Oleh AMINUDIN MANSOR
DALAM kehidupan dunia moden, manusia sering
diancam pelbagai perasaan seperti gelisah, murung, tidak tenang, dan rasa tidak
pernah cukup dengan harta yang ada, menyebabkan perasaan tamak, haloba dan
rakus menguasai jiwa. Hal inilah menyebabkan jiwa seseorang tidak tenang dan
mengalami kegelisahan.
Jiwa dapat didefinisikan sebagai, nyawa,
roh yang ada dalam tubuh manusia. Jiwa juga meliputi batin iaitu perasaan,
fikiran, cita-cita dan lain-lain yang terkandung dalam hati manusia. Sesekali
manusia diduga dengan ujian ketakutan dan kegelisahan. Hanya kekuatan jiwa
dapat mengatasi segala.
Berkaitan dengan dugaan dan ujian terhadap
jiwa. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami akan berikan
cahaya kepada mu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa
dan buah-buahan . Dan berikan berita gembira kepada orang yang sabar.(al-Baqarah:155).
Jika jiwa tidak tenang seluruh badan akan
mengalami gangguan. Antaranya; kemurungan atau gelisah adalah penyakit biologi
atau jiwa yang dihadapi seseorang akan mempengaruhi pemikiran, perasaan dan
tindakan daripada anggota badan seperti perasaan marah, rasa terancam dan
terdesak. Hal inilah yang menyebabkan seseorang itu bertindak di luar dugaan
dan di luar pertimbangan.
Tokoh-tokoh yang banyak membicarakan
tentang psikologi Islam ialah; al-Farabi, Ibnu Sina, Ibnu Rusyd, ulama
al-Kalam. Begitu juga dengan Imam al-Ghazali banyak membicarakan tentang
hubungan roh, jiwa dan jasad. Beliau memperkenalkan teori keseimbangan di
antara bahagian-bahagian jiwa dan teori kekendirian.
Dalam al-Quran terdapat istilah yang
berkaitan jiwa seperti nafs yang bermaksud kemanusiaan disebut
sebanyak 367 kali, qalb yang bermaksud emosi disebut sebanyak 144
kali, aql bermaksud akal atau pemikiran disebut sebanyak 149 kali dan
roh disebut sebanyak 29 kali. Jelaslah hati dan jiwa diberi penekanan oleh
Allah SWT untuk kita memahaminya.
Melalui keimanan dan keseimbangan
keempat-empat unsur ini akan dapat mengawal jiwa manusia ke arah ketenangan.
Bagi mendapatkan ketenangan jiwa dan mengurangkan kegelisahan seseorang itu
mestilah beriman kepada Allah SAW, bertaubat, takut, zuhud, sabar, ikhlas,
reda, syukur, istiqamah, tawaduk dan takwa serta membaca al-Quran dan
mengingati Allah SWT.
Ini berdasarkan firman Allah SWT yang
bermaksud: Wahai manusia telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi
pengajaran daripada Tuhan kamu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit yang ada
dalam dada kamu (jiwa) dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Yunus:
57)
Oleh itu, sebagai manusia juga hamba Allah
SWT untuk mencari ketenangan dan kebahagiaan adalah melalui al-Quran yang
banyak mengandungi pengajaran. Melalui al-Quran terdapat petunjuk dan juga
rahmat bagi mereka yang menghadapi pelbagai penyakit termasuk kegelisahan jiwa.
Sebagai golongan orang yang beriman, kita
semestinya mendekatkan diri dengan amalan membaca, memahami maksudnya dan
menghayati al-Quran dalam kehidupan. Petunjuk dan juga rahmat banyak terkandung
dalam al-Quran bagi mendapatkan ketenangan jiwa ketika kegelisahan.
Imam Syafi'e menjelaskan jiwa akan mulia
dengan hidup apa yang ada. Beliau berkata; "Aku bunuh sifat-sifat tamakku,
maka tenanglah jiwaku. Seterusnya jiwaku akan hina kalau aku tetap tamak. Aku
hidupkan rasa puas yang telah lama mati, kerana dengan menghidupkannya harga
diri dapat dijaga. Jika sifat rakus bersarang, di hati seorang hamba, maka ia
akan menjadi orang yang hina ."
Banyak faktor dan sebab yang menyebabkan
keresahan hati dan fikiran manusia pada hakikatnya terjadi disebabkan beberapa
faktor antaranya; banyak melakukan dosa, berpaling daripada peringatan Allah
SWT, melakukan syirik kepada Allah SWT baik dengan perkataan, perbuatan atau
hati dan hidup sentiasa diselubungi perasaan putus asa disebabkan iman yang
lemah.
Seseorang yang melakukan dosa akan
mencetuskan keresahan dalam hidupnya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Yang
menyebabkan timbulnya huru-hara dalam hati sanubari (jiwa) manusia adalah
dosa-dosa yang dilakukan manusia. (riwayat Muslim).
Hanya agama dan keimanan dapat mengelakkan
keresahan, rasa rendah diri, kesepian, kegelisahan, kemurungan, rasa bosan,
rasa muram, sedih, pilu, , cemas, susah hati dan jiwa tidak tenteram serta
tidak berupaya mengatasi persoalan yang dihadapi.
Segala gejala kejiwaan tersebut sering kali
mempengaruhi jasmani dan rohani dan menimbulkan gangguan kepada keadaan fizikal
tubuh.
Daripada Anas bin Malik ra., Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: "Tidak akan lurus keimanan seseorang hamba,
sehingga lurus hatinya, dan tidak akan lurus hatinya, sehingga lurus
lidahnya." (Riwayat Imam Ahmad).
No comments:
Post a Comment