Daripada Sulaiman bin Sard, katanya, “Pada
suatu hari aku duduk bersama-sama Nabi Muhammad SAW, dua orang lelaki sedang
bermaki-makian antara satu sama lain. Salah seorang daripadanya telah merah
mukanya dan tegang pula urat lehernya. Lalu Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya aku tahu satu perkataan sekiranya dibaca tentu hilang rasa
marahnya jika dia berkata (baca), “aku berlindung dengan Allah daripada syaitan
yang direjam”, hilanglah marahnya. Maka mereka pun berkata kepada (orang yang
merah mukanya) bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: Berlindunglah dengan Allah
daripada syaitan yang direjam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sifat marah disemarakkan syaitan
Perasaan marah yang disemarakkan oleh
syaitan boleh menyebabkan kemudaratan pada agama dan dunia, kerana itu untuk
menghapuskan sebabnya (was-was syaitan) ialah dengan memohon perlindungan
kepada Allah SWT.
Firman Allah :
“Dan jika kamu ditimpa satu godaan syaitan maka berlindunglah kepada Allah, sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-A’raf, ayat 200)
Seseorang yang dalam keadaan marah hendaklah membaca taawuz (aku berlindung dengan
Allah daripada syaitan yang direjam) untuk mendapatkan kesabaran.
Orang yang alim (berilmu) hendaklah sentiasa menyampaikan (menyebarkan) ilmunya
tidak kira masa dan tempat asalkan ilmu itu dapat dimanfaatkan (dinikmati).
Meleraikan persengketaan yang berlaku antara dua pihak adalah dituntut oleh
Islam.
Sabar, tahan marah sifat terpuji
Daripada Muaz bin Anas, Nabi Muhammad SAW bersabda, “Sesiapa yang menahan
kemarahannya sedangkan dia mampu bertindak menurut perasaan marahnya maka Allah
akan menyerunya di hari kiamat di hadapan khalayak ramai (sebagai suatu
penghormatan) sehingga Allah memberi pilihan kepadanya bidadari yang dia suka.”
(Riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)
Allah SWT memuliakan orang yang sabar menahan marah. Menahan marah adalah sifat
yang baik dan dipuji. Menahan marah dan memberi kemaafan dijanjikan ganjaran
yang besar di sisi Allah.
Kekuatan jiwa dan peribadi seseorang akan terserlah dalam situasi-situasi yang
mencemaskan dan boleh menimbulkan kemarahan, iaitu dengan menguasai diri dan
menahan marah. Antara ganjaran Allah di akhirat terhadap hambanya yang bersifat
sabar ialah bidadari syurga.
Koleksi hadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
No comments:
Post a Comment