Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
PERBINCANGAN seterusnya masih lagi dalam
surah al-Mudassir di mana perbahasan berkenaan dengan isu tokoh-tokoh kufur
yang menentang ajaran Islam di mana balasannya cukup dahsyat pada hari akhirat
kelak. Perbicaraan diteruskan pada ayat 17 hingga 30.
Firman Allah SWT: Aku akan
membebaninya mendaki pendakian yang memayahkan. (al-Mudassir: 17)
Mujahid berkata: Iaitu penderitaan yang
diakibatkan oleh azab.
Qatadah berkata: Dia akan dibebankan dengan
azab yang berterusan.
Ibnu Jauzi berkata: Mengikut riwayat hadis
Abi Sa'id daripada Nabi SAW menafsirkan ayat ini dengan sebuah gunung yang
dicipta daripada api diminta untuk mendakinya apabila meletakkan tangan ke
atasnya nescaya cair dan apabila diangkat kembali seperti sediakala. Pendakian
tersebut memakan masa 70 tahun kemudian dicampak ke dalam api selama-lamanya.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya dia
telah memikirkan dan menetapkan (apa yang ditetapkannya), (al-Mudassir:
18)
Ibnu Kathir berkata: Iaitu Kami bebani dia
dengan pendakian. Dengan kata lain, Kami dekatkan dia dengan azab yang sangat
berat kerana jaraknya yang sangat jauh daripada keimanan, kerana dia telah
memikirkan dan menetapkan. Iaitu dia merenungkan apa yang akan dia katakan
mengenai al-Quran ketika ditanyakan kepadanya, maka dia pun berfikir, ungkapan
apa yang boleh dia buat.
Al-Maraghi berkata: Al-Walid ini sentiasa
memikirkan dan mereka-reka sesuatu untuk dia katakan atau sifatkan tentang
al-Quran, ketika diajukan pertanyaan kepadanya.
Firman Allah SWT: Maka celakalah dia!
bagaimana dia menetapkan?, Kemudian celakalah dia! bagaimanakah dia
menetapkan?, (al-Mudassir: 19-20)
Ibnu Kathir berkata: Doa keburukan
untuknya.
Al-Maraghi berkata: Ia adalah kekaguman
terhadap kekuatan fikiran dan kepintaran mencari tujuan yang dikehendaki oleh
kaumnya untuk mencela al-Quran dengan celaan yang keras. Sebab perkataannya itu
sesuai dengan apa yang mereka inginkan dan sesuai pula dengan apa yang mereka
angankan untuk mencela al-Quran dan orang yang membawanya.
Dan dia dilaknat dan diazab dalam keadaan
dia mereka-reka perkataan seperti yang dikatakan dalam pembicaraan La
'adribannahu kayfa sana'. Aku pasti akan memukulnya walaubagaimanapun
keadaan dia.
Firman Allah SWT: Kemudian dia
memikirkan, (al-Mudassir: 21)
Ibnu Kathir berkata: Iaitu dengan pandangan
mendalam dan pemerhatian yang sebenarnya.
Al-Maraghi berkata: Kemudian dia
memerhatikan urusan al-Quran itu berulang-kali, mungkin fikiran dia dapat
menemui apa yang mereka senangi dan sampai kepada tahap yang mereka inginkan.
Firman Allah SWT: Sesudah itu dia
bermasam muka dan merengut, (al-Mudassir: 22)
Al-Maraghi berkata: Ayat di atas membawa
petunjuk bahawa dia turut membenarkan tentang kejujuran Nabi Muhammad SAW
dengan hatinya tetapi dia mengingkari secara 'inad. Ini disebabkan seandainya
dia percaya kepada kebenaran yang disampaikan oleh Nabi SAW pasti dia akan
bergembira untuk menyimpulkan apa yang disimpulkan oleh Nabi Muhammad SAW dan
memahami apa yang difahami oleh baginda. Sudah tentu wajahnya tidak akan nampak
muram.
Ibnu Kathir berkata: Iaitu mengerutkan dahinya
dan menampakkan kebencian yang nyata.
Firman Allah SWT: Kemudian dia
berpaling (daripada kebenaran) dan menyombongkan diri,(al-Mudassir: 23)
Al-Maraghi berkata: Kemudian dia
memalingkan wajahnya daripada kebenaran dan berbalik ke belakang dengan perasaan
sombong serta tidak mahu tunduk atau tidak mengakui kebenaran.
Ibnu Kathir berkata: Berpaling dengan
sombong kerana enggan tunduk kepada al-Quran.
Firman Allah SWT: Lalu dia berkata:
"(Al-Quran) Ini tidak lain hanyalah sihir yang dipelajari (daripada
orang-orang dahulu), (al-Mudassir: 24)
Al-Walid mengatakan: "Al-Quran ini
hanya sihir yang diambil oleh Muhammad daripada ahli sihir yang sebelumnya,
seperti Musaylamah dan penduduk Babil."
Firman Allah SWT: Ini tidak lain
hanyalah perkataan manusia. (al-Mudassir: 25)
Al-Maraghi berkata: Mereka mengatakan
sesungguhnya al-Quran itu di ambil daripada kata-kata rekaan orang lain.
Al-Quran bukan kalam Allah SWT seperti yang didakwahkan oleh Nabi SAW. Mereka
juga mengatakan jika benar apa yang dikatakan Nabi SAW, tentu orang lain pun
dapat berkata-kata seperti itu atau menghadapinya dengan lebih baik lagi.
Sebab, di kalangan orang Arab terdapat
ramai orang yang fasih dan petah bercakap. Di kalangan orang Arab terdapat juga
ahli pidato yang tidak dapat ditandingi dan terunggul. Tidak diketahui bahawa
seorang intelek mahu menyaingi baginda SAW, tetapi mereka menggunakan pedang
dan panah tanpa menghadapinya dengan bukti dan hujah.
Penutup
Syed Qutub berkata: Kita tidak tahu adakah
mereka malaikat yang kasar dan keras atau barisan jenis malaikat. Ini adalah
satu berita daripada Allah. Beruntunglah mereka yang mentaati perintah Allah
dan menjauhi larangan-Nya. Kita mengharapkan rahmat daripada-Nya yang melayakkan
kita masuk ke syurga-Nya pada hari Akhirat kelak. Amin.
No comments:
Post a Comment