بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Wednesday, March 30, 2011

Kafir Quraisy kumpul tentera


Bukan sedikit kerugian yang terpaksa ditanggung oleh puak Quraisy Mekah akibat rombongan dagang mereka yang diketuai Safwan bin Umayyah diserang hebat dalam misi Sariyyah Zaid bin Harithah.

Serangan itu menyebabkan hasil ekonomi mereka sekelip mata binasa. Maka api kemarahan puak Quraisy terhadap Islam yang sedia ada menjadi bertambah marak bagai api disimbah minyak.

Namun, perang Uhud tercetus bukan disebabkan salah perhitungan oleh kepimpinan Rasulullah SAW yang berjaya menyekat perjalanan kafilah dagang itu.

Ini kerana, jika tidak ada misi Sariyyah Zaid bin Harithah itu pun, puak Quraisy memang sudah merancang dengan teliti untuk melancarkan perang balas dendam terhadap orang Islam.

Meraka telah memukul canang dan gendang perang ke merata tempat bagi menyedarkan para penyokong mereka.

Malah mereka turut mempengaruhi puak-puak Arab lain di dalam dan luar kota Mekah termasuk para penduduk Habsyah, Kinanah dan Tihamah agar sama-sama bersekongkol bagi memerangi orang Islam di Madinah.
"Wahai orang Arab, sesungguhnya Muhammad telah menyakiti kamu dan membunuh kalangan para pemimpin ternama kamu. Maka tolonglah kami dengan harta benda untuk memerangi Muhamad dan para pengikutnya.

"Mudah-mudahan kita akan dapat membalas dendam terhadapnya," demikian kata para pemimpin Arab Quraisy yang merancang perang terhadap umat Islam.

Mereka terdiri daripada Ikrimah bin Abu Jahal, Safwan bin Umayyah, Abu Suffian bin Harb, Abdullah bin Abi Rabiah dan beberapa orang lagi kalangan pemimpin Arab kafir Quraisy yang aktif dan bersemangat.

Abu Sufian sendiri mengalami kerugian besar dalam Perang Al Sawiq sebelum ini. Maka tidak menghairankan beliau secara peribadi ingin membalas dendam.

Apabila mendengarkan rayuan sedemikian, mereka sanggup menjual harta benda dan menyerahkan 1,000 ekor unta serta mendermakan sehingga 50,000 dinar wang emas untuk membiayai peperangan itu.

Dalam hal ini Allah telah berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi (manusia) dari jalan Allah, maka mereka teap membelanjakannya kemudian (harta yang dibelanjakan) itu menyebabkan penyesalan kepada mereka, tambahan pula mereka dikalahkan. Dan (ingatlah) orang-orang kafir itu (akhirnya) dihimpunkan dalam neraka jahanam. (al-Anfal: 36)

Pelbagai daya digunakan bagi mendapatkan sokongan untuk memastikan mereka mendapat sokongan sepenuhnya daripada masyarakat Arab yang pada lazimnya sangat terpengaruh dengan pujuk rayu daripada para penyair.

Dalam hal ini Safwan bin Umayyah berjaya memujuk seorang penyair terkenal bernama Abu Izzah untuk membantu dalam kempen mendapatkan sokongan.

Abu Izzah sebenarnya menjadi tawanan tentera Islam dalam Perang Badar sebelum ini.

Sambil menangis ketika menjadi antara 70 tawanan tentera Quraisy, Abu Izzah merayu-rayu kepada Rasulullah: "Wahai Muhammad, aku memiliki lima orang anak perempuan yang tidak memiliki apa-apa. Bebaskanlah aku demi mereka."

Rasulullah termakan pujuk Abu Izzah lalu dibebaskan penyair itu tanpa perlu membayar apa-apa kecuali diminta berjanji supaya tidak lagi menentang Islam dengan apa cara sekalipun. Apatah lagi atas kepakaran dan kepandaiannya dalam bersyair itu.

SUSUNAN SITI AINIZA KAMSARI

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...