Gambar Hiasan |
Sambungan daripada Nabi Khidir bocorkan perahu
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI
PERBINCANGAN masih berkisar tentang Nabi
Musa AS dan Nabi Khidir AS. Jelaslah bahawa pembahagian al-Quran
kepada 30 juzuk adalah dari segi lafaz bukan dari segi makna. Oleh itu, kita
dapat melihat bahawa akhir satu juzuk dan permulaan juzuk yang lain masih
membicarakan satu perkara yang belum selesai.
Ia menjawab: "Bukankah, aku telah katakan kepadamu, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?" (al-Kahfi [18] : 75)
Pada ayat ke-75 Ibnu Kathir berkata: Di
sini Nabi Khidir menegaskan seraya mengingatkan kepada Nabi Musa dengan syarat
yang pertama."
Al-Maraghi berkata: Berbeza dengan ayat
yang sebelumnya, ayat ini ditambah dengan perkataan laka (kepadamu) bagi
menguatkan celaan ke atas penolakkan wasiat oleh Nabi Musa."
Di samping itu juga menunjukkan Nabi Musa
orang yang kurang sabar, kurang tabah, dan nampak sombong kerana tidak
mempedulikan peringatan yang pertama itu.
Al-Baghawi berkata: Diriwayatkan bahawa
Nabi Yusha AS bersabda kepada Nabi Musa sebutkanlah janjimu."
Sayid Qutub berkata: Yakni (aku telah
katakan) kepada engkau sendiri dengan tegas dan tepat, tetapi engkau tidak
percaya dan masih memohon bersahabat dan menerima syarat."
Musa kembali berbincang dengan hatinya
sendiri. Beliau dapati dia kini telah dua kali menyalahi dan melupakan janjinya
setelah diberi peringatan, lalu dengan terburu-buru beliau (mengambil
keputusan) memotong jalan untuk dirinya dan menjadikannya sebagai peluang
terakhir yang ada di hadapannya.
Nabi Musa berkata: "Jika aku bertanya kepadamu tentang sebarang perkara sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi; sesungguhnya engkau telah cukup mendapat alasan-alasan berbuat demikian disebabkan pertanyaan-pertanyaan dan bantahanku". (al-Kahfi [18] : 76)
Pada ayat ke-76, Ibnu Kathir berkata: Engkau
telah mengemukakan alasan keuzuran kamu beberapa kali kepadaku."
Al-Maraghi berkata: Nabi Musa bersabda
kepada Nabi Khidir jika selepas ini, aku bertanya lagi kepadamu tentang
keajaiban perbuatanmu yang aku saksikan dan memintakanmu supaya menjelaskan
hikmahnya, apatah lagi berdebat dan menentangnya, janganlah kamu menganggap aku
sebagai temanmu."
Kemudian keduanya berjalan lagi, sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk sebuah bandar, mereka meminta makan kepada orang-orang di situ, lalu orang-orang itu enggan menjamu mereka. Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu ia membinanya. Nabi Musa berkata: "Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya!" (al-Kahfi [18] : 77)
Pada ayat ke-77, Ibnu Kathir berkata: Penggunaan
kata iradah atau kehendak bagi dinding bukan menurut hakikatnya tetapi sebagai
kiasan sahaja. Hal ini dibahaskan dalam ilmu Balaghah dan bahasa Arab."
Al-Maraghi: Selepas tindakan yang kedua,
Nabi Khidir dan Nabi Musa meneruskan perjalanan sehingga sampai ke sebuah
negeri. Apabila sampainya di situ, kedua-duanya meminta makanan daripada
penduduk tempatan tetapi penduduk di situ tidak mahu melayan mereka."
Selepas itu, kedua-duanya mendapati di
negeri itu terdapat tembok yang condong dan hampir roboh.
Nabi Khidir segera mengusapnya dengan
tangannya sehingga tembok itu berjaya ditegakkan dengan kukuh. Fenomena ini
merupakan salah satu daripada mukjizatnya.
