بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, May 31, 2011

Sebab Allah menurunkan bencana atas manusia


بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Sebab Allah menurunkan bencana atas manusia
Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

2011/05/26
Umat Islam perlu sedar ia satu peringatan, amaran agar kembali ke pangkal jalan

TIADA siapa dapat menghalang kekuasaan Allah. Punca pelbagai bencana alam yang berlaku adalah disebabkan kemelut dan krisis yang sengaja diciptakan manusia itu sendiri. Sebahagian manusia hari ini seolah-olah hilang keyakinan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi Allah ini.

Disebabkan kerenah dan krisis yang berlaku di kalangan manusia itulah juga barangkali Allah sengaja menimpakan bencana ke atas segelintir hamba-Nya sebagai ujian dan takdir yang tidak dapat ditolak.

Allah berfirman dalam surah as-Syura, ayat 30 yang bermaksud: “Dan apa jua yang menimpa kamu dari kesusahan (bala bencana) maka disebabkan oleh apa yang telah kamu lakukan (perbuatan salah dan dosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian dari dosa kamu.”

Sebagai hamba yang sentiasa meyakini akan keadilan Tuhan, maka sudah sewajarnya kita sama-sama merenungi dan menghayati apa yang tersirat di sebalik mafhum ayat di atas.

Sesungguhnya hanya dengan keyakinan, iltizam, istiqamah dan keinsafan yang mendalam saja akan membolehkan kita mencari kekuatan dalam diri bagi mengimarahkan bumi Allah dengan perbuatan yang diredai kerana kita hanyalah makhluk Allah yang dipinjamkan sementara untuk menetap di alam fana ini.

Setiap apa juga kerakusan dan keterlanjuran yang berlaku bukanlah disebabkan pihak tertentu saja, ia mungkin disebabkan rentetan peristiwa yang berpanjangan akibat dari keegoan manusia itu sendiri untuk menguasai muka bumi ini secara total dan sering menganggap orang lain tidak ubah seperti hamba. 

Tanpa sikap toleransi dan saling faham memahami, tentu saja pelbagai kejadian negatif akan cepat mudah meletus. Apabila tercetusnya pertelingkahan, permusuhan dan dendam, sudah pasti akan meletuslah perbalahan yang akhirnya hanya memusnahkan sebahagian besar makhluk di muka bumi.

Dapat difahami daripada ayat di atas, Allah berhak untuk menurunkan apa juga ujian ke atas hamba-Nya yang tidak bersyukur dengan nikmat dan kurniaan-Nya. Bahkan melakukan perbuatan yang sentiasa mengundang kemurkaan Allah.

Ada waktunya Allah hanya menurunkan malapetaka kecil. Ia adalah amaran daripada Allah agar manusia segera menghentikan daripada berbuat sesuatu yang boleh mengundang kemarahan-Nya. Tetapi, apabila datang bala yang lebih besar, maka ia bukan lagi sebagai ingatan dan amaran, sebaliknya adalah bencana yang sengaja diturunkan Allah untuk memberi pembalasan di atas kerakusan manusia.

Lebih malang, apabila berlaku bencana Allah, ramai manusia yang tidak berdosa akan turut menjadi korban. Di sinilah pentingnya konsep ‘berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran’ sebagaimana ingatan Tuhan dalam surah al-Asr.

Allah Taala berfirman melalui surau Hud, ayat 52 yang bermaksud: “Wahai kaum-Ku, mintalah ampun dari Tuhanmu, kemudian kembalilah mentaati-Nya agar diturunkan hujan lebat dan menambah bagi kamu kekuatan yang sedia ada dan janganlah kamu membelakangi seruan-Ku dengan terus menerus melakukan dosa.”

Keengganan menunaikan tuntutan agama seperti mengeluarkan zakat juga adalah salah satu hal yang boleh mengundang kemurkaan Allah. Antaranya melalui kejadian kemarau panjang.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda melalui hadis Baginda yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud: “Tidak menghalang sesuatu kaum itu daripada mengeluarkan harta mereka melainkan mereka menghalang langit daripada menurunkan hujan. Kalaulah tidak kerana binatang yang ada di muka bumi ini, nescaya langit pasti tidak akan menurunkan hujan buat selama-lamanya.”

Daripada Tarmidzi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila umatku melakukan 15 perkara berikut, maka layaklah bagi Allah menimpakan bencana ke atas mereka iaitu:


  Apabila harta yang dirampas daripada peperangan diagihkan kepada orang tertentu saja.


  Apabila wang zakat dikeluarkan kerana menebus kesalahan.


  Apabila sesuatu yang diamanahkan menjadi milik sendiri.


  Apabila anak menderhakai kedua ibu bapanya.


  Apabila seseorang itu lebih memuliakan teman daripada ibu bapa sendiri.


  Apabila suami terlalu mentaati isteri.


  Apabila kedengaran lebih banyak bunyi bising.


  Apabila lebih ramai membicarakan hal keduniaan dalam masjid.


  Apabila pemimpin sesebuah kaum itu adalah orang dihina oleh kaumnya sendiri.


  Apabila orang terkemudian menghina orang yang terdahulu.

  Apabila memuliakan orang lain kerana takutkan ancaman yang akan diambil ke atasnya.


  Apabila arak menjadi minuman biasa dalam majlis.


  Apabila ramai lelaki memakai sutera.


  Apabila wanita dijemput ke dalam majlis untuk menghiburkan lelaki.


  Apabila wanita mula bermain alat muzik. 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...