بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, February 25, 2012

Pembahagian harta secara adil dapat imbangi kehidupan manusia


Oleh Ustaz Zaman


KEMATIAN adalah kepastian yang tidak dapat disangkal sesiapa. Begitu juga mereka yang kembali kepada Allah SWT semestinya meninggalkan sesuatu untuk diwarisi oleh generasi keluarga yang masih hidup. Hanya Nabi dan Rasul saja yang tidak mewarisi apa-apa selain ilmu daripada Allah SWT. 


Sebuah hadis daripada Talhah menyebut beliau bertanya kepada seorang sahabat bernama Abdullah Bin Abi Aufa adakah Baginda SAW meninggalkan apa-apa wasiat? Lalu Abdullah menjawab: Tidak. Maka mengapa Baginda memerintahkan kita berwasiat? Jawab Abdullah: “Sebenarnya Baginda meninggalkan al-Quran sebagai wasiat”. (Riwayat Bukhari).



Adalah menjadi tuntutan agar kita dapat meneliti semua harta yang dimiliki dan menulis wasiat tertentu agar menjadi rujukan kepada mereka yang ditinggalkan. Baginda Nabi SAW juga menyarankan umatnya menulis wasiat. Sabda Baginda SAW: “Adalah menjadi hak seseorang Muslim apabila tiba waktu tidur, maka wasiatnya ditulis dan diletakkan di sisinya”. (HR Ibnu Majah).


Dalam dunia umat Islam hari ini, kita melihat ibu bapa kurang mengambil perhatian terhadap harta yang peroleh atau yang dikumpul sepanjang hidup mereka. Dengan kata lain mereka tidak pernah memikirkan mengenai harta mereka jika mereka dijemput oleh Allah SWT apabila tiba masanya kelak.


Apakah harta mereka akan dibahagikan kepada pewaris dengan seadil-adilnya atau mengundang mudarat kepada keluarga akibat pertikaian harta ditinggalkan. 


Kita melihat fenomena sekarang menyedihkan kerana tercetus perbalahan antara waris ditinggalkan. Malah kadangkala menyebabkan pembunuhan sesama keluarga akibat perselisihan pendapat mengenai harta peninggalan si mati. Apa yang lebih mendukacitakan perselisihan berlaku ketika ibu bapa masih hidup dan terlantar menunggu saat-saat kematian.


Inilah contoh sikap buruk jika berlaku dalam masyarakat Islam menunjukkan akhlak tidak baik seorang anak terhadap ibu bapa. Malah mereka diharamkan terus daripada menerima apa-apa bahagian jika berlaku pembunuhan untuk mendapat warisan dengan cepat.


Namun, berlaku juga perkara sebaliknya yang ibu bapa mewakafkan harta mereka ketika hidup kepada agensi lain sama ada dengan tujuan baik iaitu untuk mengelakkan pergaduhan sesama keluarga atau menghalang mana-mana anak daripada mewarisi harta mereka atas sebab tertentu.


Ini adalah perkara yang tidak digalakkan dalam Islam kerana keluarga si mati atau pewaris yang masih hidup memerlukan harta berkenaan bagi meneruskan kesinambungan kehidupan mereka. 


Firman Allah SWT: “Dan hendaklah takut kepada Allah sekiranya mereka meninggalkan keturunan yang daif yang dikhuatiri akan kesejahteraan dan keselesaan mereka.” (Surah an-Nisa ayat 9).


Ini menunjukkan seseorang mesti memikirkan mengenai keluarga yang ditinggalkan supaya mereka hidup dalam keadaan baik tanpa meminta-minta kepada orang lain.


Namun demikian, mewakafkan sesuatu atas dasar kemanusiaan atau keperluan seperti mewakafkan kepada anak angkat atau mereka yang memerlukan diharuskan dengan kadar tertentu supaya tidak membebankan keluarga si mati atau pewaris selepas berlaku kematian. 


Anak angkat dan orang luar tidak akan mendapat bahagian daripada harta si mati kerana mereka bukanlah pewaris sebenar sedangkan mereka pernah berkhidmat kepada si mati ketika hidupnya. Ini dilakukan kerana membalas jasa atau tanda terima kasih terhadap pengorbanan dicurahkan.


Sebuah hadis daripada Abu Mus’ab menyebut beliau diziarahi oleh Baginda SAW ketika sedang sakit dan berkata beliau akan mewasiatkan semua hartanya pada jalan Allah. Baginda menjawab “Jangan”. Separuh? Baginda menjawab: “Jangan”. Satu pertiga? Baginda menjawab: “Boleh tetapi itupun dikira sudah banyak.” (Riwayat Bukhari)


Ada juga berwasiat, tetapi dengan cara tidak adil sehingga mengetepikan keluarga tidak sebulu dengannya. Inilah antara perkara dilarang Islam. Sabda Baginda SAW: “Takutlah kamu kepada Allah SWT dan berlaku adillah dengan anak-anak kamu”. (Al-Hadith).


Syeikh Abdul Rahman As-Sa’di pernah menyebut: “Antara perkara paling keji dan mungkar adalah apabila seseorang ingin membahagikan harta mengikut hawa nafsunya. Ia adalah daripada dosa besar yang diharamkan. Ini adalah antara kezaliman dilakukan sesama manusia.”


Ingatlah meninggalkan hukum Allah dalam kehidupan ini adalah satu dosa besar yang dilaknat Allah SWT. Firman Allah SWT: “Apakah mereka meyakini selain dari hukum Allah? Hukum siapakah yang lebih baik dari Allah?”. (Surah al-Maidah ayat 50).


Islam meletakkan pembahagian secara adil untuk mengimbangi kehidupan manusia dalam pembahagian harta pusaka. Lahirnya ilmu faraid dalam Islam agar kita tahu siapakah pemilik harta sebenar (Ashabul Furudz) selepas kematian seseorang. Ayat di dalam al-Quran dalam surah an-Nisa sudah cukup untuk menjelaskan bahawa segala-galanya ditetapkan oleh Allah SWT untuk dijadikan panduan.



2012/02/25

Friday, February 24, 2012

Golongan jin yang beriman


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

Menurut al-Biqaie surah yang lalu menerangkan tentang Nabi Nuh a.s. yang merupakan Rasul Allah yang pertama diutus kepada para penentang dan penyembah berhala.

Mereka menolak ajakan dan seruan sedangkan beliau salah seorang anggota masyarakat. Surah yang lalu diakhiri dengan doa Nabi Nuh a.s. ke atas mereka.

Nabi Muhammad SAW rasul yang terakhir dan kaum baginda mempunyai banyak persamaan dengan kaum Nabi Nuh. Ini disebabkan keagungan al-Quran dan ayat ini mengingatkan hal tersebut sambil mengisyaratkan kecaman kepada masyarakat Arab yang tidak menyambut ajakan beliau dan nabi yang menyampaikannya dari suku bangsa bahkan yang terdekat dengan mereka.

