Soalan:
BOLEHKAH seorang miskin itu memberikan
zakat? Ini kerana, di dalam hadis ada digambarkan betapa ada sahabat nabi yang
miskin juga ingin bersedekah. Harap dapat penjelasan.
Jawapan
Tahniah diucapkan bagi mereka yang miskin
tetapi masih mahu mengeluarkan sedekah dan zakat. Mudah-mudahan Allah SWT
mengurniakan mereka kekayaan harta dan jiwa agar mereka dapat melaksanakan
ibadah zakat suatu masa nanti, Amin.
Sememangnya pada zaman Nabi Muhammad SAW
dahulu, ramai para sahabat besar yang miskin. Misalnya Abu Hurairah, Salman
al-Farisi, Ammar bin Yassir, Bilal bin Rabah dan dalam kalangan sahabat wanita,
Ummu Sulaim adalah contoh ibu tunggal yang miskin.
Pernah berlaku, golongan ini merasa sedih
kerana kemiskinan harta telah menghalangi mereka daripada bersedekah. Lalu
mereka telah menemui Rasulullah SAW dan bertanya perihal amalan yang dapat
dilakukan oleh orang-orang miskin seperti mereka.
Daripada Abu Dzar r.a. katanya:
"Beberapa orang sahabat Nabi SAW pernah bertanya kepada baginda: "Kaum
hartawan memperoleh pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti mana kami
solat, berpuasa seperti mana kami berpuasa dan bersedekah dengan sisa harta
mereka."
Jawab Rasulullah SAW: Bukankah Allah
telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu bersedekah? Setiap kalimah
tasbih adalah sedekah; setiap kalimah takbir adalah sedekah; setiap kalimah
tahmid adalah sedekah; setiap kalimah tahlil adalah sedekah; amar makruf dan
nahi mungkar (mengajak kepada kebaikan dan melarang kepada yang mungkar) adalah
sedekah, (riwayat Bukhari)
Oleh itu, dalam hal ini memberikan sedekah
tidak semestinya dengan harta. Sedekah boleh dilakukan dengan tenaga, kata-kata
hatta dengan senyuman.
Ia berbeza dengan zakat, kerana zakat
adalah ibadah fardu yang wajib memenuhi segala syaratnya. Hanya mereka yang
memenuhi syarat wajib zakat sahaja, wajib mengeluarkan zakat hartanya.
Di dalam kitab Fiqh al-Manhaji
as-Syafie dinyatakan: "Zakat bukanlah ibadat tubuh badan semata-mata,
sehingga ia memerlukan syarat-syarat taklif, ataupun kewajipannya digugurkan
disebabkan kurangnya kemampuan mukalaf," (hal. 417)
Maka, dalam hal ini orang yang tidak
mempunyai harta yang mencapai paras minimum kekayaan dalam tempoh setahun
(cukup nisab dan haul), maka tidaklah wajib berzakat.
Mereka sebaliknya perlu menggunakan harta
yang dimiliki itu untuk memenuhi keperluan diri sendiri dan semua tanggungan
nafkah yang wajib. Misalnya membeli makanan dan belanja pendidikan.
Jika seorang suami misalnya, dia wajib
memastikan harta yang dimiliki itu dimanfaatkan untuk nafkah anak dan
isterinya. Termasuklah kedua ibu bapanya jika mereka juga miskin.
Orang yang menanggung nafkah wajib ini,
jika dengan berzakat itu menyebabkan tanggungan nafkah wajibnya pula terabai
dan menderita, seperti menderita kelaparan; maka dia dianggap berdosa.
Maka, keutamaan ketika itu adalah untuk
tanggungan wajibnya, misalnya membeli makanan untuk mereka. Maka, pada waktu
itu adalah haram hukumnya jika dia masih mahu mengeluarkan zakat.
Hal ini adalah selaras dengan apa yang
ditegaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran:
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang apakah yang perlu mereka infakkan (zakat), (maka) jawablah: apa-apa yang berlebih (daripada keperluan). (al-Baqarah: 219)
Sebab itulah, pada Hari Raya Aidilfitri
misalnya, hanya orang-orang yang mempunyai makanan yang cukup untuk dirinya
dari malam hari raya sehingga keesokan harinya sahaja yang wajib mengeluarkan
zakat fitrah. Jika tiada makanan, bukan dia yang wajib berzakat; bahkan dia
yang perlu menerima zakat. Inilah batas kefarduan yang ditetapkan oleh Islam.
Oleh itu, kesimpulannya bagi orang-orang
miskin, utamakanlah sedekah sunat kerana sedekah tidak mempunyai syarat wajib
ke atasnya. Bahkan sedekah boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Memberi
seringgit dua ke dalam tabung masjid pada setiap minggu boleh dianggap sedekah,
dan ia tidaklah membebankan.
Abu Mas'ud r.a pernah menyatakan: Kami
diperintahkan (oleh) Rasulullah SAW supaya bersedekah, sedangkan kami hanya (bekerja)
sebagai pekerja kasar atau kuli. Namun Abu 'Uqail bersedekah setengah gantang.
Kemudian yang lain-lain mengikutinya dengan menyedekahkan apa saja, namun lebih
banyak daripada itu, (riwayat Muslim)
Memberikan zakat hanyalah terbeban kepada
orang-orang kaya. Oleh itu, orang-orang miskin yang mahukan pahala berzakat,
hendaklah berusaha dengan lebih gigih agar mendapat harta dan kelak mampu pula
mengeluarkan zakatnya.
Sabda Nabi SAW: Setiap Muslim wajib
bersedekah (berzakat). Para sahabat bertanya, "Bagaimana kalau dia tidak
memiliki sesuatu?" Nabi SAW menjawab: " (Hendaklah dia) bekerja
dengan kebolehan tangannya untuk faedah bagi dirinya lalu bersedekah
(berzakat).(riwayat Bukhari dan Muslim). Wallahua'lam.
RALAT: Pada Bicara Zakat bertajuk
'Zakat barang perhiasan' bertarikh 13 April 2012, terdapat kesalahan pada
perkataan terakhir dalam perenggan kedua terakhir, iaitu: Suka juga ditambahkan
di sini, biarpun Islam mengharamkan para lelaki Muslim memakai emas sebagai
perhiasan; namun jika mereka masih memakainya sebagai perhiasan diri,
hakikatnya ia masih wajib dizakatkan. Hukum memakainya adalah haram; namun
kewajipannya tetap tidak terlepas dan masih juga wajib dizakatkan jika ia
melebihi URUF. Perkataan yang sebenarnya ialah NISAB, ini kerana uruf hanya
diberikan kepada wanita Muslimah. Harap maklum.
No comments:
Post a Comment