TAHUN kelahiran Nabi Muhammad SAW dikenal
dengan nama Tahun Gajah. Dinamakan demikian kerana pada tahun tersebut terjadi
peristiwa besar, iaitu penyerangan pasukan tentera bergajah yang dipimpin oleh
Abrahah, gabenor Yaman ke Kota Mekah dengan tujuan menghancurkan Kaabah.
Abrahah berharap dengan hancurnya Kaabah,
maka orang Arab akan beribadat di gereja yang telah dibinanya di Yaman.
Penduduk Mekah sendiri, apabila mengetahui rancangan Abrahah tersebut, mereka
tidak memberikan tentangan kerana meraka sedar bahawa pasukan musuh terlalu
kuat untuk dikalahkan.
Namun sebelum semua itu terjadi, Allah SWT
menunjukkan kekuasaan-Nya dengan menghancurkan pasukan tentera bergajah melalui
kawanan burung Ababil. Peristiwa ini dijelaskan di dalam al-Quran, yang
terdapat dalam surah al-Fil.
Burung Ababil
Dalam surah al-Fil diterangkan bahawa Allah
SWT menyelamatkan Kaabah daripada serangan orang kafir yang ingin menghancurkan
syiar agama-Nya dengan cara menghantar burung Ababil.
Burung-burung itu melempar pasukan bergajah
dengan batu panas dan beracun sehingga mereka diserang penyakit dan menemui
maut.
Pasukan bergajah Abrahah itupun hancur
bagai daun kayu dimakan ulat dan mereka akhirnya menemui ajal masing-masing.
Abrahah sendiri, menurut salah satu
riwayat, menemui ajal ketika sampai di kota asalnya, Sanaa di Yaman.
Pasukan tentera bergajah
Kata ashbab al-fil dalam surah
al-Fil ayat pertama merujuk kepada pasukan bergajah yang dipimpin oleh Abrahah,
gabenor Yaman yang berada di bawah kekuasaan Raja Najashi dari Habsyah.
Abrahah dan pasukannya yang menunggang
gajah berhasrat untuk menghancurkan Kaabah agar orang Arab tidak lagi
menunaikan ibadah haji di sana, tetapi di gereja yang telah dibinanya di Yaman.
Sepanjang menuju ke Mekah, Abrahah dan
pasukannya mengalahkan semua pihak yang berusaha menghalangi usaha mereka.
Sebelum tiba di Mekah, Abrahah bersama
pasukan bergajahnya menghantar utusan memberitahu penduduk Mekah bahawa
penyerangan dilakukan itu bertujuan untuk menghancurkan Kaabah, bukan untuk
memerangi masyarakat kota itu.
Kekuasaan Allah SWT
Surah al-Fil mengajar kepada kita akan
kebesaran kekuasaan Allah SWT yang dapat melakukan apa saja yang Dia kehendaki,
baik melalui hukum sebab-akibat yang sudah lumrah mahupun di luar hukum
tersebut untuk menghalangi setiap langkah dan tindakan yang menentang
aturan-Nya.
Hal ini terbukti ketika Allah SWT
menghancurkan pasukan bergajah hanya dengan menghantar kawanan burung Ababil.
Surah Makkiyah
Surah al-Fil merupakan surah ke-18 yang
diterima oleh Rasullulah SAW daripada Allah SWT. Di dalam mushaf al-Quran,
surah ini ditempatkan pada urutan ke-105.
Surah al-Fil adalah salah satu surah pendek
yang terdapat pada bahagian akhir al-Quran. Ia diturunkan di Mekah, sebelum
Nabi SAW dan pengikut baginda berhijrah ke Madinah.
Oleh sebab itu, surah ini dikategorikan
sebagai surah Makkiyah.
Nama al-Fil sendiri diambil daripada ayat
pertama surah ini yang bererti "gajah".
Maksud surah al-Fil
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Tidakkah
engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada tentera (yang
dipimpin oleh pembawa gajah, yang hendak meruntuhkan Kaabah)?
Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya
mereka (untuk menghancurkan Kaabah) itu sia-sia?
Dan Dia menghantarkan / mengirimkan kepada
mereka burung yang berbondong-bondong.
Yang melempari mereka dengan batu (berasal)
daripada tanah yang terbakar.
Lalu Dia menjadikan mereka seperti
daun-daun yang dimakan (ulat).
Kapsyen
ALLAH SWT menyelamatkan Kaabah daripada
serangan orang kafir yang ingin menghancurkan syiar agama-Nya dengan cara
menghantar burung Ababil.
No comments:
Post a Comment