Sheikh Muhammad al-Hindi dalam kitabnya pada majlis yang ketujuh berkata: "Aku telah mengumpulkan ajaran yang dibawa oleh agama Islam dengan ajaran yang dibawa oleh penemuan moden, seperti ucapan mereka. Sesungguhnya setiap ilmu, kebaikan dan keburukan yang berlaku dalam hati itu ditimbulkan oleh roh yang mulia dan roh yang hina. Dalam hadis diungkapkan yang bermaksud di dalam hati itu ada dua kemahuan (kehendak). Kemahuan (kehendak) dari malaikat dan kemahuan (kehendak) dari syaitan.

Firman Allah SWT: 


Katakanlah (hai Muhammad): Telah diwahyukan kepadamu bahawasanya: Telah mendengarkan sekumpulan jin (akan al-Quran), lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami telah mendengarkan al-Quran yang menakjubkan.

Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW memberitahu kepada umatnya, bahawa jin mendengar al-Quran, lalu mereka beriman, membenarkannya serta tunduk kepada Allah SWT."

Menurut Al-Maraghi, Allah SWT mengeluarkan perintah kepada rasul-Nya agar memberitahu kepada para sahabatnya tentang kisah-kisah jin yang diwahyukan kepadanya kerana ia mempunyai banyak faedah dan manfaat kepada manusia, antaranya:

* Sebagai makluman bahawa Nabi SAW itu diutus kepada bangsa manusia juga kepada bangsa jin.

* Sebagai makluman bahawa jin itu mendengar pembicaraan dan memahami bahasa kita.

* Sebagai makluman bahawa jin itu dibebankan dengan tanggungjawab (mukalaf) sama seperti manusia.

* Sebagai makluman bahawa jin yang beriman telah berdakwah kepada jin lain dari kabilahnya agar mengaku beriman.

* Supaya kaum Quraisy mengetahui bahawa jin itu asalnya bersikap derhaka ketika mendengar al-Quran dan apabila mengetahui kemukjizatannya jin itu beriman kepadanya.

Secara zahirnya, ayat ini menunjukkan betapa nabi mengetahui para jin yang mendengar wahyu yang diturunkan kepadanya, tetapi bukan melalui kesaksian mata.

Dalam Ensiklopedia Abad XX karya Muhammad Farid Wajdi dinyatakanmakhluk yang bersifat hawa (udara) atau api, berakal dapat dibentuk dan mempunyai kemampuan melaksanakan pekerjaan yang berat.

Sayyid Sabiq seorang ulama Mesir mendefinisi jin sebagai roh berakal, berkehendak, mukalaf (dibebani tugas keagamaan oleh Allah seperti manusia) tetapi tidak berbentuk materi, kasar dan mereka mempunyai kemampuan untuk tampil dalam pelbagai bentuk.

Firman Allah SWT: (yang) memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya. Dan kami sekali-kali tidak akan mempersekutukan seseorangpun dengan Tuhan kami.

Menurut Al-Mawardi, ayat itu ada dua pendapat:

* Segala perkara yang mendapat petunjuk.

* Ke arah makrifatullah.

Ibnu Kathir berkata: "Iaitu jalan yang lurus."

Hamka berkata: "Inilah kesan pertama yang tinggal dalam diri mereka setelah mendengar al-Quran dibaca Nabi. Mula-mula mereka takjub, merasa hairan tercengang mendengar ayat itu dibaca".

Ini kerana isi kandungannya tidak ada jalan membantah dan menolak jika hatinya benar-benar bersih.

Firman Allah SWT: Dan bahawasanya Maha Tinggi kebesaran Tuhan kami, dia tidak beristeri dan tidak (pula) beranak.

Sebenarnya perkataan jaddu dalam ayat ini ada sepuluh tafsiran:

* Urusan tuhan kami seperti pendapat al-Suddi.

* Perbuatan tuhan kami seeperti pendapat Ibn Abbas.

* Peringatan tuhan kami seperti pendapat Mujahid.

* Kekayaan tuhan kami seperti pendapat Ikrimah.

* Ujian tuhan kami seperti pendapat al-Hasan.

* Kerajaan tuhan kami seperti pendapat Abu Ubaidah.

* Kemuliaan dan keagungan tuhan kami seperti pendapat Qatadah.

* Kenikmatan tuhan kami atas makhluk-Nya seperti pendapat al-Dahhak.

* Ketinggian tuhan kami seperti pendapat Sa'id bin Jubair.

* Mereka yang prihatin dengan datuk, iaitu bapa kepada ayah. Ini pendapat daripada ucapan jin kerana kejahilan.

Syed Qutub berkata: "Kata-kata al-jad bererti bahagian, habuan, kedudukan dan martabat iaitu kebesaran dan kekuasaan semuanya merupakan makna-makna yang terpancar dari kata-kata itu dan sesuai dengan tempatnya."

Maksud umum dari makna tersebut adalah mengungkapkan perasaan hati bahawa Allah SWT Yang Maha Tinggi dan Maha Agung yang suci dari mempunyai isteri dan anak-anak sama ada lelaki atau perempuan.

Utusan


NOTA:

Pendapat penulis ; isi persoalan di atas adalah daripada ayat di bawah:


A001

Katakanlah (wahai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan! (Al-Jinn 72:1)

Mendapat hidayah ketika mengarah filem

Susunan SITI AINIZA KAMSARI


Sean Ali Stone berlatar belakangkan pemandangan indah bandar Tehran ketika berada di balkoni sebuah restoran di puncak menara telekomunikasi Milad di Tehran Iran.

PADA tarikh 14 Februari lalu - yang dicanang oleh masyarakat barat sebagai hari khusus untuk diraikan pasangan kekasih - mencatatkan satu kemenangan kepada Islam apabila anak lelaki kepada seorang pengarah filem Hollywood terkenal, Oliver Stone, iaitu Sean Stone, 27, memeluk Islam.

Oliver pernah tercalon sebanyak 11 kali dalam anugerah berprestij Oscar dan memenangi tiga daripadanya.

Anaknya, Sean memeluk Islam di bandar yang masyhur dengan keindahan Islam yang sangat menakjubkan iaitu Isfahan Iran dengan nama barunya iaitu Sean Christopher Ali Stone.

Dia sebenarnya berada di Iran untuk mengarah sebuah filem yang mengisahkan tokoh Islam terkenal yang juga seorang penyair mistik Parsi dari abad ke-13 Masihi, Jalaluddin Ar Rumi.

Harapan dan niatnya ialah tindakan dan keikhlasannya memeluk Islam itu dapat membantu warga barat, khususnya rakyat Amerika Syarikat (AS) supaya lebih memahami soal kepercayaan kepada tuhan dan agama Islam itu sendiri dengan lebih baik.

