بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Artikel-artikel yang disiarkan di sini adalah sebagai rujukan dan simpanan peribadi pemilik blog ini. Kebanyakannya diambil daripada sumber-sumber yang dinyatakan. Segala pendapat dalam penulisan ini adalah pendapat penulis artikel yang sebenar. Jika ada kekeliruan tuanpunya blog ini menyarankan supaya bertanya kepada penulis asal. Semoga memberikan manfaat kepada pembaca.

Saturday, May 5, 2012

Menagih hidayah sebagai matlamat bekerja



2012/05/05

SIFAT ‘menagih hidayah’ perlu ada pada setiap detik dan ketika untuk kita memartabatkan diri sebagai umat Islam yang cemerlang. Penekanan terhadap perkataan menagih kerana ia menggambarkan tingginya keinginan, hasrat, pengharapan serta perasaan rendah diri dalam mengharapkan sesuatu. 


Perkataan ini biasa digunakan untuk kasih sayang, bantuan, simpati dan dalam bentuk yang negatif pula, sering digunakan untuk menagih hutang atau dadah. Contoh ini lebih mudah untuk menggambarkan sifat orang yang menagih sesuatu.


Namun, aspek ‘ketagihan’ yang hendak ditanamkan dalam hati adalah hidayah yang bermaksud petunjuk atau panduan dari Allah SWT. Allah SWT boleh memilih sesiapa yang ingin dikurniakan dengan hidayah.

Saidina Abu Bakar al-Siddiq dan Abu Jahal hidup sezaman dengan Baginda SAW tetapi Saidina Abu Bakar mendapat hidayah dan memeluk Islam sementara Abu Jahal mati dalam kekafiran. Begitu juga Abu Talib, bapa saudara Rasulullah yang sanggup mengorbankan harta, pengaruh dan tenaga untuk Baginda, namun tidak menerima ajaran dibawa. 


Firman Allah SWT yang bermaksud: 
“Allah memilih kepada-Nya sesiapa yang dikehendakiNya, dan memberi hidayah bagi sesiapa yang kembali kepadaNya (dengan penuh tunduk dan taat).” (Surah al-Syura, ayat 13) 
Sebagai umat Islam kita sangat bergantung kepada hidayah Allah SWT yang Maha Mengetahui setiap jiwa insan dan Maha Berkuasa memberikan kebaikan. Jiwa manusia pula sentiasa bergolak antara kehendak baik dan buruk. 

Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud: 
“Demi jiwa dan (Tuhan) yang menyempurnakan kejadiannya, lalu mengilhamkan kepadanya kejahatan dan ketakwaannya.” (Surah al-Shams, ayat 7-8) 
Pintu hidayah Allah SWT ada di mana-mana, tergantung kepada kesungguhan niat, ikhtiar dan doa seperti firman Allah SWT yang bermaksud: 
“Katakanlah (Wahai Muhammad): Wahai sekalian manusia! Telah datang kepada kamu kebenaran (al-Quran) daripada Tuhan Kami. Oleh itu sesiapa yang mendapat hidayah petunjuk (beriman kepada-Nya) maka faedah hidayah itu terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang (mengingkarinya) maka bahaya kesesatan itu tertimpa ke atas dirinya sendiri dan aku pula bukanlah menjadi wakil yang menguruskan soal (iman atau keingkaran) kamu.” (Surah Yunus, ayat 108) 
Kerja juga perlu dilihat sebagai salah satu cara untuk menagih hidayah. Jika sebelum ini matlamat kerja adalah untuk mendapatkan pulangan material seperti gaji, bonus, pangkat serta taraf hidup yang baik, selepas ini, letakkan niat utama bekerja untuk menagih hidayah Allah SWT dan segala hasil diperoleh daripada kerja itu menjadi sumber kurniaan hidayah-Nya. 

Hidayah tidak boleh diberi oleh majikan dan rakan, ia milik Allah SWT. Apa yang disumbangkan majikan dan rakan adalah pandangan, dorongan, semangat dan tenaga, namun yang menggerakkan jiwa adalah hidayah Allah SWT. 

Firman Allah yang bermaksud: 
“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakinya.” (Surah al-Qasas, ayat 56) 
Keistimewaannya luar biasa kerana hidayah-Nya bukan saja boleh membuka pintu hati untuk beriman tetapi hidayah mengorak langkah membuat pilihan, tindakan dan keputusan yang diredai Allah SWT seperti doa Rasulullah ketika berhijrah. 

Matlamat berbentuk serampang dua mata ini jika ditanamkan dalam hati setiap pekerja Muslim, menjadikan nilai kerja suatu ibadah. Lima implikasi utama diperoleh apabila meletakkan hidayah sebagai matlamat kerja. 

Pertama, ia mampu menjadikan kita seorang yang bermotivasi tinggi dengan kefahaman bahawa Allah SWT menyukai hamba-Nya yang berbuat kebaikan dan membenci keburukan, Allah SWT mengasihi hambanya yang mempelopori kebaikan dan membenci sekadar menadah meminta-minta. 

Kedua, menagih hidayah sebagai matlamat kerja juga mampu menjadikan pekerja seorang berlapang dada, tenang, berfikiran positif apabila berhadapan dugaan dan kerenah di tempat kerja. Peringatan Allah SWT kepada Rasulullah supaya tidak risau dan bersedih dengan golongan yang mengingkari risalah dibawanya. 

Ketiga, menagih hidayah sebagai matlamat kerja juga mampu menyuci dan menyuburkan hati dengan kegembiraan. Walaupun apa yang diusahakan belum berhasil, namun wajib diyakini yang akan diperoleh dari Yang Maha Memberi ialah hidayah untuk terus berusaha tanpa putus asa. 

Keempat, menagih hidayah mampu menggerakkan momentum kerja yang berkualiti kerana tiada pengharapan kepada Allah SWT tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Sheikh Ibnu ‘Atha’illah as-Sakandari menerangkan, pengharapan yang sebenar adalah yang disertai dengan amalan. 

Kelima, menagih hidayah mampu meneguhkan hati dan meningkatkan daya tawakal setelah berusaha dan berdoa. 

Justeru, sematkanlah dalam dada setiap kali bekerja supaya kerja kita menjadi sumber mengundang hidayah Allah SWT kerana ia adalah rahmat dan kurniaan Allah yang menjadi aset bernilai kehidupan. 

Doa Rasulullah bermaksud: “Ya Allah, doronglah daku untuk mengingati-Mu, mensyukuri-Mu dan elok beribadah kepadaMu.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud) 

Penulis ialah pensyarah di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...