بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, October 29, 2011

Tokoh muda telah pun mula mencipta sejarah - Mohd Farhan Abdullah

Sumber : Minda al-Furqan

(Artikel ini disalin daripada Facebook Dr Zainur Rashid Zainuddin)
Alhamdulillah, hari ini adalah di antara hari yang paling membahagiakan hati saya setelah diizinkan Allah untuk mengenali seorang tokoh.

Pastor Yohanes yang dahulunya dibesarkan di dalam suasana agama Kristian dan bersekolah Kristian selama 8 tahun. Beliau juga dilatih menjadi mubaligh Kristian dan mendapat didikan awal dari ayahnya sendiri yang merupakan Ketua Gereja dari Gerakan Penginjilan Sidang Injil Borneo.  

Semasa menganut agama Kristian, beliau seorang yang sangat taat kepada agama warisan itu dan merupakan pengikut yang fanatik. Bekas paderi Kristian yang pernah memurtadkan lebih 200 orang Melayu dan Bumiputera Islam di Sabah tetapi sehingga kini telah berjaya mengislamkan kira-kira 4000 orang dari pelbagai kaum.

Beliau pernah mengkaji perbandingan antara Kitab Injil dan Al-Quran serta banyak menelaah tulisan-tulisan Al-Marhum Syeikh Ahmad Deedat sehingga akhirnya, mata hati beliau telah terbuka untuk melihat keindahan dan kebenaran agama Islam.

Kebesaran kalam Allah itu telah membuka pintu hatinya untuk memeluk agama Islam pada tanggal 26 Februari 1990 & diberikan nama Mohd Farhan Abdullah. Ternyata bukan mudah pengislaman beliau untuk diterima oleh keluarga beliau sehingga telah dihalau dari rumah dan dibuang oleh keluarga.

Menjadi seorang Mualaf pula tidak membataskan dirinya untuk berusaha mendalami Islam dan mendakwahkannya. Benarlah Allah pasti membantu hamba-Nya yang bersabar dan redha dengan ujian-Nya. Akhirnya ayah dan ibu serta adik-beradiknya memeluk Islam.

Setahun selepas itu, lebih daripada 30 orang ahli keluarganya yang terdekat telah berjaya diIslamkan oleh beliau. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran di Universiti Al-Azhar & bergiat aktif dalam memberi ceramah dan forum di pelbagai tempat kepada para pelajar Malaysia tentang kepentingan dan kewajipan berdakwah setelah kembali ke Malaysia.

Usaha dakwah seorang pejuang yang cekal ini diperhebat lagi dengan tertubuhnya 2 pusat tahfiz iaitu Akademi Tahfiz Al-Quran Wal Hadith (ATAQWA) & Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran Bestari (PPTQB). Beliau juga telah mengasaskan "Program Dakwah Bergerak" bagi misi dakwah Islamiah di Sabah dan di Sarawak.

Apabila ditanya mengapa masih ada orang bukan Islam yang tidak tertarik dengan Islam sedangkan Islam itu sebuah agama yang indah dan lengkap untuk dijadikan panduan kehidupan,

Beliau berkata, "Halangan utama yang membuatkan orang bukan Islam tidak tertarik dengan Islam apabila orang Islam sendiri tidak menunjukkan imej dan contoh teladan yang baik. Ramai umat Islam yang tidak beramal dengan ajaran Islam dan terlibat dengan gejala sosial dan maksiat kerana jahil dalam ilmu agama."

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...