"Adalah satu kesilapan besar bagi mereka yang mempercayai bahawa Islam itu agama yang bersifat antagonis kepada agama-agama lain, khususnya Yahudi dan Kristian.

"Apa yang kita perlukan hanyalah saling memahami kepercayaan masing-masing dengan lebih banyak mengadakan dialog dan perbincangan secara sihat dan komprehensif," katanya.

Apabila ditanya bagaimana pengislamannya di pihak media di AS, apabila beliau pulang ke negaranya, Ali yakin bahawa tidak banyak kesan akan timbul kerana beliau bukan seorang yang terkenal atau popular.

"Apa yang penting saya dapat membantu rakyat AS untuk memahami akan kebenaran mengenai Islam," katanya.

Salah satu sebab beliau memeluk Islam kata Ali ialah dia berasa begitu tenang dan dapat menikmati suasana keindahan yang tersendiri setiap kali berada di masjid.

Dia percaya bahawa Tuhan itu Esa yang mesti menjadi asas kepercayaan dan kebenaran sesebuah agama itu.

Beliau sebenarnya menaruh minat terhadap Islam sejak di bangku sekolah tinggi walaupun dilahirkan dan dibesarkan oleh bapanya yang beragama Yahudi dan ibunya, Elizabeth Stone seorang Kristian.

"Tidak sahaja kini saya perlu bantu mempromosikan Islam kepada rakyat AS tetapi yang lebih penting juga Islam pasti dapat memberikan sumbangan dalam memperbaiki dalam banyak keadaan yang berlaku di Barat.

"Ini apabila sering tercetusnya pelbagai masalah sosial dan kemanusiaan akibat dunia barat dan AS khususnya terlalu bergantung kepada sistem kapitalis.

"Sistem ini menyebabkan masyarakat barat mengikis dan membuang soal-soal kerohanian sekali gus menyebabkan batin mereka semakin menderita," kata Ali.

Walaupun pada hari ini semakin ramai yang marah dan tidak berpuas hati dengan sistem kapitalis dan liberal melaui pelbagai gerakan dan bantahan, namun ia tidak memberi apa-apa makna.

Ia tidak akan tercapai selagi mereka menafikan peranan agama dan Islam itu sendiri sebagai satu jalan penyelesaian.

Justeru, Ali akan memberikan sumbangan yang lebih bererti dalam bidang seni dan dunia perfileman dengan memperkenalkan kebudayaan dan ketamadunan Parsi kepada barat.

Graduan Pengajian Sejarah dari Universiti Princeton itu sering berkerjasama dengan bapanya dalam menghasilkan filem-filem yang mendapat tempat di hati peminat seperti filemAlexander pada tahun 2004.

Ali turut mengagumi kepimpinan Presiden Iran, Ali Mahmoud Ahmadinejad dan berpendapat kemelut yang dihadapi oleh Iran apabila mendapat tekanan dari barat boleh diatasi dengan Iran beralih pandangan dan tumpuan kepada dunia timur.

"Jangan lagi melihat kepada Barat tetapi beri tumpuan baru kepada rakan kongsi seperti China," katanya yang turut menerima Anugerah Khas dari Kementerian Kebudayaan Iran sempena berakhirnya Festival Filem Antarabangsa Fajr Tehran, baru-baru ini.





Wednesday, February 22, 2012

Berbaris untuk lihat janggut Nabi Muhammad SAW

KANTA pembesar digunakan untuk melihat sehelai janggut Nabi Muhammad SAW di dalam sebuah bekas di Masjid Nasional, Dhaka semalam.


DHAKA, Bangladesh - Sejumlah penganut Islam berbaris panjang untuk melihat sehelai janggut Nabi Muhammad SAW di Masjid Nasional di sini semalam.
Janggut itu diletakkan di dalam sebuah bekas berkaca semasa ia dipamerkan kepada orang ramai.
Pusat Kebuadayaan Turki meminjamkan bekas yang mengandungi janggut Nabi Muhammad itu untuk dipamerkan kepada orang ramai.
Nabi Muhammad SAW wafat pada tahun 632 Masihi semasa berumur 63 tahun. - Agensi

Uthman diutus berbincang dengan Quraisy

Tapak masjid lama Hudaibiah yang menjadi lokasi berlakunya perjanjian Hudaibiah antara Islam dan pihak Quraisy Mekah pada tahun 6 Hijrah.

APABILA kalangan para pemimpin Quraisy cenderung berdamai dengan rombongan umrah dan haji dari Madinah itu, kalangan para pemuda Quraisy pula lebih bersemangat menyerang rombongan tersebut.

Mereka membuat keputusan menyerang pada waktu malam dengan menyelinap masuk ke perkhemahan rombongan umat Islam itu.

Maka pada suatu malam seramai 70 pemuda Quraisy turun dari Bukit Tanaim dan cuba masuk dalam perkhemahan umat Islam di saat ahli rombongan itu sedang berehat dan ada yang telah pun tidur. Mereka benar-benar nekad menyerang umat Islam.

Tetapi kehadiran mereka disedari oleh seorang sahabat Rasulullah SAW, Muhammad bin Salamah yang diamanahkan sebagai Ketua Pengawal kepada rombongan tersebut.

Cubaan mereka berjaya dihalang dan kesemua mereka berjaya ditahan. Maka terselamatlah umat Islam dalam cubaan yang merbahaya itu.

Namun didorong kemahuan Rasulullah untuk berdamai, baginda kemudiannya membebas dan memaafkan perbuatan para pemuda Quraisy itu.

Lalu baginda kemudiannya bercadang menghantar seorang duta atau wakil untuk memberitahu mereka akan tujuan sebenar kedatangan rombongan dari Madinah ini.

Sahabat besar, Omar Al Khattab pun dilantik oleh baginda untuk tujuan tersebut.

Tetapi Omar menolak permintaan baginda itu, katanya: "Wahai Rasulullah, di Mekah itu tidak ada seorang pun dari suku Bani Kaab yang akan mempertahankan aku jika aku diganggu.

"Kenapa tidak dihantar sahaja Uthman bin Affan untuk menemui kaum Quraisy itu kerana kaum kerabatnya masih ramai ada di Mekah itu dan tentu ini memudahkan kita untuk menyampaikan maksud kehadiran kita dan tidak akan ada sesiapa yang berani untuk menganggu Uthman kerana ramai yang akan mempertahankannya nanti."

Rasulullah lantas setuju dan Uthman pun dipanggil dan tentu sahaja sahabat Rasulullah bersetuju untuk menjadi wakil dan masuk seorang diri ke Mekah dan menemui para pembesar Quraisy itu.

