Sumber |
Semak arah kiblat petang Ahad ini
KUCHING 25 Mei - Umat Islam di seluruh
negara berpeluang menyemak arah kiblat menggunakan teknik bayang matahari pada
pukul 5.18 petang, Ahad ini.
Bahagian Falak, Pejabat Mufti Negeri
Sarawak berkata, peluang keemasan itu tidak wajar dilepaskan kerana fenomena
istiwa' matahari yang menyebabkan bayang semua objek menjadi tegak 90 darjah di
seluruh dunia hanya berlaku dua kali setahun iaitu pada Ahad ini dan 15 Julai
depan.
Tambahan pula, katanya, penggunaan teknik
bayang matahari adalah mudah dan paling tepat untuk menentukan arah kiblat
kerana pada masa itu matahari berada tepat di langit bersamaan dengan latitud
Kaabah.
"Fenomena istiwa' matahari berlaku dua
kali dalam setahun iaitu ketika matahari bergerak menuju ke arah utara dalam
bulan Mei dan ketika matahari kembali ke ekuinoks dalam bulan Julai.
"Fenomena itu berlaku pada 28 Mei dan
16 Julai setiap tahun kecuali pada tahun lompat. Memandangkan 2012 merupakan
tahun lompat, maka tarikh akan berganjak lebih awal iaitu pada 27 Mei dan 15
Julai," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, bahagian berkenaan
berkata, jika berpeluang berada di Masjidil Haram ketika itu, seseorang berpeluang
melihat Kaabah serta apa yang berdiri tegak di persekitarannya seolah-olah
tidak ada bayang-bayang.
Katanya, pada saat itu, waktu di Mekah
adalah 12.18 tengah hari dan di Malaysia ialah 5.18 petang.
"Jika memandang ke arah matahari (pada
waktu itu), bermakna kita sedang menghadap tepat ke arah kiblat.
"Istiwa' matahari di atas Kaabah akan
menyebabkan bayang semua objek tegak 90 darjah di seluruh dunia bersamaan
dengan arah kiblat dan ini boleh dilihat pada 27 Mei dan 15 Julai ini ketika
menghampiri waktu zuhur di Mekah.
"Mengikut pengiraan pada 15 Julai ini
pula, istiwa' matahari di atas Kaabah tepat pukul 12.27 tengah hari waktu Mekah
yang bersamaan pukul 5.27 petang waktu Malaysia," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, bahagian
berkenaan turut membandingkan ketepatan teknik bayang matahari untuk menentukan
arah kiblat berbanding penggunaan teknik lain seperti kompas.
Katanya, kompas berfungsi berdasarkan medan
magnet bumi dan jika ada sumber medan magnet yang berdekatan seperti besi,
aliran elektrik dan lain-lain, penunjuknya akan terpesong.
"Jika kita tidak berhati-hati ia akan
memberi kesan kepada arah yang hendak dicari.
"Objek-objek di angkasa merupakan
sebaik-baik petunjuk arah kerana ia tidak terpesong walau sedikit pun,"
katanya.
No comments:
Post a Comment