SOALAN:
BOLEHKAH seseorang itu menunaikan haji berulang kali agar memperoleh haji mabrur? Apakah haji mabrur dan bagaimana pula balasannya. RASHID, Johor Bahru, Johor
JAWAPAN:
ALHAMDULILLAH wassolatu wassalam ala rasulillah wabad. Boleh menunaikan haji lebih daripada sekali.
Dalilnya ialah suatu ketika Rasulullah SAW berkhutbah: Sesungguhnya Allah mewajibkan kepada kamu sekalian haji.
Balasan haji mabrur dijelaskan dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Haji mabrur tiada balasan kecuali syurga. Yang dimaksudkan dengan haji mabrur di sini ialah haji yang diterima di sisi Allah SWT.
Teks hadis yang lengkap iaitu seperti dalam Surah at-Tirmizi yang berbunyi: Iringilah antara haji dan umrah kerana keduanya menghapuskan dosa seperti ahli logam menghapuskan kotoran besi, emas dan perak. Haji mabrur tidak ada balasan kecuali syurga. Tidaklah seorang mukmin sepanjang hari berada dalam keadaan berihram melainkan dosa-dosanya terbenam bersama matahari.
Dari segi bahasa, kalimah mabrur diambil daripada kata akar iaitu barra yang mempunyai banyak makna. Antaranya syurga, benar, diterima, pemberian dan keluasan dalam kebaikan. Ulama berbeza pandangan mengenai pengertiannya. Dalam kitab Nayl al-Awthar, asy-Syaukani mengemukakan pandangan Ibnu Khalawayh bahawa haji mabrur adalah yang diterima Allah SWT (makbul).
Imam al-Qurtubi mengemukakan bahawa pandangan mengenai pengertian haji mabrur saling berdekatan makna. Oleh itu bolehlah dibuat kesimpulan, haji mabrur adalah haji yang sempurna hukum-hukumnya sehingga dibuat secara sempurna seperti dituntut.
Sekiranya kesimpulan ini diterima, maka hendaklah diingat bahawa di sebalik hukum itu, ada makna yang mendalam yang perlu dihayati seseorang yang melaksanakan haji. Seperti ditulis Prof Abdul Halim Mahmud, seorang ulama besar al-Azhar yang berkata: Haji adalah himpunan daripada simbol kerohanian yang sangat indah. Ia dapat membawa seorang Muslim (bila mana dilaksanakan dalam bentuk dan cara yang sebenar-benarnya) akan masuk dalam lingkungan Ilahi (ketuhanan). Ketika itu sudah tentu seluruh aktivitinya tepat seperti dikehendaki Allah sehingga hajinya mabrur, iaitu benar, diterima dan dia akhirnya akan memperoleh syurga.
Sebenarnya, untuk memperoleh haji mabrur bukanlah dengan mengulang-ulang tetapi dengan menunaikannya dengan penuh keikhlasan, menggunakan harta yang halal, menunaikan rukun, syarat dan kewajipan haji, menunaikan semua sunnah dan berdoa agar hajinya diterima. Yang paling penting, selepas menunaikan ibadat haji, berlaku perubahan positif ke arah kebaikan dan ketakwaan. Demikianlah, wallahualam
No comments:
Post a Comment