بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, May 16, 2011

Segera qada solat


SOALAN:

SAYA berusia 50-an. Semasa zaman muda dulu, memang saya seorang yang sering lalai melakukan perintah Allah. Banyak solat yang saya tinggalkan. Sejak akhir-akhir ini saya mendapat hidayah untuk bertaubat.


Cuma, kebelakangan ini saya diuji dengan pelbagai cabaran ibarat bertimpa-timpa. Antaranya sakit, rasa tidak tenteram dan rasa seperti jiwa saya kosong. Anak saya juga ditimpa kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Adakah ini antara kaffarah Allah kepada saya dan bagaimanakah caranya saya menggantikan solat-solat yang ditinggalkan. Sebab saya ada mendengar yang kena selesaikan qada solat dulu sebelum boleh solat fardu yang tunai.

JAWAPAN:

Menurut hukum syarak, setiap solat fardu yang ditinggalkan wajib diqada sama ada disebabkan lupa, tidur atau orang murtad yang kembali semula kepada Islam setelah murtad.

Dari segi istilah fuqaha, qada adalah sesuatu (ibadah) yang dilakukan selepas berlalu waktu tunainya untuk mendapatkan sebagaimana yang sebelumnya dengan melakukannya secara qada atau mengerjakan semula ibadat-ibadat yang tidak sah, yang tertinggal atau sengaja ditinggalkan pada waktu-waktu yang lain.

Daripada Anas bin Malik r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jika tertidur seseorang daripada kamu sehingga tertinggal solatnya ataupun terlupa mengerjakannya, maka hendaklah dia mendirikan solat yang tertinggal itu apabila dia sudah teringat, sesungguhnya Allah swt telah berfirman: Dirikanlah solat untuk mengingati Aku. (riwayat Muslim)

Hukum keharusan mengqada solat itu bukanlah sebagai satu kelonggaran yang membolehkan seseorang itu meninggalkannya dengan sengaja sehingga luput waktunya walaupun berhasrat untuk mengqadanya pada waktu yang lain.

Adapun anggapan bahawa meninggalkan solat dengan sengaja dan boleh menggantinya pada waktu yang lain asal saja kewajipan itu tidak terus ditinggalkan atau dilupakan adalah satu anggapan yang salah dan bertentangan dengan kefarduan solat.

Ingat Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya. (al-Nisa': 103).

Kefarduan solat waktunya telah ditetapkan oleh Allah SWT. Solat zuhur hendaklah dilakukan dalam waktu zuhur melainkan bagi mereka yang bermusafir diharuskan jamak atau qasar atau kedua-duanya sekali iaitu jamak dan qasar.

Saudara wajib mengqada fardu solat serta kefarduan-kefarduan yang lain. Kebiasaannya orang leka dalam mendirikan solat dan beralasan dalam ibadah puasa.

Bagi sesiapa yang meninggalkan solat tanpa uzur syarie maka hendaklah dia bersegera mengqadanya tanpa lengah. Adapun pendapat atau pandangan yang mengatakan selesaikan yang qada sebelum buat yang fardu adalah pandangan yang bertentangan dengan syarak.

Qada adalah kewajipan yang tertinggal manakala solat tunai adalah fardu yang wajib semasa. Bagi mereka yang bertemu jalan pulang dengan menginsafi kekurangan dan kesalahannya dalam mentaati Allah SWT terutamanya kegagalannya dalam menunaikan kewajipan hendaklah mulakan dengan bertaubat atas segala kesalahannya serta keterlanjurannya kerana tidak mentaati Allah serta melanggar perintah-Nya.

Taubat mesti dimulakan dengan penyesalan serta keazaman untuk tidak mengulangi serta iltizam dalam mentaati Allah swt. Kalau benar dan telus taubatnya maka hendaklah disusuli dengan mengqada perintah Allah SWT yang tertinggal.

Kalau sekadar taubat sahaja tanpa tindakan maka taubatnya tidak sempurna di sisi Allah swt. Nasihat saya teruskan dengan jiwa penyesalan dan disertai ketaatan dengan mengqada perintah yang tertinggal dalam masa yang sama jaga solat fardu dan tunaikan pada masanya tanpa bertangguh.

Mungkin juga saudara boleh mengqada solat selepas solat-solat fardu. Bangun malam untuk qada, tiada hadnya. Qadalah berapa banyak yang hendak diqada daripada apa yang tertinggal dulu.
Apa yang saudara perlu buat ialah cuba hitung solat yang tertinggal sejak bila, ketika itu umur berapa tahun. Jumlahkan solat yang tertinggal dan mulakan dengan mengqadanya, biarpun kita bertemu ajal sebelum selesai mengqada solat maka Allah SWT adalah Yang Maha Pengampun.
Adapun segala ujian yang menimpa seseorang itu mungkin kerana kesalahannya, mungkin juga kerana mengujinya.

Hal itu janganlah difikirkan sangat kerana Allah SWT tidak akan menzalimi hamba-hambanya. Kadang-kadang ada teguran melalui sedikit ujian agar segera kita kembali kepada Allah SWT serta bermuhasabah diri.

Sebenarnya tidak semua ujian yang menimpa seseorang itu kerana kejahatannya, dan di sebaliknya apabila seseorang itu tidak ditimpa ujian bukan kerana baiknya dia.

Kita juga biasa lihat ada orang jahat elok tidak ada masalah, tiada ujian, ada orang baik tetapi diuji macam-macam. Tabahkan hati, saudara harus bersyukur kerana saudara bertemu hidayah Allah SWT dan ingin kembali kepada-Nya.

Semoga Allah SWT memberi kekuatan dan pertemukan saudara dengan kenikmatan Islam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...