بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Wednesday, September 7, 2011

Penuhi undangan lebih baik daripada puasa enam

Oleh Hizbur Rahman

2011/09/06

SALAH satu amalan terpuji yang menjadi budaya besar-besaran umat Islam di negara ini ketika sambutan Aidilfitri ialah ziarah atau kunjung mengunjung satu sama lain. Ini juga termasuk dalam konsep rumah terbuka. 

Amalan ini memberi manfaat besar dan faedah berguna dalam konteks persaudaraan serta perpaduan ummah. Amalan ziarah ini membolehkan yang jauh menjadi dekat, renggang menjadi rapat, bersengketa menjadi damai, susah menjadi mudah.

Melalui amalan ziarah akan terbentuklah satu ikatan kasih sayang yang dapat mengeratkan sesama insan. Ini disebabkan asal keturunan manusia berpunca daripada ibu bapa manusia yang sama iaitu Nabi Adam dan Hawa. Sebab itulah Islam mengajak manusia saling mengenali, hormat-menghormati, kerjasama dan memahami sesama insan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujuraat, ayat 10) 

Islam adalah agama yang mempunyai sistem cara hidup sempurna merangkumi bidang politik, ekonomi dan kemasyarakatan. 
Islam agama yang sempurna maka ketika mengadakan ziarah, bertamu dan makan pun mempunyai adab tertentu yang melambangkan tamadun, keperibadian dan tama’ninah seseorang. 

Berdasarkan ayat al-Quran dan amalan Rasulullah SAW, antara peraturan dan adab yang perlu diberi perhatian umat Islam ketika berziarah dan bertetamu ialah: 


  Berniat baik atas kunjungannya. 



  Jangan dibezakan antara orang kaya dan miskin ketika membuat jemputan. 



  Jangan tolak undangan hanya semata-mata berpuasa sunat, sebaliknya terimalah undangan dan hendaklah berbuka untuk menimbulkan kegembiraan pihak yang mengundang. 



  Hendaklah menolak undangan yang ada aktiviti munkar atau orang yang mengundang itu bersifat fasik, zalim serta suka membesar diri. 

Rasulullah SAW yang bermaksud: “Janganlah engkau makan melainkan makanan orang yang bertakwa dan jangan pula makan makananmu itu melainkan yang membawa kepada takwa.” (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi) 



  Ketika berkunjung hendaklah memilih waktu sesuai. Janganlah berkunjung pada waktu awal pagi, tengah hari dan larut malam kerana kebiasaannya waktu itu pihak tuan rumah ingin beristirahat atau membuat persiapan keperluan keluarga. 



  Mohon izin dan memberi salam sebelum memasuki rumah yang ingin dikunjungi. 



  Selaku tetamu adalah sangat digalakkan berjabat tangan dengan tuan rumah. Bagaimanapun amalan berjabat tangan ini mesti dilakukan mengikut lunas Islam. 
Sabda Nabi SAW riwayat dari al Barra’ RA yang bermaksud: “Tidak ada dua orang Muslim yang bertemu, lalu saling berjabat tangan, kecuali kedua-duanya diampuni Allah SWT sebelum berpisah.” 



  Sebagai tetamu juga tidak sepatutnya bebas melakukan apa saja di rumah orang lain kerana perbuatan itu akan mengganggu dan tidak disenangi oleh tuan rumah. 



  Jaga mata, jangan mencuri dengar atau mengintai tuan rumah, jangan mengangkat suara ketika berada dalam rumah dan jangan duduk lama ketika berziarah. 

Bagi pihak tuan rumah, Islam menggariskan beberapa adab yang perlu dipelihara antaranya menghormati dan memuliakan tetamu. Pada masa sama, tuan rumah juga disaran menghidangkan jamuan terbaik mengikut kemampuan. 

Jangan ada maksud untuk berbangga tetapi tujuannya untuk merapatkan seluruh kawan serta memberikan kegembiraan dalam jiwa tetamu. Memuliakan dan melayan tetamu dengan baik adalah amalan para Nabi dan Rasul terdahulu. 

Satu lagi adab penting ialah menjaga cara makan minum. Mulakan dengan membaca Bismillah dan akhiri dengan Alhamdulillah. 

Jangan minum air banyak ketika makan kecuali terlalu dahaga atau tercekik, jangan bersendawa atau bernafas dalam gelas ketika minum. 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...