Jika kamu mahu, tentulah kamu menerima
upah untuk itu," sabda Nabi Musa sebagai dorongan kepada Nabi Khidir agar
menerima upah daripada pekerjaannya sebagai punca pendapatan bagi mendapatkan
makanan, minuman dan urusan kehidupan yang lain.
Ia menjawab: "Inilah masanya perpisahan antaraku denganmu, aku akan terangkan kepadamu maksud (kejadian-kejadian yang dimusykilkan) yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya. (al-Kahfi [18] : 78)
Ibnu Kathir berkata, pada ayat ke-78,
kerana kamu telah memberikan syarat pada waktu pembunuhan anak kecil yang mana
kamu tidak akan mempertikaikan aku, maka aku tidak boleh menerima lagi kamu dan
sekarang sampailah masa berlaku perpisahan antara aku dan kamu.
Al-Maraghi berkata, Nabi Khidir bersabda
kepada Nabi Musa: Penentangan yang terus menerus ini menjadi punca perpisahan
antara aku dengan kamu bersesuaian dengan syarat yang telah kamu tetapkan ke
atas dirimu sendiri."
Mengapa peristiwa yang ketiga itu menjadi
punca berlakunya perpisahan? Sewajarnya perpisahan berlaku sejak peristiwa
sebelumnya. Kerana pada zahirnya kejadian pertama merupakan suatu perbuatan
mungkar sehingga Nabi Musa AS mengemukakan keraguan kepada Nabi Khidir.
Berbeza sekarang, berbuat baik kepada orang
yang membuat perkara buruk itu bukan perbuatan mungkar, bahkan satu perbuatan
yang terpuji.
Nabi Khidir akan menceritakan kepada Nabi
Musa hikmah dan kesan daripada perbuatan-perbuatan yang telah dilakukan.
Antara yang menimbulkan tanda tanya kepada
Nabi Musa ialah perbuatan Nabi Khidir melubangkan sampan, membunuh pemuda dan
menegakkan tembok yang condong.
Sayid Qutub berkata: Sampai di sini Musa
dan juga kita yang mengikuti penceritaan al-Quran ini sedang menghadapi
peristiwa-peristiwa luar biasa yang berturut-turut dan memeranjatkan tanpa
mengetahui sebarang rahsianya."
Pendirian kita juga sama dengan pendirian
Musa terhadap peristiwa-peristiwa itu. Malah (lebih daripada itu) kita tidak
mengetahui siapakah gerangan lelaki yang menunjukkan tindakan-tindakan ganjil
itu. Al-Quran tidak menceritakan namanya kepada kita untuk melengkapkan suasana
sulit dan kabur yang melingkungi kita.
Apakah nilai namanya? Kerana dia hanya
dikehendaki melahirkan hikmat ilahiyah yang tinggi yang tidak mengaturkan
natijah yang dekat di atas mukadimah yang dapat dilihat, malah ia tujukan
kepada tujuan-tujuan yang jauh yang tidak dapat dilihat oleh pandangan mata
yang terbatas.
Oleh itu, ketiadaan nama itu adalah sesuai
dengan sahsiah abstrak yang diwakilinya. Dari awal lagi kekuatan-kekuatan ghaib
telah mengendalikan kisah ini. Lihatlah Musa yang mahu menemui lelaki yang
dijanjikan itu telah meneruskan perjalanannya. Tetapi tiba-tiba teman pemudanya
telah terlupa kepada bekalan makanan mereka di atas batu.
Seolah-olah supaya kedua-duanya pulang
kembali ke tempat itu, kerana di sana Musa dapat menemui lelaki itu. Sudah
tentu beliau tidak dapat menemuinya jika beliau dan temannya terus berjalan
mengikut hala mereka dan jika takdir Ilahi tidak mengembalikan mereka di tempat
batu itu.
Seluruh suasana adalah sulit, kabur dan
majhul, begitu juga nama lelaki itu sulit, kabur dan majhul dalam penerangan
al-Quran al-Karim.
No comments:
Post a Comment