Rasulullah juga ada meminta Uthman agar menemui beberapa penduduk Mekah yang telah beriman kepada Allah dan rasul-Nya dan khabarkan kepada mereka bahawa kemenangan di pihak Islam adalah semakin hampir.

Mereka tidak perlu merahsiakan lagi agama Islam yang mereka anuti. Malah agama Islam akan bebas diamalkan tanpa sesiapa dapat menghalangnya lagi.

Uthman pun berjalan menuju ke pintu Kota Mekah dan setelah bertemu dengan orang Quraisy, Uthman pun menyatakan tujuan kehadirannya dan beliau kemudiannya dibawa masuk bertemu para pembesar Quraisy dengan menaiki seekor kuda yang diberi sendiri oleh orang Quraisy itu.

Beliau turut diiring masuk bagi menjamin keselamatannya sehingga tiba di hadapan Kaabah dan Uthman mendapat tawaran untuk melakukan tawaf di Baitullah. Namun Uthman menolak pelawaan itu kerana beliau enggan untuk melakukannya selagi tidak bersama-sama dengan Rasulullah dan ahli rombongan yang lain.

Uthman kemudiannya menyatakan tujuan kedatangannya kepada para pembesar Quraisy tersebut. Beliau kemudiannya terpaksa menunggu lama bagi mendapatkan hasil perbincangan pembesar itu setelah mendengar sendiri akan pesanan dari Rasulullah melalui wakilnya itu.

Akibat terlalu lama Uthman berada di dalam Kota Mekaah seolah-olah seperti ditahan akhirnya tersebar berita yang mengatakan bahawa sahabat besar dan menantu kepada baginda ini telah dibunuh.

Berita itu sampai ke pengetahuan baginda dan tentu sahaja jika benar Uthman dibunuh maka kematiannya mesti dibela.

Lalu baginda pun memanggil para sahabat yang lain dan meminta mereka supaya berjanji untuk sama-sama membela kematian Uthman.

Tentu sahaja seluruh sahabat dan ahli rombongan setuju untuk berbaiah malah sanggup mati demi membela kematian Uthman itu.

Baiah ini dilakukan di bawah sepohon pokok yang dikenali sebagai Baiah Al Ridwan atau Baiah Syajarah (pokok) yang ada disebutkan dalam Al Quran, firman Allah yang bermaksud: 

Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahui-Nya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya. (al-Fath: 18)

Mendengarkan adanya sumpah setia atau baiah yang seperti itu maka dengan segera Uthman pun 'dibebaskan' oleh pihak kafir Quraisy bagi mengelakkan berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini.

Ini kerana mereka tidak mahu berlaku lagi sebarang pertempuran yang akan merugikan kedua-dua belah pihak.

Tidak lama kemudian, Uthman pun muncul dalam keadaan yang selamat dan memberitahu bahawa pihak Quraisy akan menghantar wakil mereka pula untuk berbincang dengan Rasulullah.

Abu Hurairah bak mutiara

MAKAM Abu Hurairah yang terletak di tengah-tengah Suoq Hamidiyah, Damsyiq, Syria.


ABU Hurairah r.a, sahabat Nabi Muhammad SAW, dikatakan biasa berpuasa sunat tiga hari pada setiap awal bulan Qamariah (bulan Arab dalam tahun Hijrah) dan mengisi malamnya dengan membaca al-Quran dan solat tahajud.

Beliau akrab dengan kemiskinan dan sering mengikat batu di perutnya untuk menahan lapar. Dalam sejarah, beliau dikenal sebagai tokoh yang paling banyak meriwayatkan hadis. Orang mengenalinya sebagai Bapa Kucing Kecil (Abu Hurairah).

Abu Hurairah adalah sahabat yang sangat akrab dengan nabi. Beliau dikenal sebagai salah seorang ahli suffah, iaitu golongan fakir yang tinggal di wakaf masjid (pondok ini juga diperuntukkan bagi para musafir yang ingin bermalam).

Begitu rapatnya beliau dengan nabi sehingga baginda selalu memanggil Abu Hurairah untuk mengumpulkan ahli suffah, jika ada makanan yang hendak diagihkan.

Abu Hurairah adalah salah seorang 'tokoh kaum fakir.' Beliau sering berada dalam keadaan kelaparan. Tetapi beliau terkenal sebagai tokoh yang teguh berpegang pada sunnah Rasulullah SAW. Beliau sering menasihati orang agar jangan hanyut dalam kehidupan duniawi dan dorongan hawa nafsu.

Beliau tidak membezakan antara golongan kaya dengan golongan miskin, pembesar negeri atau rakyat jelata dalam menyampaikan kebenaran.

Malah selalu bersyukur kepada Allah sama ada dalam keadaan susah mahupun senang.

Pemilik nama Abdul Rahman (versi lain Abdul Syams) ibn Shakhr Ad-Dausi itu juga terkenal sebagai seorang yang periang dan suka berlawak. Beliau banyak menulis anekdot.

Beliau juga terkenal dengan sifatnya yang suka menghibur anak-anak kecil dan menyayangi anak-anak kucing.
Ke mana-mana sahaja pergi, beliau akan membawa haiwan itu sehingga julukan Abu Hurairah (bapa kucing kecil) melekat pada dirinya.

Usianya muda 30 tahun daripada Rasulullah SAW. Beliau lahir di Daus, sebuah perkampungan miskin di padang pasir Yaman. Hidup di tengah-tengah kabilah Azad, beliau menjadi yatim sejak kecil - yang membantu ibunya menjadi penggembala kambing.

Beliau memeluk Islam tidak lama setelah berhijrah ke Madinah pada tahun ketujuh Hijrah, bersamaan dengan rancangan keberangkatan Nabi SAW ke medan Perang Khaibar.

Bagaimanapun, ibunya enggan memeluk Islam. Malah ibunya pernah menghina Nabi SAW. Hal ini membuatkan Abu Hurairah berasa sedih. Oleh sebab itu, beliau memohon kepada Rasulullah agar berdoa moga-moga pintu hati ibunya terbuka untuk memeluk Islam.

Tidak berapa lama Abu Hurairah kembali menemui ibunya, memujuk ibunya memeluk Islam. Ternyata ibunya telah berubah, bersedia mengucapkan dua kalimat syahadah.

Abu Hurairah berhijrah ke Madinah untuk mengadu nasib. Di sana beliau melakukan pelbagai pekerjaan - menjadi buruh kasar bagi sesiapa yang memerlukan tenaganya. Seringkali beliau terpaksa mengikatkan batu di perutnya bagi menahan kelaparan yang bukan kepalang.

Begitu cintanya beliau kepada Rasulullah sehingga sesiapa yang disayangi oleh nabi, beliau akan turut menyayanginya. Misalnya, beliau suka mencium Hassan dan Hussain kerana selalu melihat Rasulullah mencium kedua-dua cucu baginda itu.

