Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
SYED Qutub berkata: "Orang mukmin
menerima penjelasan mengenai bilangan pengawal neraka Allah dengan penuh yakin
tanpa mempertikaikannya. Tetapi orang musyrikin menerima penjelasan bilangan
pengawal tersebut dengan hati yang sunyi daripada iman, sunyi daripada rasa
hormat kepada Allah dan sunyi daripada sikap yang serius dalam menerima
penjelasan mengenai perkara yang besar ini."
Mereka mempermainkan dan mengejek dan
berkata: "Tidakkah setiap 10 orang daripada kamu sanggup membunuh seorang
pengawal daripada 19 pengawal neraka itu? Ada pula yang berkata: Kamu boleh
membunuh dua orang daripada pengawal itu dan bakinya serahkan kepadaku untuk
menguruskannya. Mereka menerima perkara yang amat besar ini dengan jiwa dan
hati yang tertutup."
Firman Allah SWT: Dan tiada kami
jadikan penjaga neraka itu melainkan daripada malaikat: dan tidaklah kami
menjadikan bilangan mereka itu melainkan untuk jadi cubaan bagi orang-orang
kafir, supaya orang-orang yang diberi al-Kitab menjadi yakin dan supaya orang
yang beriman bertambah imannya dan supaya orang-orang yang diberi al-Kitab dan
orang-orang mukmin itu tidak ragu-ragu dan supaya orang-orang yang di dalam
hatinya ada penyakit dan orang-orang kafir (mengatakan): Apakah yang
dikehendaki Allah dengan bilangan ini sebagai suatu perumpamaan? Demikianlah
Allah membiarkan sesat orang-orang yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk
kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan tidak ada yang mengetahui tentera
Tuhanmu melainkan Dia sendiri. Dan Saqar itu tiada lain hanyalah peringatan
bagi manusia. (al-Mudassir: 31)
Ibnu Kathir berkata: "Iaitu malaikat
Zabaniah yang tampak bengis lagi kasar. Ini kerana Abu Jahal pernah berkata:
Hai orang Quraisy! Tidak mampukah kamu 10 orang di kalangan kamu melawan satu
malaikat?"
Bahaya besar
Ada pendapat menyatakan yang berkata itu
adalah Kildah bin Khalaf.
Al-Maraghi berkata: "Penjaga neraka
adalah malaikat kerana malaikat adalah makhluk terkuat dan terhebat serta
makhluk yang amat patuh dalam menunaikan hak Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT
menjadikan penjaga Neraka Jahannam itu dalam bilangan sebanyak itu, adalah
untuk menimbulkan keyakinan kepada orang Yahudi dan Nasrani terhadap kenabian
Muhammad SAW. Ini disebabkan persamaan yang terdapat di antara al-Quran dengan
kitab-kitab mereka."
Sesungguhnya penjaga neraka itu walaupun
bilangan hanya 19 malaikat, tetapi mereka ini mempunyai pembantu-pembantu yang
tidak diketahui jumlahnya kecuali Allah SWT yang mengetahuinya dan neraka Saqar
yang digambarkan oleh Allah SWT hanyalah sebagai peringatan kepada manusia.
Firman Allah SWT: Sekali-kali tidak,
demi bulan. Dan malam ketika telah berlalu. Dan Subuh apabila mulai terang.
Sesungguhnya Saqar itu adalah salah satu bencana yang amat besar. Sebagai
ancaman bagi manusia. (al-Mudassir: 32-36)
Ibnu Kathir berkata: "Iaitu sangat
besar neraka Saqar tersebut seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Abbas dan ramai
ulama salaf."
Al-Maraghi berkata: "Allah SWT
bersumpah dengan bulan yang bersinar, malam yang bertukar ganti dan Subuh yang
terang bahawa neraka Jahannam itu adalah salah satu bencana dan bahaya besar
sebagai peringatan kepada manusia."
Syed Qutub berkata: "Jarang hati
manusia yang segar kerana melihat bulan yang sedang naik atau sedang turun,
menghilang kemudian tidak teringat kepada rahsia alam yang dibisikkan oleh
bulan. Kadang-kadang berdiri di bawah cahaya bulan boleh menyucikan hati
seseorang."
Jarang hati manusia segar melihat malam
berlalu dalam saat yang tenang menjelang naiknya matahari dan ketika alam mula
sedar dan membuka matanya kemudian tidak terlekat kesan pemandangan dalam
hatinya serta tidak berdenyut dalam lubuk jiwanya.
Jarang hati manusia segar kerana melihat
waktu pagi yang terserlah dengan sinarnya yang terang kemudian tiada perasaan
gembira dan riang menghasilkan fikiran terbuka dan perasaan yang berubah untuk
bersedia menerima hidayah yang memancar dalam hati nurani bersama cahaya pagi.
Allah telah menciptakan hati manusia itu
tahu pemandangan alam kadang-kadang boleh membawa kepada perubahan yang
menakjubkan dengan penghasilan insan yang baru.
Terserlahnya pancaran dan sambutan yang
wujud pada bulan, malam dan waktu pagi, terdapat hakikat besar yang menarik
yang dijadikan objek oleh al-Quran supaya difikir oleh akal. Ia juga terdapat
bukti yang menunjukkan kudrat Allah SWT yang amat kreatif dan pentadbiran-Nya
yang bijaksana dalam mengaturkan alam buana dengan cara yang begitu rapi dan
halus yang mengkagumkan akal kita.
Semoga kita sentiasa mendapat petunjuk
daripada-Nya dan seterusnya melayakkan kita mencapai mardhatillah yang
dapat menghuni syurga-Nya.
No comments:
Post a Comment