بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, May 21, 2011

Siti Aminah didik Nabi Muhammad berjiwa kental

2011/05/21
SITI Aminah adalah wanita yang tabah mengharungi cabaran hidup biarpun kehilangan suami pada saat sarat mengandung. Ketabahannya sebagai ibu tunggal dapat dilihat apabila beliau tidak berkahwin lain selepas pemergian suaminya, Abdullah bin Abdul Mutalib. 

Beliau begitu mementingkan kesejahteraan anaknya, Muhammad dengan memberikan yang terbaik buatnya. Sebagai ibu, Aminah begitu mementingkan cara didikan demi memastikan anaknya memiliki sahsiah terpuji.


Ibu yang melahirkan Nabi Muhammad, nabi junjungan kita bukan calang-calang orangnya. Beliau mempunyai kekuatan jiwa hebat kerana mampu mengawal kesedihan emosi walaupun kehilangan orang tersayang.

Dalam perjalanan pulang dari Syam, ketika sampai di kota Yathrib (Madinah), Abdullah tiba-tiba jatuh sakit dan beliau terpaksa ditinggalkan rakan perniagaannya yang pulang ke Makkah. 

Ketika sakit, Abdullah menumpang di rumah orang Quraisy daripada keturunan Ady di Yathrib. Berita keadaannya yang jatuh sakit sampai ke pengetahuan ayahandanya, Abdul Mutalib. 

Abdul Mutalib mengamanahkan anak sulungnya, Harith, supaya memastikan keadaan Abdullah baik di sana. Sebaik menjejakkan kaki di kota Yathrib, Harith dimaklumkan adiknya Abdullah sudah meninggal dunia dan dikebumikan beberapa hari sebelumnya. 

Berita pemergian Abdullah akhirnya sampai ke pengetahuan Aminah yang menerima hakikat kematian suaminya sebagai qada dan qadar-Nya. 
Di sebalik kerinduan kerana sudah lama tidak bertemu suami tercinta, khabar kematian suaminya, berita mendukacitakan. Pada saat cinta kepada suami mula bersemi, Allah menjemput suaminya kembali ke pangkuan-Nya. 

Pada saat Abdullah menghadap Ilahi buat selama-lamanya, Aminah disahkan mengandung tiga bulan. Aminah mengharungi saat mengandung tanpa suami di sisi dengan penuh kesabaran. 

Tanggal 12 Rabiulawal tahun Gajah, bersamaan 20 April 571 Masihi, lahirlah Nabi Muhammad dengan penuh rahmat dan keberkatan daripada-Nya. Insan paling gembira mendengar perkhabaran itu adalah Abdul Mutalib. 

Anak yang baru dilahirkan itu dipeluk dan didukung serta dibawa bertawaf mengelilingi kaabah sebagai tanda syukur kepada-Nya. 

Rasulullah dikembalikan semula ke pangkuan Aminah, umur beliau mencecah empat tahun. Biarpun tidak mempunyai bapa, beliau masih lagi mempunyai ibu yang penyayang. 

Apabila Nabi Muhammad berusia enam tahun, sudah tiba masanya Aminah membawa anaknya itu menziarahi keluarganya dan pada masa yang sama peluang itu diambil bagi menziarahi makam suaminya. 

Selama sebulan Aminah dan Nabi Muhammad serta Ummu Aiman iaitu pengasuhnya berada di Madinah, akhirnya mereka kembali ke Makkah. Dalam perjalanan pulang, Aminah tiba-tiba jatuh sakit di tempat bernama Abwaa. 

Beberapa hari kemudian beliau meninggal dunia dan dikebumikan di tempat itu. Perginya ibu tercinta, menjadikan Muhammad anak yatim piatu. Beliau dibawa kembali ke Makkah oleh Ummu Aiman dalam keadaan berdukacita. 

Hidup sebatang kara tanpa kasih daripada insan yang bergelar ibu dan bapa menjadikan Nabi Muhammad berjiwa kuat dan tabah menghadapi suratan takdir. Benarkan ungkapan yang berbunyi kekuatan jiwa seorang anak lahir daripada kekuatan jiwa seorang ibu. 

Buku 10 Tokoh Idola Muslimah


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...