Sambungan daripada adab mempelajari ilmu
PADA kali ini, masih lagi dibincangkan
berkenaan dengan isu pertemuan Nabi Musa AS dengan gurunya.
Ia menjawab: "Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanya kepadaku akan sesuatupun sehingga aku ceritakan halnya kepadamu".(al-Kahfi [18] : 70)
Pada ayat ke-70, Ibnu Kathir berkata: Iaitu
sehingga aku yang mulai memberikan penjelasan kepadamu sebelum kamu bertanya
kepadaku.
Al-Maraghi berkata: Nabi Khidir AS bersabda
kepadanya: Apabila kamu berjalan bersamaku, janganlah kamu bertanya kepadaku
tentang sesuatu yang tidak kamu setujui terhadapku. Sehingga aku mula
menyebutkannya, lalu aku terangkan kepadamu akan kebenaran kerana sesungguhnya
aku tidak akan melakukan sesuatu kecuali yang benar dan dibolehkan, sekalipun
pada lahirnya tidak dibolehkan. Syarat daripada Nabi Khidir AS itu diterima
oleh Nabi Musa AS demi memelihara kesopanan seorang murid terhadap gurunya.
Lalu berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka naik ke sebuah perahu, ia membocorkannya. Nabi Musa berkata: "Patutkah engkau membocorkannya sedang akibat perbuatan itu menenggelamkan penumpang-penumpangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar".(al-Kahfi [18] : 71)
Pada ayat ke-71, Ibnu Kathir berkata: Nabi
Khidir AS bangkit dan kemudian melubangkan perahu tersebut, lalu mengeluarkan
papan perahu tersebut dan kemudian memotongnya sedang Nabi Musa AS tidak dapat
menahan diri menyaksikan hal itu hingga akhirnya dengan nada menolak.
Huruf lam dalam ayat ini
merupakan lam yang bererti akibat bukan lam yang bererti sebab.
Sayid Qutub berkata: Bahtera itu sedang
membawa kedua-duanya bersama penumpang-penumpang yang lain dan kini mereka
berada di tengah laut yang bergelombang, tiba-tiba datang hamba yang soleh itu
lalu melubangkan bahtera itu. Pada zahirnya tentulah perbuatan ini akan
mendedahkan bahtera dan para penumpangnya kepada bahaya karam dan membawa
mereka kepada bencana itu. Oleh itu, mengapa lelaki ini berani mencabar bencana
itu?
Musa telah lupa kepada janji yang telah
dikatakannya dan kepada syarat yang telah dikemukakan oleh sahabatnya ketika
menghadapi tindakan yang ganjil itu, yang tidak mempunyai sebarang alasan
mengikut pandangan logik akal. Kadang-kadang seorang itu dapat memahami konsep
umum yang mujarrad, tetapi ketika dia berdepan dengan pelaksanaan amali
dan contoh yang sebenar daripada konsep ini ia mendapat kesan yang berlainan
daripada kefahaman secara teori tadi, kerana pengalaman amali mempunyai kecapan
yang berlainan daripada kecapan kefahaman mujarrad.
Lihatlah kepada Musa AS yang sebelum ini
telah diperingatkan bahawa beliau tidak akan berupaya menahan kesabaran
terhadap perkara-perkara yang tidak akan diketahuinya dengan mendalam, lalu
beliau berazam untuk menahankan kesabaran sambil memohon pertolongan daripada masyi'ah Allah
SWT dan memberi janjinya dan menerima syarat itu. Kini beliau bertembung dengan
pengalaman amali daripada tindakan lelaki itu, lalu beliau terus membantah
dengan terburu-buru.
Ia menjawab: "Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?"(al-Kahfi [18] : 72)
Pada ayat ke-72, Al-Maraghi berkata: Nabi
Khidir AS bersabda: Bukanlah aku telah katakan kepadamu wahai Musa.
Sesungguhnya, kamu sekali-kali tidak akan mampu bersabar bersamaku lantaran
perbuatan yang aku lakukan.
Sayid Qutub berkata: Lalu Musa AS meminta
maaf atas kelupaannya dan memohon agar lelaki itu menerima permintaan maafnya
dan janganlah menyulitkannnya dengan mengulangi kata teguran dan peringatan.
Nabi Musa berkata: "Janganlah engkau marah akan daku disebabkan aku lupa (akan syaratmu); dan janganlah engkau memberati daku dengan sebarang kesukaran dalam urusanku (menuntut ilmu)".(al-Kahfi [18] : 73)
Pada ayat ke-73, Ibnu Kathir berkata:
Maksudnya, janganlah engkau menyempit dan menyakitkan diriku.
Al-Maraghi berkata: Nabi Musa AS berkata
kepada Nabi Khidir AS: Janganlah kamu menghukum aku kerana kelalaianku untuk
berserah diri kepadamu, tanpa mengingkari kamu. Janganlah kamu membebankan aku
sesuatu kesulitan dan janganlah kamu menyempitkan urusanku ini. Janganlah kamu
mempersulitkan aku untuk mengikut kamu, tetapi mudahkanlah sesuatu itu tanpa
berdebat denganmu.
Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu ia membunuhnya. Nabi Musa berkata "Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang mungkar!"(al-Kahfi [18] : 74)
Pada ayat ke-74, Ibnu Kathir berkata:
Sebagaimana yang telah dijelaskan sebelumnya, bahawa anak itu sedang bermain
dengan anak-anak lainnya di sebuah perkampungan. Nabi Khidir AS sengaja
mendekati anak itu yang berada di tengah anak-anak lainnya. Dia adalah anak
yang paling bagus, tampan dan ceria di antara kawan-kawannya. Lalu Nabi Khidir
AS membunuhnya. Wallahu 'alam
Al-Maraghi berkata: Setelah mereka berdua
turun dari kapal dalam keadaan selamat daripada tenggelam dan bencana, maka
mereka pun meneruskan perjalanannya menyusuri pantai. Lalu, Nabi Khidir AS
melihat seorang anak yang sedang bermain bersama kawan-kawannya yang sebaya,
lalu Baginda AS membunuhnya. Namun, sejauh ini, al-Quran al-Karim tidak pernah
menceritakan bagaimana (cara) Nabi Khidir AS membunuh anak itu. Apakah
disembelih atau dihentamkan kepalanya pada tembok atau dengan cara lain. Bagi
kita, tidak perlu memeningkan kepala memikirkan hal itu, kerana sekiranya
perkara itu ada kebaikannya, tentu Allah SWT akan menceritakan hal itu kepada
kita.
Nabi Musa AS bersabda kepada Nabi Khidir
AS: Apakah kamu membunuh dia yang bersih daripada dosa tanpa alasan atau dia
pernah membunuh suatu jiwa yang diharamkan.
Alasan ini disebutkan oleh Nabi Musa AS
secara khusus antara alasan-alasan lain yang membolehkan pembunuhan, seperti
kekafiran setelah iman dan perzinaan setelah berkeluarga. Ini kerana, alasan
ini lebih mungkin terjadi jika dilihat kepada keadaan anak itu.
Sayid Qutub berkata: Jika pada kali yang
pertama dia melubangkan bahtera yang membawa kemungkinan menenggelamkan para
penumpangnya, maka kali ini dia membunuh seorang manusia, iaitu membunuh dengan
sengaja bukannya semata-mata persoalan kemungkinan. Ini adalah satu kesalahan
yang amat besar yang tidak dapat disabari oleh Musa walaupun dia teringat
kepada janjinya.
Semoga kita menjadi hamba Allah yang
benar-benar mengikut perintahnya. Amin
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
ARKIB : 12/04/2013
No comments:
Post a Comment