Tatkala kediaman Khalifah Uthman ibn Affan dikepung pemberontak, dalam peristiwa yang dikenal sebagai al-Fitnatul Kubra (bencana besar), Abu Hurairah bersama 700 orang Muhajirin dan Ansar mengawal rumah tersebut dengan penuh taat setia yang tidak berbelah bahagi terhadap khalifah.

Pada era pemerintahan Khalifah Ali bin Abu Talib, Abu Hurairah ditawar menjadi gabenor di Madinah. Bagaimanapun, beliau menolak. Ketika terjadi persengketaan antara Saidina Ali dengan seterunya, Muawiyah bin Abu Sufyan, Abu Hurairah mengambil keputusan untuk bersikap neutral.

Hinggalah era Muawiyah berkuasa, Abu Hurairah bersedia menjadi gabenor di Madinah. Bagaimanapun, terdapat versi lain mengatakan, Marwan bin Hakam merupakan orang yang memujuk Abu Hurairah bertugas sebagai pembantunya di pejabat gabenor Madinah.

Abu Hurairah menghembus nafas terakhir pada 57 atau 58 H (676-678 M) dalam usia 78 tahun di Madinah. Beliau meninggalkan warisan yang amat berharga, iaitu sejumlah 5,374 hadis Nabi Muhammad SAW yang terus bersinar bak butiran mutiara yang memancarkan kilauan cemerlang hingga ke hari ini.

Dosa memutuskan silaturrahim


Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

HIDUP berkeluarga ialah merupakan nikmat Allah SWT kepada manusia. Dengan berkeluarga kita merasai kasih-sayang, kemesraan dan jalinan persaudaraan.

Melalui perasaan inilah maka wujudnya semangat bantu-membantu, tolong-menolong dan budaya menasihati antara satu sama lain.

Watak-watak yang melengkapkan sebuah keluarga seperti ibu, ayah, kakak, abang dan adik mengindahkan bahtera kehidupan yang dianugerahkan oleh Allah SWT.

Ditambah pula dengan nenek dan datuk serta saudara-mara yang lain seperti sepupu dan sebagainya.

Selain dari keturunan, hubungan kekeluargaan juga boleh dibina melalui persahabatan. Rasulullah SAW dan para sahabat r.a telah menunjukkan contoh terbaik dalam sejarah umat manusia di mana mereka dapat disatukan atas dasar akidah walaupun datang daripada pelbagai kaum dan latarbelakang.

Allah SWT memerintahkan kita untuk menjaga nikmat kekeluargaan ini sebaik mungkin sebagaimana Allah SWT memerintahkan kita menjaga nikmat serta pemberian-Nya yang lain.

Sehingga Allah SWT mendampingkan gesaan untuk bertaqwa kepada Allah di samping memelihara hubungan silaturrahim.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bertakwalah kepada Allah SWT yang mana dengan menggunakan namanya kamu saling meminta satu sama lain, dan peliharalah hubungan silaturrahim. (an-Nisa': 1)

Bahkan, Allah SWT mendorong supaya kita mendahulukan ahli keluarga terdekat dalam memberikan bantuan dan pertolongan.

Ia ditegaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: …dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi…(al-Baqarah: 177).
Namun begitu, ini bukanlah bermakna kita perlu mendahulukan keluarga dengan mengenepikan orang lain.

Sikap pentingkan keluarga sehingga menzalimi serta mengenepikan hak orang lain adalah kronisme yang dipagari dengan semangat keakuan. Semua itu adalah budaya assabiah warisan daripada golongan jahiliah.

Sebenarnya, seseorang yang berada dalam keadaan kesempitan dan kesusahan perlu mendapat bantuan dan perlindungan daripada kaum kerabat terdekat terlebih dahulu.

Merekalah yang bertanggungjawab memastikan anggota keluarga yang lain terlepas daripada kesusahan hidup.

Demikianlah peri pentingnya hubungan berkeluarga dieratkan dan diikat dengan simpulan yang kukuh.
Justeru, Nabi SAW melarang umatnya mensia-siakan nikmat talian kekeluargaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT ini.

Sebarang usaha untuk memutuskan hubungan tersebut adalah dikutuk serta dijanjikan dengan azab yang dahsyat di akhirat kelak sama ada ia dilakukan oleh individu yang berada dalam keluarga berkenaan atau individu di luar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka apakah kiranya jika kamu berkuasa lalu kamu akan membuat kerosakan di muka bumi dan memutuskan hubungan kekeluargaan? Mereka itulah orang yang dikutuk Allah dan ditulikan-Nya telinga mereka, juga dibutakan penglihatan mereka. (Muhammad: 22-23)

Dalam sebuah hadis NAbi SAW bersabda yang bermaksud: Tidak akan memasuki syurga orang yang memutuskan silaturrahim (persaudaraan atau sahabat).(riwayat Bukhari dan Muslim)

Orang yang memutuskan silaturrahim biasanya mempunyai sikap cemburu dan iri hati yang melampau. Dia tidak senang hati melihat kebahagiaan yang dikecapi oleh orang lain. Lalu dicipta cerita-cerita fitnah yang keji bagi menimbulkan api permusuhan di kalangan mereka yang bersaudara.

Ditambah dengan sikap tanpa usul-periksa yang ada dalam kebanyakan daripada kita terhadap berita yang disampaikan. Kesemua ini adalah faktor yang menyebabkan hancurnya sebuah nilai persaudaraan.

Kehidupan barzakh para nabi

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

PARA Nabi seperti Nabi Muhammad SAW walaupun sudah wafat tetapi diberi kelebihan oleh Allah antaranya boleh mengetahui siapa yang menziarahi makam baginda. - Gambar hiasan

SEBELUM ini kita telah membicarakan tentang hakikat kehidupan alam barzakh yang merupakan alam yang tersendiri. Roh manusia tetap hidup dengan caranya yang tersendiri walaupun sudah berpisah daripada jasad dan menamatkan kehidupan duniawi.


Jika mereka yang telah mati langsung tidak dapat merasa dan mendengar di manakah kita hendak meletakkan pelbagai nas-nas berkenaan dengan larangan menyakiti mayat dan ahli kubur seperti yang banyak diriwayatkan daripada nabi SAW?


Kehidupan manusia di alam dunia berlegar di antara; melakukan ibadat atau hanya mengikut adat, dalam ketaatan atau kemaksiatan, dalam keadaan melaksanakan kewajipan-kewajipan untuk diri dan ahli keluarganya atau untuk Tuhannya.


Kadang kala dia berkeadaan bersih dan kadang kala dia berkeadaan sebaliknya. Kadang-kadang dia berada di dalam masjid dan kadang-kadang berada di tempat-tempat kotor tanpa dapat dipastikan bagaimanakah kesudahannya!


