Oleh Sharifah Hayaati
2012/05/26
Menajamkan akal jihad kembang kerjaya,
organisasi
ADA riwayat mengatakan. ‘berfikir sejenak lebih baik daripada beribadat
setahun’. Kata-kata ini menggambarkan keutamaan berfikir dalam Islam. Ini benar
kerana berfikir secara betul boleh menghasilkan natijah tindakan betul
termasuklah dalam ibadat.
Berfikir dapat mengenal pasti yang baik dan
buruk, memajukan atau memundurkan diri. Ia mampu melahirkan ijtihad yang
memberi penyelesaian hukum yang tepat, benar dan mengelak daripada taklid serta
amalan ikut-ikutan bertentangan syarak secara membuta tuli.
Berfikir adalah latihan mengasah akal yang
boleh menghasilkan pelbagai kekuatan pada daya fikir seperti kreativiti serta
inovasi. Maka lahirlah tokoh ilmuwan pelbagai ciptaan sejak zaman kegemilangan
Islam seperti Ibn Khaldun, Ibn Sina, Ibn Batutah, al Khaitami dan ramai lagi.
Al-Farabi antara ilmuwan Islam yang menekankan daya berfikir dalam membentuk
kesejahteraan masyarakat dan negara serta hubungan manusia dengan Allah SWT
dalam al-Madinah al-Fadilah.
Cara kita berfikir juga boleh mempengaruhi emosi dan persepsi. Cara berfikir
yang betul boleh mempengaruhi jiwa, menghasilkan ketenangan seperti firman
Allah SWT bermaksud: “Dengan mengingati Allah akan mententeramkan jiwa.”
Berfikir juga melahirkan perasaan baik dan buruk seperti kata-kata adalah apa
yang anda fikirkan. Mudahnya, jika baik yang difikirkan nescaya tindak tanduk
dan gerak geri baik jugalah akan dipamerkan. Begitu juga sebaliknya.
Allah SWT memberi pengiktirafan tinggi terhadap keupayaan akal manusia,
lantaran menjadikan fungsinya lebih istimewa berbanding makhluk ciptaan-Nya
yang lain. Firman Allah dengan uslub ‘Afala tatafakkarun’ dalam firmanNya
bermaksud tidakkah kamu berfikir.
Antaranya dalam Surah al-Mukminun, ayat 80 yang bermaksud: “Dan Dialah
menghidup dan mematikan; dan Dialah yang menentukan pertukaran malam dan siang.
Maka tidakkah kamu mahu berfikir?”
Namun, perlu ditekankan kemahiran berfikir yang baik dalam Islam perlu menepati
matlamat dan piawaian syarak, berpandukan ilmu pengetahuan, peraturan dan
akhlak ke arah memenuhi kemaslahatan sejagat.
Menurut Ibn al-Qayyim dalam I’lam al-Muwaqqi`in, berfikir itu mencari dan
mengamati sesuatu yang mempunyai pelbagai bentuk khilaf atau pertentangan
dengan kaedah betul.
Justeru, penting memastikan apa yang difikirkan dan cara kita berfikir adalah
betul seperti berfikir secara positif, berfikiran jauh, kritis, saintifik,
strategis, praktikal, objektif, berfikir di luar kotak, berfikir sebagai juara
dan dengan minda kelas pertama.
Dalam pembangunan organisasi berteraskan pengetahuan, nilai, pencapaian serta
kejayaan mencapai matlamat ini bergantung kepada daya kekuatan dan kemahiran
berfikir.
Bahkan, aspek menjadi teras perkhidmatan awam ialah bekerja ke arah memajukan
pemikiran rakyat dan pembangunan negara.
Kekuatan daya fikir dalam berkhidmat perlu meliputi kemampuan memahami,
mengolah maklumat dan pengetahuan supaya dapat bertindak balas dengan cepat
terhadap perkembangan persekitaran.
Kekuatan meramal perubahan yang bakal berlaku, merancang masa depan, mengatur
tindakan dan menilai pencapaian.
Daya berfikir dalam melaksanakan kerja seharian sering meliputi beberapa
perkara asas seperti berfikir apa akan dilaksanakan hari itu, apa patut
didahulukan, bagaimana sesuatu tugasan boleh dilaksanakan dengan cepat dan
cekap.
Kekuatan berfikir dilakukan secara bersama sama ada secara langsung dalam
perbincangan, latihan atau mesyuarat mahupun secara tidak langsung dalam
perbualan harian akan menyumbang kepada kelancaran proses perancangan,
pengaturan strategi serta penyusunan gerak kerja efektif. Ia juga membina
kakitangan lebih cekap dan berdisiplin.
Sebaliknya, kelesuan dan kegagalan berfikir dalam organisasi menyebabkan
pelbagai masalah disedari atau tidak termasuk kelewatan, kerja semata-mata
menunggu arahan, kegagalan dan kesilapan memahami arahan, keputusan bersifat
jangka pendek serta tindakan terburu-buru.
Justeru, kemahiran berfikir dalam kalangan pekerja dapat mengelakkan kerja
menjadi rutin yang statik dan menjemukan. Di samping mengelakkan kecuaian,
pertindanan kerja, pembaziran wang dan tenaga.
Dalam pelbagai krisis dan kelesuan pemikiran umat Islam hari ini, marilah kita
menajamkan akal dengan pelbagai aktiviti berfikir kerana ia juga adalah suatu
jihad untuk pengembangan kerjaya dan organisasi.
Umat Islam bukan saja bakal mengalami kemunduran, bahkan akan tercela dan hina
kerana malas berfikir.
Sabda Rasulullah SAW apabila merujuk firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran,
ayat 190, “Binasa atau celakalah mereka yang memamah ayat itu (membacanya) dan
tidak mahu memikirkan padanya.” (Hadis riwayat Ibn Mardawayh dan Abd bin Humayd
dalam Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir oleh al-Sabuni)
Penulis ialah pensyarah di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya (UM)
No comments:
Post a Comment