Amalan bersedekah amat dituntut kerana umat Islam umpama satu tubuh. - Gambar hiasan |
Olahan kisah daripada buku Bertanya TentangTuhan terbitan Mustread Sdn. Bhd.
PADA suatu masa dahulu ada seorang ahli
ibadah yang tekun mengerjakan ibadatnya selama 70 tahun. Namun, pada suatu
hari, dia didatangi seorang wanita yang cuba menggoda si lelaki itu. Akhirnya,
lelaki itu tewas dan telah melakukan maksiat bersama wanita tersebut selama
tujuh hari.
Namun, lelaki itu sedar akan kesilapan diri
dan kemudiannya bertaubat bersungguh-sungguh kepada Allah SWT. Malah si lelaki
itu telah sanggup keluar mengembara dengan harapan untuk melupakan kenangan
dosa-dosa maksiat yang lalu itu.
Akhirnya, beliau tiba di sebuah rumah
tumpangan yang dihuni oleh 12 orang miskin. Dia ingin tumpang bermalam dan
kebetulan, ada seorang kaya yang selalu menderma 12 keping roti ke rumah itu
setiap hari.
Pemberian orang kaya itu sebenarnya tidak
dikhaskan kepada 12 penghuni tetap di situ tetapi diberikan kepada mana-mana
insan yang berjaya mendapatkannya terlebih dahulu.
Kedatangan lelaki itu tadi telah
menyebabkan salah seorang daripada 12 orang miskin itu tadi tidak mendapat roti
seperti hari-hari lain.
Lantas, si lelaki tadi terdengar salah
seorang daripada orang miskin itu menyuarakan ketidakpuasan hatinya kerana
tidak mendapat bahagian daripada pemberian orang kaya itu.
Oleh kerana terasa dirinya bersalah kerana
telah mengambil hak orang lain, maka lelaki itu telah memberi roti yang di
tangannya kepada si miskin tadi. Dek kerana terlalu lapar, tidak lama selepas
itu lelaki pengembara tadi meninggal dunia.
Lalu turunlah malaikat untuk menimbang
amalannya bagi menentukan nasibnya di alam yang kekal kelak. Allah SWT menyuruh
malaikat menimbang antara amalan soleh lelaki itu tadi selama 70 tahun dan
maksiat yang dilakukannya selama tujuh hari.
Malangnya, amalan soleh 70 tahun lelaki itu
lebih ringan berbanding dosa maksiat yang dilakukan sesingkat tujuh hari.
Ini menandakan lelaki itu bakal diazab,
maka malaikat mencari-cari mana-mana amalan lain yang dapat menyelamatkan
lelaki tadi daripada diazab Allah SWT.
Lalu tertulis di dalam kitab amalannya
bahawa dia pernah bersedekah sekeping roti kepada seorang miskin di saat dia
juga di dalam kelaparan. Maka Allah menyuruh malaikat menimbang ganjaran
memberi roti kecil itu dengan dosa berbuat maksiat selama tujuh hari oleh
lelaki tersebut.
Subhanallah, rupa-rupanya perbuatan yang
dikira kecil iaitu memberi sekeping roti, sebenarnya lebih besar ganjarannya
hingga mampu menewaskan dosa maksiat selama seminggu! Lalu lelaki itu tadi
mendapat pengampunan daripada Allah SWT dan beroleh syurga-Nya.
Jelaslah di sini bukti kasih sayang Allah
tanpa batasan kepada siapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Kalau direnung semula
kisah ini, pengajarannya bahawa amalan yang dilakukan demi kesenangan orang
lain lebih besar ganjarannya berbanding amalan yang tekun didirikan hanya untuk
kesenangan diri sendiri.
Hakikatnya, kasih sayang Allah cukup tinggi
kepada kita, walaupun seorang hamba itu kembali kepada-Nya dengan membawa dosa
sebesar gunung sekalipun, selagi kita tidak menyekutukan Allah SWT, ada ruangan
pengampunan.
Ayuh! berdoalah kepada-Nya dan luahkan
kecintaan kepada-Nya kerana Dia iaitu Allah SWT sentiasa menanti dan mendengar
doa hamba-Nya.
Firman Allah SWT: Aku mengabulkan
permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku... (al-Baqarah: 186)
utusan
2 comments:
Salam,
Kisah yang sungguh memberi teladan dan ingatan.
Terima kasih diatas perkongsian bermakna ini...
Salam,
Kisah yang menunjukkan bahawa mengutamakan orang lain daripada diri sendiri akan dapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT. Wallahua'lam
Post a Comment