بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Wednesday, October 12, 2011

Jangan putus asa dengan Allah

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

AGAMA Islam merupakan agama yang lengkap, seimbang dan sempurna. Sehingga dalam keadaan berperang sekali pun, Allah SWT tetap memerintahkan kaum beriman agar terus menerus mengingati dan menyebut nama Allah.

Hal ini untuk menunjukkan betapa seorang Mukmin apabila sedang berhadapan dengan suasana perang, tidak boleh kehilangan kendalian diri.

Sebaliknya tidak sedikitpun niatnya dalam berperang selain menuntut keredaan Allah SWT dalam memurnikan ketaatan hanya kepada Allah semata-mata.

Hal ini ditegaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama Allah) sebanyak-banyaknya agar kamu beroleh kemenangan. (al-Anfal: 45).

Kaum beriman sangat sedar bahawa kemenangan dalam suatu medan jihad fi sabilillah merupakan kurnia yang datang atas izin Allah Taala, bukan lantaran kepiawaian mereka dalam bertempur.

Oleh kerana itu di medan peperangan sekalipun, seorang mukmin - mujahid tidak pernah boleh berhenti memohon pertolongan dan kemenangan dari Allah SWT.

Sehingga di kalangan kaum beriman dikenali adanya dua karakter yang mesti berpadu di dalam peribadi seorang perajurit Allah, yakni: Sebagai penunggang kuda di siang hari, danrahib (ahli ibadat) di malam hari.

Kedua karakter yang berpadu di dalam peribadi seorang mukmin sebagai perajurit Allah inilah yang sepanjang sejarah sentiasa menimbulkan rasa gentar musuh-musuh Allah, baik dalam kalangan ahli kitab mahupun kaum musyrikin.

Seperti buih
Oleh kerana itu, ketika Nabi SAW menggambarkan merosotnya kualiti umat Islam lantaran terjangkit penyakit al-wahn (cinta dunia dan takut mati), maka salah satu konsekuensi logikal yang bakal muncul ialah tercabutnya rasa takut kaum kuffar terhadap kaum Muslimin yang telah lemah itu, justeru kerana cinta dunia dan takut mati.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Hampir-hampir bangsa-bangsa merebutkan kamu (umat Islam), layaknya merebutkan makanan yang berada di mangkuk." Seorang lelaki berkata: "Apakah kami waktu itu berjumlah sedikit?" Baginda menjawab: "Bahkan jumlah kamu pada waktu itu sangat ramai, namun kamu seperti buih di genangan air. Sungguh Allah akan mencabut rasa takut dari hati musuh kamu kepada kamu, dan akan Allah tanamkan ke dalam hati kamu al-wahn." Seseorang lalu berkata: "Wahai Rasulullah, apa itu al-wahn?" Baginda menjawab: "Cinta dunia dan takut mati. (riwayat Abu Daud).

Sungguh kita sangat khuatir bahawa hadis di atas menjadi kenyataan pada zaman kita sekarang. Di zaman penuh fitnah ini kita menyaksikan semakin ramainya orang yang mengaku Islam, namun sudah kehilangan isti'la ul-iman (kehebatan kerana iman) di dalam hatinya.

Mereka telah sedemikian cinta dunianya sehingga terlihat betapa penunjuk ukur kemuliaan dan keimanan tidak lagi berlandaskan yang sebenarnya.

Sedemikian dahsyat rasa takutnya akan kematian sehingga mereka rela untuk berkompromi dengan thagut dan ideologi mereka. Seolah dengan jalan itulah mereka dapat mempertahankan eksistensi di hadapan kaum kuffar dan thagut.

Maka tidak hairanlah jika kaum kuffar akhirnya tidak merasa takut lagi dengan kaum Muslimin yang telah terjangkit virus al-wahn tersebut.

Pada hal di dalam sirah Nabawiah (sejarah perjuangan Nabi Muhammad) begitu banyak kita bertemu teladan dalam hal memelihara kehebatan iman dan ruhul jihad.

Semua itu menjadi sangat indah sekali gus penuh kemuliaan ketika diiringi dengan ketaatan dan ketundukan kepada Allah di tengah kancah al-jihad fi sabilillah sekalipun.

IBRAHIM ABDULLAH ialah bekas Pegawai Agama Seranta, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, Kelantan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...