Kadang-kadang syurga itu jaraknya hanya sehasta daripadanya, tiba-tiba dia berpaling dari syurga itu akibat daripada perbuatannya yang keji, maka jadilah dia daripada kalangan ahli neraka, begitu jugalah apa yang terjadi sebaliknya.


Ada pun kehidupan di alam barzakh, jika dia termasuk daripada kalangan orang yang beriman, maka dia telah melepasi jambatan ujian yang hanya dapat tetap berada di atasnya orang yang bahagia dan berjaya. Setelah itu, dia mendapat pelepasan daripada sebarang pentaklifan.


Maka dia menjadi ruh yang bercahaya-cahaya, putih bersih, tajam pemikiran, bebas berterbangan dan berenang-renang di alam malakut dan alam-alam milik Allah SWT yang lain; yang tiada kemurungan, kesedihan, kebimbangan dan gundah gulana di dalamnya.


Alam ini bukan seperti dunia yang kita diami ini; tiada hamparan tanah, malahan tiada harta kekayaan emas dan perak jauh sekali hasad dan dengki manusia.
Sekiranya dia bukan di kalangan orang-orang yang beriman, maka keadaannya di alam barzakh adalah sebaliknya.


Sesungguhnya para nabi memiliki keistimewaan yang tersendiri di alam barzakh; tanpa ada manusia yang lain memilikinya. Jika ada manusia lain yang memiliki antara keistimewaan tersebut, itu hanyalah penisbahan sahaja; sama pada nama tetapi tidak pada hakikatnya.


Keistimewaan para nabi di alam barzakh terdiri dari dua aspek iaitu pertama, keistimewaan yang wajib bagi para nabi dan yang kedua, kelebihan yang menyempurnakan lagi keistimewaan tersebut.
Kita telah nyatakan sebelum ini bahawa kehidupan di alam barzakh adalah kehidupan yang hakiki. Mayat yang berada di alam kubur dapat mendengar, merasa dan mengetahui apa yang berlaku di dunia; sama ada dia itu seorang mukmin atau kafir.

Malah, kehidupan di dalam kubur dengan mendapat rezeki dan masuknya roh-roh ke dalam syurga bukanlah sesuatu yang dikhususkan kepada orang yang mati syahid sahaja seperti yang dibuktikan oleh dalil-dalil yang kukuh.
Ini adalah perkara yang sahih dan disepakati oleh ulama dan jumhur Ahli Sunnah wal Jamaah.
Daripada sini, perbincangan mengenai kehidupan para nabi (a.s) di alam barzakh adalah perbincangan yang sebenarnya tidak banyak mendatangkan faedah.

Ini kerana perkara ini telah jelas seperti terangnya mentari yang tidak memerlukan sesuatu dalil pun untuk menetapkan kebenarannya.



Bahkan, apa yang lebih tepat adalah kita memperakui bahawa kehidupan para nabi di alam barzakh adalah jauh lebih sempurna dan hebat (daripada kehidupannya di dunia), malahan lebih besar dan mulia daripada kehidupan manusia yang lain di alam barzakh.

Hidup manusia ada darjat

Kehidupan manusia di atas muka bumi ini pun berdasarkan bermacam-macam darjat, makam dan tingkatan yang berbeza.



Perbezaan ini bukan hanya di sudut lahiriah atau zahir tetapi turut berbeza dari sudut komitmen agama.
Ada di antara mereka yang hidup seperti orang yang telah mati. Allah SWT berfirman mengenai mereka: Ada pula di antara mereka seperti yang difirmankan oleh Allah: Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Yunus:62)



Ada pula yang hidup dengan suluhan agama, sebagaimana yang dikhabarkan oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. Dan mereka yang tetap memelihara solatnya, mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. (al-Mukminun: 10).



Ada yang difirmankan oleh Allah sebagai berikut: Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun). (al-Zaariyaat: 16-18)



Sebagaimana kehidupan di dunia, maka begitulah juga kehidupan di alam barzakh yang mempunyai darjat dan kedudukan serta makam yang berbeza-beza, seperti firman Allah: Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (mata hatinya), maka dia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya. (al-Israk: 72).



Adapun bagi para nabi; kehidupan, rezeki, pengetahuan, pendengaran, pemahaman dan perasaan mereka adalah jauh lebih tinggi dan sempurna daripada manusia yang lain.



Ini dapat dibuktikan dengan dalil tentang hak-hak para syuhada sebagai mana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. (ali-'Imraan: 169).



Insya-Allah, di ruang yang akan datang kita akan menghuraikan lebih lanjut khusus tentang hakikat kehidupan para nabi a.s di alam barzakh.

Monday, February 20, 2012

Insan pemaaf bebas sifat buruk sangka, dendam


Kejahatan dibalas kebaikan mampu redakan api kemarahan, keharmonian dapat disemai



SIFAT pemaaf adalah satu daripada sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap individu Muslim.Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menekankan keutamaan bersifat pemaaf yang disebut sebagai sifat orang yang hampir di sisi Allah. 

Allah berfirman yang bermaksud: "Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah mencintai orang yang berbuat kebajikan." (Surah Ali-Imran, ayat 134)

Orang yang bersifat pemaaf adalah golongan berjaya menahan nafsu amarahnya terhadap orang lain tanpa ada rasa dendam dan rasa sakit hati.

Perasaan insan pemaaf selalunya bebas daripada perasaan buruk sangka dan dendam.Salah dan silap dalam sebarang tingkah laku yang berlaku sebelum ini akan saling diberi kemaafan dengan melupakan apa juga kepahitan terjadi dengan menganggapnya sebagai satu rencah kehidupan.

Perlu difahami, walaupun setiap insan Muslim digalakkan menyuburkan diri dengan sifat pemaaf, namun diingatkan bahawa Allah juga menegaskan seseorang yang dizalimi diizinkan untuk membela diri serta membalas kezaliman itu.

Kejahatan perlu dibalas dengan kejahatan, tetapi setiap pembalasan hendaklah terhindar daripada perasaan untuk membalas dendam. Ini kerana kezaliman tidak wajib dibalas dengan perlakuan zalim juga.

Sebaliknya, dituntut untuk menyemai sifat maaf dan bertolak ansur. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan bagi orang yang dizalimi mereka akan membela diri. Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa. Maka sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya adalah tanggungan Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang zalim." (Surah as-Syuara', ayat 39-40)

Setiap individu Muslim juga perlu menyedari bahawa kebaikan kita kepada seseorang tidak seharusnya akan lenyap begitu saja lantaran kejahatan orang lain kepada kita seperti sikap Saidina Abu Bakar as-Siddiq sewaktu berlakunya peristiwa berita dusta menimpa anaknya Aisyah yang juga isteri Rasulullah SAW.
Umum mengakui penyebaran fitnah dan pembohongan adalah satu perbuatan keji yang boleh meruntuhkan kemakmuran dan keharmonian hidup insan seluruhnya.

