بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, November 3, 2012

Perubatan Islam mampu merawat

PeNGIKTIRAFAN perubatan Islam dalam penggubalan Rang Undang-Undang Tradisional dan Komplementari 2012 berupaya mengangkat martabat rawatan alternatif itu setanding rawatan moden, di samping penerimaan baik oleh segenap lapisan masyarakat.





DAN Kami turunkan daripada al-Quran itu sesuatu yang menjadi penawar (penyembuh) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. (al-Israa: 82)

Al-Quran merupakan mukjizat umat Islam. Di dalamnya terdapat pelbagai khazanah dan syifa sehingga para pengkaji kitab suci tidak putus asa dan berterusan untuk merungkai rahsia isi kandungannya.

Al-Quran bukan sahaja menjadi rujukan pelbagai bidang, malah panduan utama umat Islam tersebut juga digunakan sebagai perawat kepada penyakit dalaman dan luaran yang sukar dirawat melalui kaedah perubatan moden.

Bukan sahaja ayat-ayat al-Quran tetapi potongan hadis berbentuk doa dan zikir Rasullullah juga digunakan sebagai ayat Ruqyah (pengubat) untuk tujuan seumpama itu.

Maka kaedah perubatan Islam sering digunakan sebagai jalan terakhir selepas para pesakit gagal menemui penawar kepada penyakit yang dihidapi mereka.

Malah para pegawai perubatan yang buntu untuk mencari penyelesaian kepada masalah pesakit mereka akhirnya diserahkan kepada kaedah rawatan Islam sebagai ikhtiar terakhir.

Pengiktirafan perubatan Islam daripada kerajaan Malaysia baru-baru ini dengan amalan perubatan alternatif tersebut dimasukkan ke dalam Rang Undang-Undang Tradisional dan Komplementari 2012 menunjukkan kaedah tersebut diterima baik negara ini.

Bagi Pengerusi Gabungan Persatuan Pengamal Perubatan Islam Malaysia (Gappima), Mohd. Fauzi Mustaffa, perjuangan pihaknya memartabatkan perubatan Islam di negara ini telah berjaya.

Langkah itu juga untuk membuktikan bahawa kaedah alternatif mampu menyembuhkan penyakit yang tiada harapan untuk sembuh.

Ujar beliau, dengan sifat Islam yang merupakan agama pembawa rahmat kepada seluruh alam, maka tiba pada masanya perubatan Islam diiktiraf seiring menghormati semangat prinsip agama persekutuan Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Setakat yang kita tahu, Malaysia salah satu yang mengiktiraf perubatan Islam dalam penggubalan undang-undang berbanding negara Islam lain.

"Ini bermaksud kaedah alternatif telah diterima baik. Dalam perkembangan lain, ia dilihat untuk menyekat perkembangan amalan bomoh dan khurafat yang berleluasa sejak kebelakangan ini.

"Walaupun perubatan Islam telah lama wujud di negara ini, tetapi perjuangan Gappima untuk memartabatkan perkara tersebut hampir berjaya dan banyak tindakan yang perlu dirancang agar ia berada atas sama tahap dengan kaedah rawatan moden," ujar beliau.

Kewajaran perubatan Islam

Dunia sains pernah dikejutkan dengan penemuan seorang saintis dari Jepun, Dr. Masaru Emoto yang mendakwa air yang dibaca dengan bacaan doa membentuk molekul kristal bersegi enam dengan lima cabang daun muncul berkilauan.

Walaupun kajian itu tidak diketahui sejauh mana kebenarannya, tetapi ia cukup menggambarkan bahawa perubatan Islam mampu merawat khususnya penyakit dalaman.

Menurut Fauzi, prinsip perubatan Islam adalah para pengamal cuma merawat tetapi yang menyembuhkan hanya Allah, sehubungan itu tambah beliau, ketika merawat mereka menanamkan keyakinan untuk sembuh kepada pesakit.

"Ketika merawat, kita tanam keyakinan pada pesakit bahawa penyakit itu boleh diubati. Sebenarnya kita sakit bukannya berpunca daripada virus atau kuman tersebut kuat tetapi antibodi lemah.

"Contohnya bila dimaklumkan oleh doktor bahawa pesakit mempunyai enam bulan untuk hidup, semangat itu telah tiada. Tetapi dalam perubatan Islam, kita berdoa dan berkata insya-Allah penyakit boleh sembuh selain ditambah dengan ketenangan dan kekuatan oleh bacaan al-Quran.

"Secara saintifik, apabila pesakit diberi harapan, ia seolah memberikan mereka keyakinan untuk kuat, maka mereka akan melawan kerana wujud kekuatan," kata beliau.

Jelas Fauzi, kebanyakan doktor yang memahami perubatan Islam akan menyerahkan kepada rawatan alternatif setelah mereka tidak mampu merawat penyakit kritikal dan gangguan dalaman.

Fauzi yang juga merupakan perunding motivasi kemudian menjelaskan bahawa perubatan Islam walaupun selalu digunakan oleh orang ramai sebagai jalan terakhir maka ia dilihat peluang kedua untuk mereka kembali sihat.

"Oleh sebab itu kita perjuangkan agar rawatan Islam dimartabatkan dan diiktiraf agar masyarakat mengetahui bahawa rawatan Islam setaraf dengan kaedah perubatan lain bahkan lebih daripada itu," tambah Fauzi.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...