بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Tuesday, May 17, 2011

Peluang bertandang jangan dilepaskan begitu saja



Oleh Ashraf Muslim

2011/05/16
Setiap perubahan dilakukan ke arah kebaikan pasti dapat ganjaran daripada Allah

ALHAMDULILLAH dengan izin Allah SWT, diberi lagi kesempatan untuk saya berkongsi bicara dengan pembaca semua. Banyak nikmat Allah SWT yang kita peroleh, sayangnya sering kali kita lupa untuk bersyukur, apa lagi mengucapkan terima kasih.

Mana tidaknya, semua nikmat itu antaranya dikecapi sebaik terbuka mata di dunia ini menyebabkan lupa untuk mengiktiraf udara yang disedut, kemampuan melihat keindahan sekeliling serta kesempurnaan fizikal sebagai anugerah perlu disyukuri sentiasa.

Itu belum lagi nikmat rezeki, kesihatan serta kebahagiaan melimpah-ruah yang menghias kehidupan. Bukan tidak ada ruang dan peluang, tetapi entah kenapa, agak sukar untuk mengucapkan: “Ya Allah, terima kasih.”

Kali ini saya tertarik untuk berbicara mengenai peluang kerana saya yakin kita pernah dan masih diberi peluang. Cuma, adakah kita memanfaatkan peluang itu atau tidak. Mungkin kita boleh bersama bermuhasabah.

Saya diberi peluang untuk menunaikan umrah pada September tahun lalu. Kini, dengan inisiatif Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah, kami berusaha membuka peluang kepada saudara lain yang berhajat menunaikan umrah dan melakukan proses rawatan di sana.

InsyaAllah, mengikut perancangan, program menunaikan umrah sambil menjalani rawatan anjuran Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah akan dilaksanakan pada Jun depan. 

Mengimbau pengalaman pertama menunaikan umrah, sebenarnya niat untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci sudah lama tersimpan, tetapi ketika itu niat tinggal niat. Mungkin juga niat tidak disertakan dengan kesungguhan.

Selepas bertemu dengan Pengasas Pusat Rawatan Al-Hidayah, Haji Lokman, yang menasihatkan saya menunaikan umrah selain memperbanyakkan solat hajat dan taubat, saya memasang tekad menjadi tetamu Allah SWT dan semuanya bermula pada Februari 2009.

Sebenarnya banyak dugaan yang saya tempuh sebelum menjejakkan kaki ke tanah haram. Namun, berbekalkan azam, saya melakukan perubahan sedikit demi sedikit.

Hidup artis bukan ada gaji bulan yang tetap dan untuk menyediakan jumlah wang yang banyak dalam tempoh singkat, pada masa sama kos kehidupan semasa, agak perit juga. Duit masuk tetapi selalunya yang keluar lebih banyak daripada yang masuk.

Apabila hendak buat pasport di pejabat Imigresen, timbul pula masalah disenarai hitam kerana masih berhutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Gagah jugalah hendak menyelesaikan jumlah pinjaman mencecah belasan ribu itu.

Tetapi, jika kena gaya usahanya dan bantuan Maha Berkuasa, dapat juga masalah diatasi. Justeru, walaupun pelbagai halangan terpaksa ditempuh, hendaklah dihadapi dengan sabar, reda, usaha dan bertawakal kepada Allah SWT.

Dua bulan sebelum tarikh berangkat, saya mendekatkan diri kepada Allah SWT. Banyak perkara yang sebelum itu saya buat, cuba ditinggalkan. Saya berhenti merokok. Maklumlah, sebagai anak muda yang tidak dapat lari daripada suka berhibur, saya membataskan diri.

Ada yang tidak berapa suka dengan perubahan saya itu tetapi bak kata pepatah, tepuk dada tanya selera. Tekad saya untuk melakukan transformasi diri, itu yang saya lakukan.

Alhamdulillah, Ramadan 2009 dapat juga saya menunaikan umrah dan menjalankan ibadat puasa bersama tetamu Allah SWT yang lain. Pastinya peluang itu saya manfaatkan sebaiknya.

Oleh itu, apabila peluang tiba, jangan berpaling lagi. Rebut cepat kerana kita tidak tahu apakah peluang akan bertandang lagi selepas kita melepaskannya. 

Jangan menunggu peluang kerana kita juga berkemampuan mencipta peluang.

Selepas menunaikan umrah, banyak pula watak ustaz yang ditawarkan hingga ada pengarah ‘menyimpan’ watak itu untuk saya kerana berpandangan saya lebih sesuai membawakan watak ustaz termasuk Ustaz Amirul, hingga ada yang memanggil saya dengan nama itu.

Itu juga peluang atau lebih tepat lagi, rezeki yang datang apabila kita yakin janji Allah SWT bahawa setiap kebaikan akan dibalas dengan kebaikan malah, lebih daripada yang kita jangkakan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.” (Surah At-Talaq, ayat 3) 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...