Lantaran itu, ketika berlaku peristiwa itu, Saidina Abu Bakar begitu marah kepada orang yang membuat fitnah berkenaan.

Saidina Abu Bakar juga memberhentikan layanan baik yang diberikan kepada sahabat handai serta rakan taulan yang terbabit dalam peristiwa penyebaran khabar dusta itu.

Tindakan Saidina Abu Bakar itu tidak disukai Allah.

Lalu, turunlah wahyu yang bermaksud: "Dan janganlah orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan memberi pertolongan kepada kaum kerabatnya, orang miskin dan orang yang berhijrah di jalan Allah. Hendaklah mereka sentiasa memaafkan mereka dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah maha pengampun lagi maha mengasihi." (Surah An-Nur, ayat 22)

Demikianlah tegasnya Allah dalam menyempurnakan kehidupan hamba-Nya.

Sesungguhnya putik kejahatan yang tumbuh sebenarnya hanya akan terus membangkitkan persengketaan berterusan untuk tempoh masa lama.

Sebaliknya jika kejahatan itu di balas dengan kebaikan, nescaya akan padamlah api kemarahan dan terurailah rasa dendam yang terpendam dalam diri.

Aisyah pernah menyatakan: "Rasulullah SAW tidak pernah memukul sesiapa pun, tidak juga kepada isteri dan pembantu Baginda, kecuali dalam berperang di jalan Allah. Dan dia tidak pernah membalas sedikitpun kepada seseorang yang menyakiti hatinya, kecuali dalam hal larangan Allah." (Hadis riwayat Muslim)

Anas menceritakan: "Ketika saya sedang berjalan bersama Rasulullah SAW dan pada waktu itu Baginda sedang mengenakan selimut tebal dari Najran. Seorang Arab Badwi mengetahui hal itu lalu menariknya dengan kasar sambil berkata: Hai Muhammad, serahkan padaku harta Allah yang kamu miliki. Maka Rasulullah pun tersenyum dan Baginda pun memakbulkan permintaan orang itu." (Hadis riwayat Muttafaq Alaih)

Ulama menyifatkan pemaaf boleh merujuk kepada dua sempadan yang sudah ditentukan Islam dalam menghadapi sesuatu kejahatan. Pertama, memaafkan kesalahan orang lain bagi yang terlanjur berbuat dosa.

Kedua, dihukum setimpal dengan kesalahannya. Hukumannya yang lebih berat mungkin boleh diambil termasuk qisas.

Hukuman itu sebagai pengajaran dan iktibar kepada mereka yang terbabit dan kepada semua umat Muslimin secara keseluruhannya.

Sifat pemaaf juga suatu tarbiah kepada seseorang yang terlanjur melakukan kesilapan dan kesalahan sehingga boleh membuatkan pelaku merasa malu, seterusnya mula menyedari akan kesilapan tindak-tanduknya itu.

Marilah kita sama-sama bermuhasabah dalam menangani konsep bermaafan ini.

Beruntunglah orang yang memiliki sifat pemaaf kerana dalam sifat pemaaf itulah terkandung kemuliaan, keberanian dan kekuatan.

Dipetik daripada Berita Harian

10 Perkara Elak Siksa di Akhirat


Setiap anak cucu Adam pasti pernah berbuat salah tetapi sebaik-baik orang yang berbuat salah ialah orang yang bertaubat kepada Allah SWT, kerana Allah akan menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai di tenggorok, walaupun dosa yang dilakukan itu sebanyak buih di lautan.

Orang yang ingin bertaubat ialah orang yang pernah berbuat dosa lalu sedar bahawa dosanya akan mendapat balasan siksaan; dan dengan perasaan takut akan siksa tersebut dia mencari jalan keluar daripada ancaman siksa Allah. Dia juga banyak mengikuti pengajian dan tidak berputus asa daripada rahmat Allah.

Allah SWT, berfirman :

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (53) Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan. (54) ( Q.S. al-Zumar [39] : 53 - 54 )


Dalam Al-Qur’an dan al-Hadits ada sepuluh perkara yang dapat menggugurkan siksa Allah di akhirat :

1. TAUBAT.

Taubat dalam arti berhenti daripada perbuatan dosa, menyesali, dan tidak mengulangi lagi dapat menggugurkan siksa Allah bahkan akan dimasukkan ke syurga.


Allah berfirman yang bermaksud: 

"Kecuali orang-orang yang bertaubat dan beriman serta beramal soleh, maka mereka itu akan masuk Syurga dan mereka pula tidak dikurangkan pahala sedikitpun. (Q.S. Maryam [19] : 60)

2. ISTIGHFAR.

Ertinya memohon ampun dengan membaca astaghfirullah al adzim sebanyak-banyaknya. (Aku mohon ampun kepadamu ya Allah yang maha agung).

Allah berfirman maksudnya: 
"...Dan Allah tidak akan menyiksa mereka, sedangkan mereka beristighfar (memohon ampun). ( Q.S. al-Anfal [8] : 33)

3. KEBAJIKAN.

Artinya berbuat kebajikan akan menghapus kejelekan yang diperbuat sebelumnya.
Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat. ((Q.S. Hud [11] : 114)

4. MUSIBAH.

Terkena musibah waktu di dunia, baik itu menimpa diri, harta atau keluarganya dapat mengurangi dosa dan siksa Allah. (H.R. Muttafaq Alaih)

5. SIKSA KUBUR.

Siksa kubur akan meringankan siksa nanti di akhirat, karena itu merupakan bentuk siksa awal sebelum ada vonis di padang mahsyar.

6. SIKSA DI HARI KIAMAT.

Karena orang yang terkena siksa di hari kiamat akan mengurangi siksa nanti di akhirat.

7. SYAFAAT.

Artinya pertolongan dari hamba Allah yang mendapat lesensi dari Allah untuk memberi syafaat kepada yang lain. Seperti syafaat Nabi Muhammad kepada umatnya, dll.

8. AMPUNAN.

Artinya Allah akan memberi ampunan kepada orang yang dikehendaki walau tanpa syafaat orang lain. ( Q.S. al-Nisa’ : 48)

9. DO’A KAUM MUSLIMIN.

Do’a seorang muslim dapat mengurang siksa muslim yang lain, baik yang di doakan itu masih hidup atau sudah mati. (al-Hasyr : 10)

10. HADIAH.

Ahli sunnah sepakat bahwa seorang muslim yang sudah wafat dapat mengambil manfaat dari pahala sadaqah, bacaan orang yang masih hidup, haji dan lainnya. ( Syarh al-Aqidah al-Thohawiyah : 511-517)

Jika kita rasa banyak berbuat dosa ketika ini, masih ada kesempatan untuk kita memperbaiki diri dan menyelamatkan diri daripada siksa kubur dan siksa akhirat, semoga dengan melakukan sepuluh langkah di atas kita terbebas daripada siksa Allah. Aamiin yaa ghofiruddzunub.

