بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Monday, March 14, 2011

Doa

Allah SWT berfirman bermaksud: 

“Mohonlah (berdoalah) kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan permohonan (doa) kamu itu.” (Surah Ghafir, ayat-60)

Dalam surah al-Baqarah ayat 186 bermaksud: 

“Aku perkenankan doa orang yang berdoa apabila ia memohon (berdoa) kepada-Ku.” 
Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi yang bermaksud: “Doa itu adalah ibadat.”

Ibnu ‘Atha’ berkata: “Doa itu mempunyai beberapa rukun (sendi) yang kuat, mempunyai beberapa sayap mampu naik ke langit tinggi, mempunyai beberapa sebab menyebabkan diterimanya. Menurutnya lagi, rukun doa itu ialah hadir hati bila berdoa serta tunduk menghinakan diri kepada Allah SWT. Sayapnya ialah berdoa dengan sepenuh kemahuan dan keikhlasan yang timbul daripada lubuk jiwa dan bertepatan dengan waktunya. Sebab ia diterima ialah berselawat kepada Nabi sebelum berdoa. 

Satu hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Tuhan kita turun ke langit dunia ketika malam tinggal sepertiga yang akhir. Maka Tuhan berkata: “Sesiapa berdoa kepada-Ku maka Aku akan perkenankan doanya, sesiapa meminta kepada-Ku maka Aku akan memberinya, sesiapa meminta ampun maka Aku ampuni dia.”

Hadis lain menyatakan: “Pada waktu malam, sesungguhnya ada satu masa jika seseorang Muslim memohon kepada Allah kebajikan dunia dan akhirat, nescaya Allah SWT mengkabulkannya.

Secara ringkas, waktu berdoa mustajab ialah: 
  • Ketika turun hujan. 
  • Ketika hendak memulakan solat dan sesudahnya. 
  • Ketika menghadapi barisan musuh dalam medan peperangan. 
  • Pada waktu tengah malam. 
  • Di antara azan dan qamat. 
  • Ketika iktidal akhir solat. 
  • Ketika sujud dalam solat. 
  • Ketika khatam (tamat) membaca al-Quran 30 juzuk. 
  • Sepanjang malam, terutama sekali sepertiga yang akhir juga waktu sahur. 
  • Sepanjang hari Jumaat kerana mengharap bertemu dengan saat diperkenankan doa (ijabah) yang terletak di antara terbit fajar hingga terbenam matahari pada hari Jumaat. 
  • Antara Zuhur dengan Asar dan antara Asar dengan Maghrib. 

Selain itu, tempat utama mustajab doa pula adalah : 
  • Ketika melihat Kaabah 
  • Ketika melihat Masjid Rasulullah SAW. 
  • Ketika melakukan tawaf. 
  • Di Multazam. 
  • Di telaga Zamzam. 
  • Di Kaabah. 
  • Di belakang Makam Ibrahim. 
  • Di Bukit Safa dan Marwah. 
  • Di Arafah, Muzdalifah, Mina dan berhampiran Jamrah (tempat melontar). 
  • Tempat mulia seperti masjid, surau dan lain-lain. 

Allah SWT berfirman bermaksud: 

“Katakanlah (wahai Muhammad) Tuhanku sudah memerintahkan supaya berlaku adil dan mendirikan solat pada setiap masjid serta berdoalah kamu kepada-Nya dengan mengikhlaskan taat kepada-Nya. Bagaimana Tuhan sudah menjadikan kamu pada permulaan, begitu pulalah kamu akan dikembalikan.” (Surah al-A’raf ayat 29) 
Islam sangat menyukai kita berdoa untuk seseorang yang jauh daripada kita. Dalam hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Doa seorang Muslim (untuk kebaikan) saudaranya (Muslim) yang jauh adalah mustajab.” Dalam hadis lain Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Pada sisi orang berdoa itu berdirinya seorang Malaikat. Setiap kali ia berdoa kebaikan untuk saudara Muslimnya, maka Malaikat yang ditugaskan itu berkata: “Amin (memohon agar doa itu diperkenankan) dan bagimu seumpamanya.”

Begitu juga kita disuruh mendoakan orang yang berbuat baik kepada kita. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang diberikan kepadanya kebajikan, lalu ia mendoakan orang itu dengan menyebut ‘Jazakallahu khairan’ (mudah-mudahan Allah SWT membalasmu dengan kebajikan yang lebih baik), maka seseorang itu sudah memenuhi hak sanjungan. (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda:

“Dan sesiapa membuat kebajikan (makruf) kepadamu, maka balaslah kebajikan itu. Jika engkau tidak sanggup membalasnya, maka berdoalah untuknya sehingga terasa kamu membalas kebajikan orang itu dengan sesempurnanya. 

Wallahua’lam.
Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
BERITA MINGGU

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...