بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Wednesday, April 10, 2013

Lima Kesan Maksiat



Dosa akibat maksiat

MAKSIAT yang kita lakukan bukan hanya memberi kesan kepada kehidupan kita di akhirat. Dosa-dosa akibat maksiat itu juga sangat mempengaruhi kehidupan kita di dunia.

Berikut ini dijelaskan beberapa kesan maksiat yang boleh kita temui sepanjang hidup kita di dunia. Penjelasan ini berpandukan hadis-hadis dan ucapan para ulama yang muktabar.

1.   Gelap hati
Rasulullah bersabda: "Apabila seseorang hamba melakukan dosa, maka akan terbit noda hitam di hatinya. Jika ia bertaubat, maka terhapuslah noda itu. Namun jika ia mengulanginya, maka noda itu akan bertambah hingga memenuhi seluruh hatinya." (riwayat al-Tirmizi)

Salah satu tanda hati yang gelap adalah enggan untuk mempelajari ilmu-ilmu yang berkaitan dengan kaifiat menjadi hamba Allah yang taat. Jika dia pernah mempelajarinya, sukar baginya untuk memahami apa lagi mengamalkannya.

Imam Al-Syafii pernah berkata: "Barang siapa yang ingin Allah buka dan terangi hatinya, maka jauhilah ucapan yang tidak berguna, tinggalkan dosa dan maksiat dan hendaklah ia memiliki ibadah tersembunyi antara dirinya dengan Allah SWT."

2.   Hati tak tenang
Islam adalah agama yang sesuai dengan fitrah manusia. Siapa yang hidup mengikut aturan yang digariskan Islam, ia akan merasakan kedamaian di dalam hati. Sebaliknya, siapa yang bermaksiat, hakikatnya ia tengah melakukan sesuatu yang bertembung dengan fitrahnya sendiri.

Pertembungan itu akan melahirkan perasaan bersalah di dalam diri pelaku sehingga hidupnya menjadi sempit dan tidak selesa. Jika perasaan itu belum terasa hari ini, ia pasti akan timbul suatu saat nanti.

Allah berfirman: 

20:124

Dan siapa yang berpaling daripada peringatan-Ku, maka baginya kehidupan yang sempit, dan kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta. (Taha [20] : 124)

3.   Menutup pintu rezeki 
Rasulullah SAW diriwayatkan pernah bersabda: "Sesungguhnya pintu rezeki ditutup daripada seseorang kerana dosa yang pernah ia lakukannya." (riwayat Ibnu Hibban)

Anda mungkin berasa pelik, mana mungkin maksiat menutup pintu rezeki, padahal ramai orang-orang yang rajin bermaksiat namun hidup dalam kemewahan?

Jangan salah faham, rezeki bukan hanya berbentuk wang ringgit dan harta benda. Rezeki boleh juga berbentuk iman, Islam, jodoh, anak, teman, kefahaman, kesihatan, ilmu dan lain-lain. Bahan semua ini lebih mahal dan berharga berbanding wang dan harta.

Maksiat dapat menutup pintu-pintu rezeki ini daripada manusia. Seseorang boleh memiliki kereta besar dan rumah mewah. Namun jika ia bermaksiat, maka terlepas daripadanya bentuk-bentuk rezeki lain yang jauh lebih mahal.

Lagi pula, rezeki yang dimiliki menerusi jalan maksiat tiada keberkatan padanya. Dan rezeki yang tiada keberkatan padanya hanya akan melahirkan kebahagiaan palsu. Ia nampak berbahagia di mata orang lain. Namun tersimpan dalam hatinya kepedihan dan seksaan batin yang hanya diketahui oleh orang-orang yang dekat dengannya.

4.  Menyebabkan kekalahan
Naik turun nasib sebuah bangsa berada di tangan Allah SWT, apatah lagi sejarah berkali-kali memperlihatkan hilangnya kekuasaan yang semula berada di tangan orang-orang tertentu apabila mereka menentang perintah-Nya.

Al-Hafiz Al-Zahabi menceritakan dalam kitab Siyar A'lam Al-Nubala menjelaskan, apabila kaum muslimin menundukkan negeri Siprus (Turki), mereka berjaya menawan musuh yang sangat ramai. Melihat pemandangan itu, Abu Darda malah menangis.

Seseorang bertanya kepadanya: "Mengapa anda menangis di hari kemenangan Islam ini?"

Sahabat Nabi ini menjawab: "Mereka ini dahulunya adalah bangsa yang kuat dan berkuasa. Namun apabila mereka bermaksiat, maka Allah menghinakan mereka seperti mana yang berlaku pada hari ini. Sungguh hina seorang hamba di sisi Allah apabila ia bermaksiat kepada-Nya."

Oleh itu, maksiat yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam adalah pertanda awal kemenangan akan beralih kepada kaum muslimin. Berkata Jaafar al-Ahmar: "Cukuplah kemenangan bagi seorang mukmin, apabila ia melihat musuhnya bermaksiat kepada Allah."

5.   Kematian yang buruk
Kesan maksiat yang paling parah adalah apabila Allah mengunci mulut seseorang daripada mengucapkan kalimat tauhid sebagai kata terakhirnya. Nauzubillah.

Semoga Allah menjaga kita dan orang-orang yang kita cintai daripada keberanian menentang perintah Allah SWT dan bermaksiat kepada-Nya
.
Oleh UMAR MUHAMMAD NOOR
ARKIB : 09/04/2013


2 comments:

BinMuhammad said...

Semoga Allah menjauhkan diri ini dari perkara2 maksiat. Sesungguhnya zaman sekarang ini begitu mudah dan byk sekali utk melakukan maksiat samaada secara sengaja mahupun tidak sengaja.

daniel said...

Salam Bin Muhammad

Apa yang paling ditakuti ialah kematian yang buruk..krn dari situ kita akan tahu kesudahan kita di akhirat nanti..bimbangnya..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...