduk Yahudi yang tidak pernah senang dengan Islam dan sentiasa mencari jalan membalas dendam.
Ia ekoran tindakan Rasulullah pernah menghalau mereka keluar dari Madinah akibat cubaan untuk membunuh baginda.
Seharusnya mereka melihat tindakan itu setimpal dengan apa yang cuba dilakukan kerana kaum Yahudi Bani Nadhir yang dihalau telah bertindak melampau.
Kaum itu bergabung dengan Yahudi yang mendiami Lembah Khaibar, terletak kira-kira 320 kilometer dari Madinah yang merupakan perkampungan Yahudi terbesar ketika itu.
Menyedari mereka tidak cukup kuat untuk berlawan dan berperang dengan Islam, mereka perlu bergabung.
Oleh kerana pihak kafir Quraisy di Mekah adalah musuh ketat Islam, Yahudi mempergunakan mereka untuk sama-sama menyerang Madinah walaupun Abu Suffian Harb sebagai pembesar dan ketua panglima perang di Mekah belum lagi mempunyai sebarang perancangan untuk menyerang Islam.
Lalu pihak Yahudi di Khaibar menghantar wakil menemui kaum Quraisy di Mekah mengajak mereka untuk sama-sama membina suatu kekuatan tentera yang cukup besar untuk menghancurkan Islam.
Pada awalnya mereka menceritakan mengenai 'penderitaan' yang dialami akibat dihalau dari Madinah dengan meninggalkan satu lagi puak Yahudi, iaitu Bani Quraizhah yang masih di Madinah.
"Tetapi jika kita sama-sama menyerang Madinah, pastinya sama ada Yahudi yang berada di dalam atau di luar Kota Madinah akan bergabung. Dalam masa singkat sahaja pasti Madinah akan dapat kita tawan," kata ketua Yahudi Bani Nadhir, Huyyay Akhtab.
Walaupun rancangan tersebut disifatkan amat baik dan mempunyai peluang untuk menang, pihak Quraisy tidak mudah menerima ajakan pihak Yahudi.
Sebabnya, mereka juga mengenali sikap, tabiat dan perlakuan Yahudi. Setiap apa yang dilakukan oleh Yahudi pasti ada muslihat. Namun, sekiranya tidak bersetuju bergabung, pasti mereka akan menjadi mangsa ejekan Yahudi.Mereka akan dituduh sebagai lemah dan pengecut.
Akhirnya pihak Quraisy bersetuju untuk memerangi Islam di Madinah kerana gabungan ini tidak terikat dengan sebarang syarat.
Dalam pada itu, kaum Quraisy sempat meminta pandangan pihak Yahudi akan agama menyembah berhala yang dianuti mereka.
Kata para pemimpin Quraisy: "Wahai golongan Yahudi, kamu ini merupakan ahli Kitab yang terdahulu. Kamu juga yang berpengetahuan luas mengenai perselisihan antara kami dengan Muhammad (Rasulullah). Kami ingin bertanya kepada kamu, manakah yang lebih baik, agama kamikah atau agama (yang dibawa) Muhammad?"
Lalu mereka menjawab: "Oh sudah tentulah agama tuan-tuan adalah yang lebih baik dan tuan-tuanlah penganut agama yang benar. Tuan-tuanlah yang lebih utama daripada Muhammad!"
Tetapi apa yang diucapkan oleh Yahudi itu hanya dusta semata-mata.
Namun setelah mendengarkan jawapan yang sangat enak didengar dari ketua-ketua Yahudi itu, hati para pemimpin kafir Quraisy sangat senang. Tidak semena-mena mereka begitu bersemangat untuk menghancurkan Kota Madinah.
Lalu mereka berbincang dengan lebih mendalam mengenai strategi serangan dan lain-lain kekuatan untuk menawan Madinah.
Tidak cukup bergabung dengan puak Quraisy Mekah, puak Yahudi menjayakan perancangan halus mereka dengan mengajak lebih banyak puak Arab untuk sama-sama menawan Madinah.
Mereka kemudiannya menemui Bani Ghathafan dan mengajak puak Arab itu untuk bergabung dan mereka akhirnya bersetuju.
Keghairahan itu semuanya bagi memastikan Islam benar-benar akan tewas tanpa dapat melawan.
Mereka berjaya mengajak kabilah Bani Murrah, Bani Fazarah, Bani Asyja', Bani Sulaim, Bani Saad dan Bani Asad.
Seluruh kabilah itu bersetuju memberi kejutan besar terhadap Islam apabila termakan dengan kata-kata manis Yahudi, yang antara lainnya mengatakan bahawa:
1) Bangsa Arab Quraisy iaitu terdiri dari ahli keluarga dan saudara mara Nabi Muhammad sendiri turut serta dan bersedia untuk memerangi anak saudara mereka ini .
2) Apabila Madinah dapat ditawan, puak-puak Arab dapat menghidupkan kembali adat-adat lama tanpa sesiapa dapat menghalangnya lagi.
3) Para Ketua Kaum Yahudi itu juga berjanji sekiranya mereka berjaya menduduki semula kota Madinah, separuh hasil kebun kurma mereka pada tahun itu akan diserahkan kepada Bani Ghatafan.
Ternyata, pasukan tentera di kalangan musuh itu tidak mengambil masa yang lama untuk dibentuk. Sebaik sahaja mencapai persetujuan mereka terus menghantar anggota tentera masing-masing dan berkumpul dengan kaum Quraisy di Mekah sebelum menuju ke Madinah.
Akhirnya terbentuklah satu pasukan tentera yang besar. Kekuatan yang mereka miliki membayangkan dengan mudah mereka mampu menewaskan pihak lawan.
Dengan diketuai atau dipimpin oleh Abu Suffian bin Harb, jumlah tentera musuh yang didalangi oleh Yahudi itu mencecah 10,000 hingga 11,000 orang yang kesemuanya lengkap bersenjata.
Di pihak Quraisy sahaja terdapat 4,000 tentera berjalan kaki, 1,500 menunggang unta dan 300 lagi tentera berkuda. Pembawa benderanya adalah Usman bin Thalhah.
Bani Fazarah pula menghantar 1,000 tentera yang menunggang unta, yang dipimpin oleh Uyainah bin Hishn.
Tentera dari Bani Murrah seramai 400 anggota yang dipimpin oleh Harits bin Auf, Bani Asyja' juga seramai 400 tentera yang dipimpin oleh Mis'ar bin Rukhailah.
Ini diikuti seramai 700 anggota tentera dari Bani Sulaim yang dipimpin oleh Sufyan bin Abdul Syams!
Semua itu pastinya mengejutkan Rasulullah SAW apabila mengetahui begitu ramai tentera musuh kini bersiap sedia menuju ke Madinah dalam cubaan yang cukup nekad kali ini untuk menawan Kota yang menjadi nadi pentadbiran dan kekuatan Islam selama ini!
No comments:
Post a Comment