Sumber: SINI


Saturday, February 18, 2012

Kerja bersistem jamin kelancaran urusan

Bekerja dengan suka hati bukan kerja ikut suka
Oleh Sharifah Hayaati

2012/02/18

Kerja bersistem jamin kelancaran urusan, elak salah guna kuasa dan penyelewengan 

SETIAP majikan dan pekerja pasti inginkan yang terbaik daripada apa yang diusahakan sepanjang kerja seharian. Semakin baik usaha dilakukan, secara fitrahnya semakin baiklah penghasilannya. Usaha yang dianggap baik itu pula hendaklah selaras dengan sistem kerja yang digariskan.
Tidak dapat dinafikan, setiap individu, mempunyai cara, pemikiran, pendekatan dan kehendak masing-masing yang kadangkala berbeza dalam melakukan tugasan, mendepani isu serta membuat keputusan.
Justeru, untuk mencapai hasil kerja yang baik, bukan sekadar faktor persekitaran kerja yang kondusif dan menyeronokkan tetapi juga ditentukan faktor pematuhan dan pemantauan sistem kerja berasaskan prosedur serta peraturan bersesuaian dan mesra pekerja-pelanggan. 

Walaupun biasanya sifat semula jadi manusia lebih cenderung kepada yang mudah dan tanpa kongkongan peraturan, undang-undang, dasar dan proses kerja, namun sistem kerja ini yang akan memelihara hak pekerja agar tidak diabai, dieksploitasi atau dicerobohi. 

Ia juga menjamin kelancaran proses kerja, mengelakkan birokrasi serta menghasilkan kerja berintegiti dan berkualiti serta mengelakkan salah guna kuasa dan penyelewengan. 

Ajaran Islam amat menekankan aspek amalan berteraskan hukum sama ada wajib, sunat, haram, harus atau makruh. Semua ini melambangkan sistem, kaedah, peraturan dan panduan sama ada yang umum mahupun khusus dalam segenap aspek kehidupan. 

Contohnya dalam mengerjakan solat, umat Islam ditentukan kaedah dan peraturannya melalui rukun dan syarat sah solat. Seperti kaedah berwuduk, jenis airnya, jumlah rakaat, bacaan dalam solat, niat, arah kiblat, waktu serta perkara yang boleh membatalkan solat itu. 

Semua ini jika diteliti dan dihayati adalah satu bentuk sistem beramal yang sangat istimewa daripada Allah SWT. Walaupun jika diikutkan rasa hati manusia itu lebih suka untuk mengikut cara sendiri, namun sebagai bukti ketaatan, kesyukuran dan matlamat untuk mencapai kesempurnaan iman dan amal serta membentuk kecemerlangan peribadi, maka setiap ibadat yang utama itu, Allah memerintahkan hukumnya wajib dilaksanakan. 

Tujuan disyariatkan itu termasuklah untuk melahirkan insan ikhlas, bersih hati dan fizikal, sihat, memiliki daya tumpuan tinggi dan berdisiplin. 

Begitulah halnya dalam memahami pelaksanaan sistem kerja berpandukan prosedur, panduan dan peraturan. Ia diwujudkan untuk mencapai kejayaan (al-falah) dan kebaikan (al-khair) serta gesaan ke arah penguatkuasakan kebaikan dan menghindari segala bentuk keburukan untuk mewujudkan kualiti kerja dan integriti pekerja. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu kelompok yang menyeru manusia kepada kebajikan dan yang menyuruh manusia berbuat segala perkara baik serta melarang manusia daripada segala perkara buruk. Dan manusia yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” – (al-Imran: 104) 

Untuk tujuan itulah, maka Nabi serta sahabat sentiasa memantau urusan umatnya supaya menjadi peniaga atau pekerja jujur dan amanah termasuk dalam hal sukatan dan timbangan. 

Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pada satu ketika berjalan melalui satu longgokan makanan (di pasar), lalu Baginda Rasulullah SAW memasukkan tangannya ke dalam longgokan itu, jari Baginda SAW tersentuh sesuatu yang basah lantas Rasulullah SAW bertanya kepada penjual berkenaan: “Apakah semua ini?” Jawab penjual itu: “Makanan ini terkena hujan.” Nabi Muhammad SAW bersabda: “Kenapa engkau tidak meletakkannya di atas supaya dapat dilihat oleh orang ramai, Baginda SAW menyambung lagi: Sesiapa yang menipu maka dia bukan dari kalangan kami.” – (Riwayat al-Tirmizi) 

Selain itu, Rasulullah SAW dalam hadis Baginda diriwayatkan Muslim memberi tiga panduan asas kaedah bagi menguatkuasakan sistem pemantauan kerja iaitu kaedah mengubah dengan tangan. Kaedah ini boleh melambangkan maksud penggunaan kuasa terutama pihak berkuasa. 

Kedua, jika tidak berkemampuan maka hendaklah mengubah dengan lisan. Ia boleh membawa maksud menggunakan kaedah seperti berdakwah, nasihat, memberikan pandangan, teguran, amaran dan pujukan. 

Ketiga, jika tidak berkemampuan hendaklah menolak sesuatu keburukan dengan hati. Ia boleh membawa maksud kebencian, kemarahan dalam hati terhadap sesuatu yang dibenci oleh Allah dan Rasul. Maka kaedah itu adalah selemah-lemah iman. 

Justeru, bagi merealisasikan kerja yang mengikut sistem, maka jika ada peraturan dan prosedur kerja yang rumit dan panjang, perlu dipermudahkan, yang kurang jelas perlu diperjelaskan, yang sudah tidak sesuai, diperbaiki; yang tidak diperlukan, dihapuskan atau dinilai semula untuk menjamin kerja yang berkualiti. 

Pendek kata, bekerja mengikut sistem adalah bekerja dengan suka hati dan bukan bekerja ikut suka kerana bekerja ikut suka boleh membawa kepada mengikut kemahuan dan kepentingan diri semata-mata, kejayaan jangka pendek serta bahaya terjerumus dalam penipuan, penyelewengan, rasuah dan bekerja tanpa kualiti seperti kecuaian dan kelewatan. 

Justeru, peraturan dan prosedur jelas, mudah difahami dan mampu diamalkan boleh membuat pekerja bekerja dengan senang hati, memudahkan serta memelihara akhlak diri. Sistem juga dapat merealisasikan hasrat majikan dan menterjemahkan aspirasi organisasi. Justeru, marilah kita jadikan kerja bersistem sebagai budaya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...